SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Friday, September 30, 2011

DR ASRI DISYOR KETUAI MUZAKARAH HUDUD

Pusat Penyelidikan PAS mencadangkan agar bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilantik mengetuai muzakarah mengenai pelaksanaan hukum hudud, yang disyorkan oleh parti Islam itu semalam.

“Cadangan melantik Dr Asri (gambar) ini dilihat boleh diterima oleh semua pihak memandangkan beliau tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sama ada PAS, PKR dan Umno.

“Justeru pelantikan beliau akan lebih menjayakan muzakarah ke arah pelaksanaan usaha yang murni ini,” kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar diadakan satu muzakarah untuk meleraikan kekeliruan dan membetulkan persepsi negatif yang timbul dalam masyarakat terhadap sistem perundangan Islam di negara ini.

Selain itu PAS turut mencadangkan agar muzakarah ini dihadiri oleh para mufti dan Umno mewakili parti pemerintah.

“Muzakarah ini diharap dapat diadakan secara terbuka bagi memberi ruang luas kepada seluruh masyarakat mendengar pandangan semua pihak, bukannya tindakan sebelah pihak,” kata Tuan Ibrahim.

PAS mengesyorkan pandangan ini ketika negara menyaksikan kontroversi berkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud. Isu ini muncul kembali minggu lalu.

Selain itu kata Zuhdi, Asri juga dihormati sebagai ilmuan Islam kontemporari, yang peka dengan perkembangan politik semasa termasuk di Malaysia.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Zuhdi berkata, Pusat penyelidikan PAS berpandangan fungsi muzakarah ini seumpama Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mpen) yang pernah ditubuhkan oleh kerajaan untuk merangka rancangan jangka panjang pembangunan Malaysia menjelang tamatnya tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Menyedari hakikat tersebut, muzakarah pelaksanaan hukum-hukum syariah perlu merumuskan langkah-langkah yang perlu diambil ke arah melaksanakan syariah di Malaysia termasuklah mewujudkan suasana yang kondusif seperti yang pernah dibangkitkan oleh Dr Asri sebelum ini.

“Cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh muzakarah ini hendaklah dilaksanakan oleh kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, bukan seperti yang telah berlaku kepada Mpen sebelum ini, apabila Perdana Menteri ketika itu menegaskan kerajaan tidak terikat dengan keputusan-keputusan Mpen,” katanya lagi.

Jelas beliau, Pusat Penyelidikan PAS melihat dengan muzakarah yang dicadangkan itu, polemik berkaitan pelaksanaan syariah di Malaysia termasuklah yang berkaitan dengan isu pelaksanaan hukum hudud dapat diselesaikan.

“Pusat Penyelidikan PAS menggesa kerajaan Malaysia menyahut seruan Ketua Penerangan PAS untuk mewujudkan muzakarah tersebut, bukannya berdolak-dalik dalam isu pelaksanaan syariah ini.

“Pendirian Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sendiri saling bercangggah dalam isu ini. Perdana Menteri menyatakan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia, yang difahami bahawa sampai bila-bila tiada ruang bagi hukum hudud untuk dilaksanakan manakala Timbalan Perdana Menteri pula menyatakan bahawa hukum hudud belum sesuai dilaksanakan, yang boleh difahami bahawa akan tiba masanya hukum hudud itu dilaksanakan,” kata Zuhdi.

Oleh itu kata beliau, Pusat Penyelidikan PAS menggesa supaya seruan ini disahut sebagai membuktikan komitmen kerajaan khususnya Umno dalam melaksanakan hukum-hukum syariah pada masa-masa hadapan.

SELANGOR BELUM SEDIA LAKSANAKAN HUDUD

PAS Selangor tidak berhasrat untuk memperjuangkan hukum Hudud buat masa ini berikutan faktor pecahan demografik negeri yang lebih seimbang menurut ADUN Meru, Dr Abdul Rani Othman.

Beliau berkata, tumpuan kini diberikan kepada isu-isu utama yang telah dipersetujui melalui dasar bersama Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Namun kata beliau yang dihubungi Tv Selangor, pendedahan berterusan tentang hukum Syariah itu akan tetap diteruskan agar difahami oleh masyarakat bukan Islam disamping memaparkan imej yang baik.

Justeru Abdul Rani menyalahkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang gagal menerapkan peranan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.

"Di Selangor saya ingat kita lebih fokus (Buku Jingga)... perkara itu telah dijawab Tok Guru Nik Aziz. Kita jangan menari ikut gendang cuba dipukul oleh Umno-BN.

"Terus terang kita beritahu hukum Hudud yang tidak difahami orang bukan Islam dan orang Islam sendiri atas kegagalan Umno-BN sebenarnya," katanya.

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPP) Pakatan Rakyat semalam mengambil pendirian untuk mempertahankan dasar-dasar bersama Perlembagaan Persekutuan dan Buku Jingga yang telah dipersetujui.

Dalam mesyuarat yang berlangsung selama empat jam di ibu pejabat PAS, gagasan itu mengakui perbezaan ideologi antara parti komponen bersabit cadangan perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan seperti yang disuarakan Musyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat sebelum ini.

Antara faktor yang dipertahankan termasuk Enekmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enekmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang telah wujud sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan.

Namun menurut Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendirian DAP juga harus diambil kira memandangkan gabungan itu menjulang prinsip demokrasi tulen.

Justeru beliau berkata fokus akan lebih tertumpu kepada objektif untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan Umno-BN disamping sifat keterbukaan untuk membicangkan cadangan tersebut di masa hadapan.

Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tidak timbul isu Hudud akan dilaksanakan di negeri Selangor sekiranya Pakatan Rakyat dapat mengekalkan pentadbirannya.

Katanya enekmen syariah yang melibatkan negeri Kelantan dan Terengganu kekal di bawah kuasa negeri masing-masing.

"Yang kita sedia maklum bahawa enekmen Hudud telah diluluskan di Kelantan dan Terengganu. Di negeri lain tidak timbul isu tentang mahu buat enekmen itu dan sebagainya. Jadi setakat itu sahaja," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau menyifatkan perlaksanaan Hudud tidak akan mengambil masa yang singkat malah di peringkat pusat wujud percanggahan pendapat di kalangan pemimpin tertinggi termasuk Perdana Menteri dan timbalannya.

DMP PUSAT SENARAIKAN CALON MUSLIMAT UNTUK PRU 13

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMP) telah menggerakkan sasaran meletakkan sekurang-kurangnya satu calon bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu calon peringkat Parlimen disetiap negeri dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof berkata demikian ketika ditemui media selepas program Pantau Muslimat peringkat negeri Terengganu di Markaz Tarbiah PAS di Kuala Ibai, dekat sini pada Khamis 29 September.

"Kita diperingkat Dewan Muslimat Pusat memang menggerakkan (sasaran Muslimat bertanding) sekurang-kurangnya satu kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen, dan kita mengemukakan cadangan ini untuk diperbincangkan di peringkat negeri,

"(ini adalah) sebab kita melihat hampir keseluruhan negeri 50% dan di Terengganu hampir 52% adalah pengundi wanita,"jelasnya.

Menurutnya, cadangan tersebut diutarakan berdasarkan prestasi dan kemampuan wakil-wakil rakyat muslimat masakini di negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Selangor.

Mengulas perkara yang sama, Timbalannya Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, DMP telah pun menyenaraikan nama-nama calon bagi Muslimat yang akan bertanding dan DUN-DUN sasaran.

Khusus bagi negeri Terengganu, Dr. Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja merayu kepada kepimpinan PAS negeri Terengganu supaya diperuntukkan satu kerusi untuk Muslimat.

"pihak pimpinan tertinggi (PAS Pusat) tidak ada masalah, tapi persoalan kerusi ini biasalah, ia bergantung kepada sikap-sikap pimpinan Kawsan, pimpinan perhubungan negeri,

"di negeri terengganu ini, kami minta dan kami memang merayu sesungguh-sungguhnya satu kerusi DUN diberi kepada muslimat,"katanya.

Apabila ditanya, adakan pihak DMP telah ada calon Muslimat dan DUN sasaran yang akan ditandingi di negeri Terengganu, kedua-dua pimpinan tertinggi muslimat berkata sudah ada.

"Ada dah (sasaran kerusi yang akan ditandingi) ada dah.....ada dah (calon yang akan bertanding) sudah ada senarai nama (calon) dan sudah ada senarai (DUN) semua negeri kami sudah ada senarai,"tegasnya.

ADAKAN MUZAKARAH TERBUKA

Isu Hudud merupakan satu isu yang seringkali dihebahkan terutama menjelang pilihanraya. Isu hudud bukan isu politik, tapi ia seringkali dipolitikkan untuk menimbulkan polemik dalam masyarakat, sehingga golongan yang bukan ahli dan golongan bukan Islam turut campur tangan dalam membahaskannya.

Sedangkan isu hudud merupakan isu yang menyentuh umat Islam secara langsung, dan ianya adalah tuntutan syarak bagi pemerintah untuk melaksanakannya.

UMNO sebagai parti pemerintah selama 54 tahun tidak pernah berusaha, tidak pernah menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan mahupun sedikit bayangan bagi melaksanakannya. Sikap sambil lewa dengan memberi pelbagai alasan rekaan untuk tidak melaksanakan perintah Allah ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai tanggapan buruk terhadap sistem perundangan Islam dan ajaran Islam secara langsung.

Sehubungan itu, PAS mencadangkan satu muzakarah terbuka secara ilmiah bagi memberi kesedaran kepada seluruh rakyat serta bagi mengatasi kekeliruan yang timbul dalam masyarakat.

Dicadangkan muzakarah ini hendaklah dihadiri oleh para mufti bagi mewakili Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja, UMNO mewakili parti pemerintah dan PAS sebagai parti yang mendesak agar undang-undang ini dilaksanakan.

Muzakarah ini diharap dapat diadakan secara terbuka bagi memberi ruang luas kepada seluruh masyarakat mendengar pandangan semua pihak, bukannya tindakan sebelah pihak.

Islam sebagai sebuah agama yang ditegakkan di atas nas dan hujah, PAS melihat muzakarah adalah medan menambahkan ilmu dan maklumat secara sihat yang perlu diterima dan disokong oleh semua pihak.

*Kenyataan media oleh Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kiri) selaku Ketua Penerangan PAS Pusat.

Thursday, September 29, 2011

HUDUD LEBIH TELUS DAN ADIL....TUAN GURU


Sementara Pakatan Rakyat malam tadi memutuskan pihaknya memerlukan konsensus dalam isu hukum hudud, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meneruskan usahanya meyakinkan bukan Islam dengan memberi jaminan undang-undang itu akan dilaksanakan dengan “telus” dan hanya membabitkan Kelantan buat masa sekarang.

Dalam mesej terbaru disiarkan menerusi laman sosial Facebook awal pagi ini, Nik Aziz (gambar) berkata, beliau mahu memahami kebimbangan bukan Islam dengan jelas dan menyediakan sebanyak maklumat yang boleh demi menjelaskan kerisauan mereka.

“Saudara-saudari bukan Islam, boleh saya tahu bahagian mana hukum hudud yang menakutkan anda?” kata beliau dalam mesej yang disampaikan kira-kira lima jam selepas kepimpinan Pakatan Rakyat mengumumkan pendirian mereka di Kuala Lumpur.

“Saya berharap anda tidak takut dengan hudud hanya disebabkan salah faham, salah persepsi atau disebabkan anda tidak tahu atau tidak pasti,” kata beliau lagi.

Mursyidul Am PAS ini menulis lagi, “saya memberi jaminan bahawa pelaksanaan hudud adalah telus kepada bukan Islam dan hanya terlebih dahulu dilaksanakan di Kelantan.”

Oleh itu tambah beliau, “sila berikan maklum balas.”

“Dan, saya mahu memahami kebimbangan anda dengan jelas dan menyediakan sebanyak jawapan yang boleh untuk mengatasi kebimbangan anda,” kata beliau lagi.

Mesej seumpama itu merupakan yang keempat dalam tempoh seminggu ini.

Dalam mesej semalam, Nik Aziz memberi “jaminan” undang-undang hudud jika dilaksanakan tidak akan dikuatkuasakan ke atas bukan Islam.

Katanya, undang-undang itu yang diusahakan sejak 17 tahun lalu untuk dilaksanakan di Kelantan hanya meliputi masyarakat Islam.

Pada 24 September lalu, Nik Aziz meminta bukan Muslim memberi pandangan jujur sama ada mereka akan bersetuju jika undang-undang itu dilaksanakan.

Kerajaan negeri Kelantan pimpinan berusaha untuk melaksanakan undang-undang ini sejak awal 1990-an tetapi tersekat ekoran amaran kerajaan pusat yang disampaikan pada 1994 ketika pentadbiran Dr Mahathir.

Isu itu berkembang semula sebagai kontroversi minggu lalu Nik Aziz menegaskan beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Sebelum ini Nik Aziz berkata, beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.

Kata beliau, tiada sesiapa pun termasuk DAP berhak menolak hukum hudud selagi semua manusia menumpang di bumi Allah ini dan hukum Islam yang mahu ditegakkan itu adalah kerana ia hukum Allah, bukannya manusia.

Nik Aziz berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.

Berdasarkan satu kenyataan minggu lalu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi ia tidak dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Minggu lalu, Nik Aziz menolak pandangan bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa keadaan negara ketika ini tidak kondusif untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Malam tadi, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas hukum hudud, yang muncul kembali sebagai isu ‘panas’ minggu lalu, tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu sidang media tengah malam tadi bahawa hukum hudud bukan sebahagian daripada dasar Pakatan Rakyat dan bantahan DAP perlu dihormati.

“Ya, ya. Sangat jelas ia perlu bersama,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menjawab soalan sama ada pelaksanaan hukum hudud memerlukan persetujuan sebulat suara kesemua ketiga-tiga parti dalam perikatan itu.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, Anwar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata mesyuarat Pakatan Rakyat malam tadi memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.

Bagaimanapun dalam mesej pagi ini, Nik Aziz tidak menyentuh keputusan kepimpinan Pakatan Rakyat malam tadi.

HUDUD DI KELANTAN DI TANGGUHKAN DULU

Demi menghormati konsensus dan dasar bersama Pakatan Rakyat, gagasan itu sebulat suara menangguhkan keputusan untuk melaksanakan hukum Hudud di Kelantan.

Ini kerana menurut Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, implimentasi sebuah undang-undang perlu dibahaskan terlebih dahulu di peringkat parlimen.

"Peruntukan pelaksanaan (Hudud) hanya selepas pindaan dilakukan terhadap perlembagaan.

"Kita hormati hak tapi pendirian kita adalah jelas... PAS dan DAP tetap dihormati," kata Anwar selepas mesyuarat yang mengambil masa lebih tiga jam.

Justeru keputusan itu menurut beliau akan membuka ruang perbicangan berterusan antara parti komponen dari masa ke semasa.

Mesyuarat yang dihadiri Majlis Pimpinan (MPP) Tertinggi Pakatan Rakyat di ibu pejabat PAS malam tadi antaranya memperakui kewujudan Enekmen Jenayah Syariah ll Kelantan 1993 dan Enekmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum parti Pakatan Rakyat ditubuhkan.

Kata Anwar enekmen tersebut telah menjadi pegangan PAS dan dijadikan landasan untuk mencadangkan perlaksanaan undang-undang syariah yang dilihat relevan.

Namun jelas beliau pendirian DAP tidak akan diketepikan memandangkan Pakatan Rakyat menjulang prinsip demokrasi tulen yang memberi ruang semua pihak untuk menyuarakan pendapat.

"Mesyuarat menegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti komponen PR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN," tambahnya lagi.

Wednesday, September 28, 2011

TANGAN2 ANAK MUDA AKAN TUMBANGKAN BN-MAT SABU


Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) bakal tumbang dalam pilihan raya akan datang dengan tangan-tangan generasi media baru, anak-anak muda 'facebook', 'twitter' dan 'blogger'.

Beliau berkata 80 peratus golongan tersebut telah menolak hujah Umno dan Barisan Nasional kerana mereka mendapat maklumat “fist hand” yang hanya dihujung jari mereka.

“Anak-anak muda sekarang ini maklumat dihujung jari. Jangan lupa generasi baru sekarang generasi facebook, generasi twitter, generasi bloggers dan generasi internet.

“Mereka ini mendapat maklumat ‘fist hand’ dan 80 peratus golongan ini telah menolak hujah Umno dan Barisan Nasional.

“Ingat golongan anak muda facebook inilah yang menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak dan anak muda inilah yang akan mengguling kerajaan Umno-BN dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya dalam program Forum Rakyat Sempena Merdeka di Markaz Tarbiyyah PAS Kuala Terengganu, di Kuala Ibai, dekat sini, Ahad 25 September.

Dalam pada itu, menurutnya, Umno-BN melakukan pelbagai cara fitnah terutama melalui media Utusan Malaysia bagi memenangi hati rakyat.

Amalan Umno dan BN itu, katanya, umpama kempen pada tahun-tahun 60-an, menggunakan akhbar Utusan yang sama.

Menurutnya, rakyat di negara ini terutama dari kalangan kaum Cina dan India semakin kuat menolak kerajaan BN.

“Rakyat telah berubah tetapi pemerintah (BN) belum lagi berubah. Dia (Umno) masih berkempen ala tahun 60-an.

“Kajian yang dibuat orang tionghua (Cina) 80 peratus tidak mengundi Barisan Nasional (BN). Orang India sedang meningkat sokongan mereka kepada pembangkang Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Oleh itu, kata Mohamad kekuatan Umno-BN hanya kepada orang Melayu terutama yang berada di luar bandar.
Menurutnya, Umno-BN berusaha menambahkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu dengan diputar-belit kenyataan pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat.

Forum tersebut turut mengundang dua ahli panel lain iaitu Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa, Profesor Dr Mohamad Abu Bakar dan Profesor Dr Hasan Hasbullah sebagai moderatornya.

JAMUAN UNTUK POLIS KE UMNO NI...???

backdrop jelas tertera program Umno dan sekeliling Markas FRU penuh bendera Umno

Ucapan Dato Ishak sungguh bersifat politik kepartian
Pada 26 September 2011, bertempat di Markas Polis Simpanan Persekutuan - FRU (Unit 7 PSP NS) telah diadakan satu program bersama di dengan parti politik UMNO. Pada hari tersebut bendera Umno memenuhi ruang sekitar Markas FRU dan jelas tertera logo dan nama Umno dalam pemidang dibelakang pentas. Malah ucapan Ketua Umno Bahagian Seremban penuh bersifat politik kepartian.
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Sembilan memandang serius perkara ini. Ini menunjukkan polis khususnya FRU sudah terjebak mengambil sikap dalam politik kepartian. Ketua Polis Negara harus tampil menyatakan pendiran dalam perkara ini. Dato’ Hj. Ishak Ismail hadir bukan sifatnya selaku mana – mana kapasiti jawatan kerajaan tetapi hadir dan berucap atas kapasiti Ketua Umno Bahagian Seremban.

Sunday, September 25, 2011

PAKATAN BINCANG HUDUD

Pakatan Rakyat akan membincangkan isu hudud dalam mesyuarat bulanan mereka Rabu depan kata Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau berbeza dengan Barisan Nasional, Pakatan bergerak menerusi persetujuan bersama semua komponennya dalam isu yang melibatkan kepentingan awam.

"Kontroversi diperbesarkan di media daripada (keadaan) sebenarnya kerana (ia) bukan isu baru. Sebagai Muslim saya menyarankan sesiapa tolak hukum Islam kalau pemimpin Umno nak buat, itu hak mereka. Tetapi mesti ada muafakat dalam Pakatan Rakyat, mesti ada perbincangan dalam perjanjian ikut perlembagaan. Itu akan dibincangkan Rabu ini.

"Kita dengar kebimbangan dia (Karpal), tapi bagi saya ini bukan perkara baru. Kita sedia bincang. Ini prinsip Pakatan Rakyat. Kita bukan Umno. Mengarahkan. Kita mesti ada konsensus,"katanya ketika ditemui pada rumah terbuka Aidilfitri Parti Keadilan Rakyat, di sini, hari ini.

Isu hudud disensasikan media aliran utama yang mendakwa hubungan Pakatan Rakyat semakin retak disebabkan isu ini.

Hari ini muka depan surat khabar Mingguan Malaysia dengan jelas melaporkan kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh membidas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaaan isu ini.

Khamis lalu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor berkata, kelewatan menangani isu semasa ini akan menjejaskan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat khususnya di kalangan bukan Islam.

Bagaimanapun, menurut Anwar, persoalan mengenai hudud ini adalah cubaan untuk mengalihkan rakyat dari isu yang membelenggu kerajaan Barisan Nasional.

Beliau menyatakan isu ini adalah isu yang berlarutan dan boleh dibincangkan dalam kerangka berbeza di peringkat Persekutuan dan Kelantan.

Malah, Umno turut dikecam MCA dan Gerakan berkenaan isu ini.

"Dalam konteks Persekutuan, kita akan dikekang rangka perlembagaan. Dan (perbincangan) dapat lihat bagaimana PAS artikulasikan visi mereka dan untuk DAP untuk suarakan pendapat mereka. Itu semangat yang kita perlukan. Saya tak fikir apa-apa akan berlaku dengan cepat tapi media digunakan untuk sorok isu korupsi, pembunuhan, salah guna kuasa. Isu ini digunakan dan MCA, ambil kesempatan masuk, apa yang baru dalam hal ini?," soal beliau.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek serta pemimpin-pemimpin parti berkenaan sepatutnya sudah mengetahui pendirian Umno berhubung hukum hudud dan ia tidak perlu dijadikan isu.

Muhyiddin berkata, pendirian Umno adalah sama seperti dahulu dan perkara itu sepatutnya tidak berbangkit di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana ia berbeza dengan PAS.

Saturday, September 24, 2011

TPM YANG KAKI PUTAR ALAM

Dakwaan timbalan perdana menteri bahawa rakyat Selangor terseksa di bawah pentadbiran tiga tahun Pakatan Rakyat di negeri ini disifatkan sebagai tindakan terdesak Umno Barisan Nasional.

Ketua Penerangan Keadilan Selangor, Shuhaimi Shafie berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin kini semakin terpaksa melakukan perang saraf apabila mendapati rakyat Selangor sebenarnya sudah cukup selesa dengan pentadbiran PR yang lebih mengutamakan kebajikan rakyat.

"Rakyat Selangor hari ini bukan terseksa, yang terseksa sebenarnya adalah pimpinan-pimpinan kanan Umno dan Barisan Nasional kerana tidak dapat menipu duit rakyat untuk kepentingan mereka.

"Malah rakyat Selangor secara keseluruhan semakin selesa dan bukan terseksa," katanya pada satu majlis rumah terbuka DUN Sri Muda hari ini.

Tambah Shuhaimi yang juga ADUN Sri Muda, kisah dongeng betapa penting untuk Umno merampas kembali Selangor demi menyelamatkan rakyat di negeri ini tidak akan berjaya kerana warga Selangor sedia maklum apa yang mereka mahukan.

"Rakyat di Selangor hari ini cukup berterima kasih kepada kerajaan negeri dan juga di atas kepimpinan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang sudah menjalankan terlalu banyak program-program yang memberikan manfaat terbaik kepada rakyat.

"Malah mereka cukup bersyukur apabila Umno BN kalah di negeri Selangor dan Insya-Allah sokongan yang kita terima semakin meningkat dari hari ke hari," tambahnya lagi.

Beliau dalam pada itu berkata, dakwaan songsang Muhyiddin itu semalam di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang disifatkan sebagai tindakan menggelabah beliau yang tidak sabar mahu merampas tampuk pemerintahan negara.

"Jadi kita lihat sejak akhir-akhir ini ada percanggahan pendapat di antara Muhyiddin Yassin dan Najib Razak dan ini menggambarkan wujud kecelaruan yang besar daripada segi agenda memajukan negara atau pun memastikan kemenangan Umno dan BN di seluruh negara," katanya.

Shuhaimi berkata malah beliau yakin pada pilihan raya umum ke 13, rakyat di negeri Selangor tidak akan berpaling tadah untuk mengundi BN sebaliknya lebih ramai yang akan menyatakan sokongan mereka kepada PR untuk menuju ke Putrajaya.

Dalam pada itu, dakwaan Muhyiddin turut dibidas oleh beberapa pimpinan lain PR yang turut sama menyifatkan beliau dan sekutunya semakin tertekan untuk merampas semula Selangor dengan menggunakan apa jua taktik.

Menurut ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, Najib sebagai perdana menteri sendiri pernah menyatakan tekad akan merampas Selangor dengan apa cara sekali pun.

Justeru ujarnya yang juga timbalan presiden PKR, perkembangan negara mutakhir ini yang menyaksikan warga asing diberikan status kewarganegaraan sebagai bukti , pemerintah sanggup melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.

"Ini memang kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Najib yang beliau akan merampas Selangor dengan apa jua cara sekali pun dan ini menunjukkan Umno sanggup
menggunakan cara-cara yang kotor dan jijik serta tidak menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat negeri Selangor dan langsung tidak mempunyai komitmen untuk menyuburkan demokrasi di dalam negara dan di negeri Selangor.

"Sebab itu Umno terpaksa menggunakan cara kotor termasuk memberikan kad pengenalan kepada warga asing semata-mata untuk menjamin kelangsungan politik mereka," katanya.

Dalam pada itu, ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, tindakan Umno-BN yang menggunakan bangunan-bangunan kerajaan seperti sekolah bagi tujuan berkempen hakikatnya tidak disenangi rakyat.

"Saya ingin tegaskan di sini, pada masa yang sama rakyat di negeri Selangor tidak sabar menantikan PRU 13 akan datang untuk tubuhkan kerajaan baru menuju ke Putrajaya," katanya.

Saturday, September 10, 2011

UMNO MANA ADA ANGKAT SENJATA TUNTUT MERDEKA


Perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan sebenarnya bermula jauh lebih awal sebelum Umno ditubuhkan.

Menurut Ketua Penerangannya, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, antara pejuang kemerdekaan yang digelar 'berhala kiri' kerana mengambil kaedah konfrontasi adalah Mat Indera di Johor.

Selain itu, nama-nama besar seperti Rosli Dohbi di Sarawak, Datuk Maharajalela di Perak, Tok Gajah dan Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Negeri Sembilan and Melaka, Tok Janggut di Kelantan dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu mesti diberi tempat dalam sejarah.

[Gambar - Para pejuang tani 1928 di bawa menggunakan terak polis di Bandar Kuala Berang. Perjuangn para petani bersama Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu menentang British di labelkan sebagai pemberontak]

Kata Dato' Tuan, Umno tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan sedangkan pejuang-pejuang lain menggadaikan nyawa mereka menyebabkan penjajah parah.

"Umno tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan. Pejuang-pejuang lain yang menggadaikan nyawa mereka sehingga menyebabkan penjajah dalam keadaan amat parah.
"Apa yang Umno buat ialah menjalankan pusingan keempat yang akhir dan menuntut kredit mutlak atas kejayaan tersebut, tanpa sebarang pengiktirafan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tersungkur dalam tiga pusingan awal yang berjaya melemahkan kuasa penjajah,"ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Walaubagaimanapun, menurutnya, PAS tidak menafikan 'saham' Umno, walaupun sekadar melaksanakan tugas terakhir untuk mendapat kemerdekaan, mempunyai sedikit jasa dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

Katanya, Umno sekadar penerima manfaat terakhir yang mendapatkan kemerdekaan tapi dengan cara kanan, iaitu kerjasama penuh aman (peaceful cooperation) dengan penjajah British.

Dengan itu, beliau yang uga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, mereka tidak boleh menafikan bahawa para pemimpin mereka pernah menjadi pegawai British satu masa dahulu.

"Ini pendirian PAS dalam menafsir sejarah pra-kemerdekaan, sudah tentunya ia berbeza dengan pendapat Umno.

"Harus ditegaskan bahawa soal menafsir sejarah dan meneliti semula sejarah berkait rapat dengan jumlah maklumat yang ada dan juga persepsi kita dalam melihat sesuatu isu,"jelasnya

Beliau berkata, kita harus “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam kajian sejarah, kerana ia juga amat bergantung kepada jumlah maklumat yang ada sebelum seseorang itu boleh membuat kesimpulan yang tepat.

Menurutnya lagi, dalam isu menafsir sejarah, semua pihak dinasihatkan untuk mengamalkan prinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju” (agree to disagree) dan menghentikan serangan peribadi kepada mana-mana pihak hanya kerana tafsiran sejarah mereka berbeza dengan apa yang diwar-warkan selama ini.

"Untuk pihak yang tidak bersetuju, boleh juga diadakan debat ilmiah, dan bukannya meneruskan permainan fitnah-menfitnah di media.

"Firman Allah berkata (yang bermaksud) Sesungguhnya Tuhan kamu akan menjelaskan di hari akhirat apa yang kamu perselisihkan,"jelasnya.

KALAU TAK PERNAH DIJAJAH TUNJUKKANLAH BUKTI-BUKTI....

PAS mencabar Majlis Profesor Negara (MPN) terutama jurucakapnya Profesor Zainal Kling agar menulis artikel atau buku ilmiah bagi mengemukakan cadangannya bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah dan pegawai yang berkhidmat semasa zaman kependudukan British tidak boleh disebut pegawai British.

“Demikianlah sepatutnya seseorang ahli akademik apalagi yang bergelar profesor mengemukakan sesuatu pandangan supaya pandangannya dapat dinilai dan dibahaskan oleh ahli-ahli lain dalam komuniti akademik. Mengeluarkan sesuatu cadangan intelek atau tesis tidak memadai hanya melalui sehelai dua muka surat kenyataan akhbar,” kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Ahmad Zuhdi Marzuki.

Malah kata beliau, mengemukakan cadangan intelek melalui cara itu bukanlah kaedah ahli-ahli akademik, sebaliknya cara orang awam termasuklah ahli-ahli politik.

“Sekiranya sesuatu pandangan ahli akademik termasuklah profesor dikemukakan melalui kaedah ini, maka ia tidak mempunyai nilai intelek, sebaliknya samalah seperti sembang-sembang politik orang awam di kedai kopi,” tambah beliau mengulas mengenai pandangan beberapa ahli akademik sejak kebelakangan ini bahawa negara ini tidak pernah dijajah oleh British, sebaliknya hanya mendapat naungan Britain.

“Sebaliknya, sekiranya seseorang ahli politik menggunakan kaedah akademik iaitu menerbitkan artikel atau buku ilmiah untuk mengemukakan pandangannya, maka pandangan itu adalah sarat nilai akademik.

“Oleh sebab itu, PPP melihat tindakan MPN itu merendahkan martabat akademik mereka sendiri,” katanya lagi.

Ahmad Zuhdi juga menambah, cadangan yang dikemukakan oleh MPN khususnya beberapa profesor seperti Zainal Kling, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dan Prof Dr Ramlah Adam bukan satu perkara yang kecil, sebaliknya menyanggah tesis yang sudah diterima oleh ramai ahli akademik dalam mahupun di luar negara.

“Kependudukan British sebelum 31 Ogos 1957 di Tanah Melayu, rata-rata diterima oleh para ahli akademik sebagai penjajahan sama ada di Negeri-negeri Selat, Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Melayu tidak bersekutu manakala pentadbirannya disebut pentadbiran oleh British.

“Di atas premis inilah, kajian-kajian sama ada di peringkat sarjana Muda, sarjana, doktor falsafah dan pasca kedoktoran telah dibuat sejak bertahun-tahun,” katanya lagi.

“Takrifan kolonialisme yang dipilih juga tidak dijelaskan kaedah pentakrifannya dan jauh sekali keabsahan sumbernya. Tidakkah istilah ‘naungan’ pada kurun ke-19 lazimnya adalah merujuk kepada ‘colonial protectorate’.

“Demikian juga dengan istilah ‘lindungan’ lazim merujuk kepada penjajahan sebagaimana status negara Brunei sebelum merdeka. Kalaulah kedua istilah ini tidak bermaksud jajahan, maka Empayar British adalah kecil iaitu hanya Australia, New Zealand, Kanada, India-Pakistan, Sri Langka, Nigeria, Papua New Guinea dan Negeri-negeri Melayu Selat.

“Menyedari hakikat tersebut, tesis yang dikemukakan oleh MPN bukan hanya melibatkan Malaysia, bahkan status negara-negara lain seperti Uganda, Maldives, Palestin dan Mesir,” kata Ahmad Zuhdi lagi.

Friday, September 9, 2011

PENGAMPU2 UMNO.....

Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini menyatakan pendirian bahawa Tanah Melayu tidak pernah menjadi tanah jajahan British.

Sebaliknya British hanya berperanan sebagai penaung dengan mengiktiraf Institusi dan Majlis Raja-Raja Melayu (DURBAR) sebagai pemerintah yang sah menurut Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya, Profesor Datuk Dr Zainal Kling.

"Kita ingin menyatakan dengan tegas bahawa fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah. Itu fakta sejarah yang mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak.

"(Istilah) dilindungi dan dikoloni tidak sama. Hanya tiga negeri di Tanah Melayu yang merupakan tanah jajahan iaitu Singapura Melaka dan Pulau Pinang," ujar beliau.

Justeru anggota polis dan pegawai Melayu yang berkhidmat pada ketika itu dibayar gaji daripada hasil Persekutuan Tanah Melayu dan bukan British, jelasnya lagi.

Beliau bagaimanapun mengakui pada peringkat awal ada pejuang haluan kiri Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan daripada British, namun Parti Komunis Malaya (PKM) dikatakan bercita-cita mahu menubuhkan Republik Komunis di Tanah Melayu.

"Nasionalis Melayu yang pada awalnya ingin memerintah di Tanah Melayu bersubahat dengan pejuang komunis untuk menjadikan negeri ini sebagai republik komunis," ujar Zainal.

MPN mengambil inisiatif memberi penjelasan ekoran isu yang dibangkitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang didakwa mengangkat Ketua Rejimen ke-10 PKM, Ahmad Indera sebagai pejuang kemerdekaan sebenar dalam ceramahnya di Tasik Gelugor 21 Ogos lalu.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu diserang bertalu-talu oleh media dan institusi pro Umno-Barisan Nasional (BN) termasuk bekas anggota polis dan tentera sehingga ada yang mencadangkan agar kerakyatan beliau dilucutkan kerana didakwa sebagai pengkhianat negara.

Malah keluarga beliau turut diancam keselamatan apabila ada pihak yang mengugut untuk menyimbah asid kepada isteri dan anak perempuannya.

Turut memberi kenyataan semalam Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang menyifatkan Mat Indera secara sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan PKM bertujuan menghasut orang awam untuk bersama parti itu menentang British melalui bentuk keganasan.

Walhal Abdul Ghani sebelum ini mengiktiraf penerbitan buku 'Pengukir Nama Johor' yang dikatakan sebagai "bahan kajian di atas prinsip-prinsip kebenaran akademik" pada tahun 2004.

Mat Sabu tetap mempertahankan diri dengan mendakwa beliau difitnah oleh akhbar Utusan Malaysia 27 Ogos lalu dalam laporan muka hadapan bertajuk "Mat Sabu hina pejuang, anggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong".

Beliau bertegas menyatakan dirinya tidak pernah mengaitkan Mat Indera dengan komunis seperti yang dilaporkan akhbar itu dan kemudian akan menyaman Utusan Malaysia.

Zainal seterusnya mempertahankan kedudukan parti Umno Perikatan (BN) yang bertindak sebagai kerajaan sah pada ketika itu yang secara kebetulan memenangi Pilihan Raya Umum 1955.

"Kebetulan parti Umno (perikatan) dan kemudian menjadi parti Barisan Nasional telah menang sejak 1955 sehingga sekarang. Itu kebetulan sejarah. Maka kerana itu mereka telah membentuk kerajaan yang sah," tambahnya.

Thursday, September 8, 2011

BURHANUDDIN AL-HELMY 'LEBIH POPULAR'

Mohamad Sabu yang berhadapan dengan siri kritikan sejak dua minggu lalu menimbulkan beberapa persoalan baru mengenai fakta kemerdekaan malam tadi, antara lain menekankan bahawa Burhanuddin al-Helmy sudah pasti menjadi pilihan rakyat sebagai pemimpin mereka jika satu referendum telah diadakan sebelum kemerdekaan.

Timbalan Presiden PAS (gambar) berkata Burhanuddin yang dilahirkan di Kota Baru dan merupakan pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) lebih diterima berbanding Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Datuk Onn Jaafar sendiri.

Onn menubuhkan Umno dan beliau digantikan oleh Tunku Abdul Rahman, yang merupakan Bapa Kemerdekaan dan perdana menteri yang pertama.

“Kalau British telah mengadakan referendum (sebelum memberi kemerdekaan) antara Burhanuddin, Tunku Abdul Rahman dan Burhanuddin, saya fikir rakyat pilih Burhanuddin,” kata beliau pada forum bertajuk Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.

“. . . beliau telah disumbat (dimasukkan ke dalam penjara . . . Ahmad Boestamam (sekali) . . . kalau diadakan referendum, (rakyat) akan pilih Burhanuddin,” kata beliau sambil menambah, dari awal lagi kesemua pertubuhan dan organisasi telah diharamkan kecuali Umno oleh British semasa mengisytiharkan Darurat.

Darurat diisytiharkan pada 1948 dan berlarutan sehingga 1960.

“Jadi, dia (Umno) sahaja yang tinggal,” katanya yang menimbulkan bahawa tiada persaingan politik ketika itu.

Dua anggota panel forum malam tadi lain ialah Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan penulis blog, Hishammudin Rais.

Adik Mat Indera, Baharom Shah Indera juga hadir sebagai tetamu khas pada forum itu.

Mengikut fakta sejarah, PKMM menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris dan Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan “kesatuan politik” Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utamanya.

Kepimpinan PAS berpindah tangan kepada Burhanuddin pada 1956.

Beliau digambarkan sebagai seorang “nasionalis radikal dan pemikir Islam” dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1965.

Beliau juga pernah ditahan oleh British kerana terlibat dengan Rusuhan Natrah di Singapura dan memenangi kerusi Parlimen Besut pada pilihan raya umum 1959.

Dalam ucapannya, Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu menimbulkan persoalan sama ada ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng, yang mengetuai serangan yang membawa kepada kematian Sir Henry Gurney wajar dianggap sebagai pengkhianat negara.

Gurney, pesuruhjaya tinggi British ditembak mati pada 6 Oktober 1951 di Bukit Frazer dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat.

“Chin Peng (yang mengetuai PKM) yang membunuh Henry Gurney . . . jadi antara Chin Peng dan Henry Gurney, siapa pejuang dan pengkhianat? Saya tak mahu cakap, anda fikir sendirilah... kalau saya cakap kan, nanti mereka kata (saya penyokong komunis) . . . ,” kata beliau yang kini berhadapan dengan siasatan polis berhubung kenyataannya tentang tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu.

Semalam, polis Pulau Pinang berkata pihaknya telah menyiapkan kertas siasatan terhadap Mohamad yang didakwa berkata pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Polis turut merekodkan 68 kenyataan daripada pemberita, saksi bebas serta mereka yang membuat laporan polis terhadap beliau bagi melengkapkan siasatan.

Mohamad turut disiasat menurut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat. Sehingga kelmarin sebanyak 266 laporan polis terhadap Mohamad telah diterima di seluruh negara.

Mohamad yang lebih dikenali “Mat Sabu” mencetuskan kontroversi apabila memberitahu dalam satu ceramah bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan itu di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis dalam 1950.

Ahli politik itu telah dituduh membela komunis oleh pemimpin Umno dan ia disiarkan dalam Utusan Malaysia walaupun Mohamad menafikan ada menggunakan perkataan komunis dalam ceramahnya.

Mohamad, dalam ceramahnya mengatakan Muhammad Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah pada 21 Ogos lalu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan, sebagaimana disebutkan dalam Berita Harian pada 13 Ogos 2010.

Malah kata beliau ucapannya mengenai Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad Indera itu juga disokong oleh buku dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor dengan judul “Pengukir Nama Johor”.

BERSIHKAN NAMA MAT INDERA

Keluarga Pejuang Kemerdekaan Ahmad Indera atau Mat Indera mahu nama beliau dibersihkan dari terus dituduh sebagai pengkhianat Komunis oleh pihak UMNO dan penjajah British walaupun menggadaikan nyawa demi negara.

Hadir pada sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini, adik beliau, Baharom Shah Indera 65, beliau menuntut agar kerajaan membersihkan nama abangnya agar tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya diberi penghargaan sebagai salah seorang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.

"Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan. Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar. Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” kata bekas jurutera elektrik dan jentera kor perkhidmatan Tentera Darat itu kepada para wartawan hari ini.

Malah Baharom turut menegaskan bahawa Mat Indera yang sebelumnya bertugas sebagai guru agama mengikuti perjuangan sayap kiri bersama Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan tokoh Melayu Ibrahim Yaakob dan Ahmad Boestamam dan bukannya Parti komunis Malaya (PKM).

Justeru beliau mewakili keluarga Mat Indera menyokong penuh usaha pihak yang mahu membersihkan nama abang beliau yang juga anak didik kepada bapa Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Yassin di Johor.

"Saya bagi pihak (keluarga) Mat Indera menyokong penuh usaha ini. Itu yang kita nak bersihkan, Mat Indera bukan komunis, tapi Kerajaan British kata dia komunis. Tak ada sebarang usaha nak betulkan (fakta) ini, tapi sekarang dah ada, syukur Alhamdulillah," kata beliau.

Dalam sidang media turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Baharom menceritakan mengenai permulaan Mat Indera yang menentang penjajahan British di Johor setelah keluarga beliau diseksa dan beliau sendiri ditawarkan ganjaran untuk ditangkap oleh pihak British.

Baharom yang berusia enam tahun ketika tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 turut menceritakan kisah sebenar yang diketahuinya pada hari tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh keluarga mereka, Mat Indera datang lewat ke lokasi kejadian semasa kejadian dan bukannya terlibat dalam serangan sejak awal lagi.

"Beliau bukan datang untuk bertempur sebaliknya untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah Yusof Rono, anggota polis dan Jamilah Abu Bakar, anak anggota Marin di Bukit Kepong. Saya difahamkan terdapat ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera,” katanya.

Baharom berkata, Yusof sendiri ada mengaku kepadanya yang Allahyarham telah diselamatkan oleh Mat Indera.

“Saya sendiri jumpa dia di rumahnya di Bukit Kepong kira-kira 10 tahun lalu sebelum Yusof meninggal dunia. Dia ada memberitahu saya diselamatkan oleh Mat Indera,” kata Baharom yang bekerja sebagai anggota perkhidmatan tentera selama 10 tahun dan mengadakan bengkel sendiri selepas bersara pada 1980-an.

Wednesday, September 7, 2011

MAT SABU SEMAKIN POPULAR

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Mat Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menganggap pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dikenakan ke atasnya berhubung isu Mat Indera tidak sama sekali menjejas kedudukannya dalam bidang politik, sebaliknya lebih meningkatkan popularitinya.

Menurut beliau, sejak isu Mat Indera yang disifatkannnya sebagai pejuang sebenar kemerdekaan, beliau menerima pertambahan sokongan dari kalangan blogger yang menyokong pendiriannya itu.

Menyentuh mengenai gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein agar sesiapa yang merasa tersinggung dengan kenyataan Mat Sabu berhubung tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong lebih 60 tahun lalu, Mat Sabu berkata, beliau sedia menerimanya.

“ Tak ada masalah, kalau mereka nak saman itu hak mereka, kita pun sudah menawarkan peguam untuk mereka kalau mereka nak tuntut pampasan dari kerajaan British. Kita sanggup menyediakan peguam.

"Ada peguam yang sanggup membela mereka tuntut pampasan daripada kerajaan British , mereka dulu bukan dalam kerajaan Malaya, kerajaan British,"katanya kepada Tv Selangor.

Hishamuddin semalam berkata, tindakan saman di mahkamah mungkin antara yang boleh dilakukan oleh pihak yang tersinggung terutamanya anggota keluarga pejuang kemerdekaan negara serta persatuan-persatuan bekas polis.

"Saya rasa pihak yang berkepentingan perlu mengambil tindakan kerana kadangkala nak tunggu siasatan dari pihak polis dan Peguam Negara mengambil masa.

"Ramai yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu, dan saya sendiri sebagai cucu Datuk Onn (Jaafar) terasa terhadap dakwaan-dakwaan yang berunsur politik, tapi ada had dan batasan dalam nak politikkan sesuatu. lebih-lebih lagi bila ianya bersandarkan kepada sejarah," katanya kepada pemberita semalam.

Dalam pada itu, muka tujuh Utusan Malaysia hari ini turut menyiarkan berita bertajuk “Persatuan Bekas Polis Malaysia Kuantan labelkan Mat Sabu sebagai komunis era baru".

Mengulas laporan akhbar itu, Mat Sabu menerimanya dengan hati terbuka dan sekali lagi menegaskan, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

Bahkan katanya, PAS sendiri pernah dicop sebagai komunis oleh mantan Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“ Mereka cop (PAS), tak ada masalah, Tuan Guru Bakar Bakir dulupun dicop komunis. Dr Burhanudin mereka tuduh komunis. Itu bukan perkara baru,ulang siaran daripada British,"tambah beliau.

Menyentuh soal debat berhubung isu ini, Mat Sabu berkata, beliau hanya mahu berdebat dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya pun tak tau kalau (saya kena) debat dengan Khairy (sebab) selama ini Khairy bukannya maki saya,tetapi yang maki saya Timbalan Perdana Menteri, kalau nak debat pun biarlah dengan dia,"tambah beliau lagi.

Ujarnya, Umno kini menggali lubang sendiri dan akhirnya akan memakan diri sendiri dalam usaha menguburkan karier politiknua.

“ Makan diri.. mereka sedang gali lubang. Macam dalam kes Mat Indera dia telah kalah. Mat Indera diiktiraf sebagai pejuang oleh negeri Johor.

“ Memanglah, Umno itu pengampu British. Orang menghentam British duduk dalam penjara, orang Umno tidak dipenjarakan kerana dia pengampu,"katanya lagi.

Sunday, September 4, 2011

UTUSAN MALAYSIA JADI ALAT UMNO BELITKAN SEJARAH


Pakatan Rakyat mendakwa Utusan Malaysia diperalatkan oleh kerajaan bagi memutar-belitkan fakta dengan menyerang Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu secara berterusan sebagai seorang simpatisan komunis.

Satu kenyataan media yang dikeluarkan Pakatan Rakyat hari ini mempersoalkan naratif sejarah yang ditulis oleh Kerajaan UMNO-Barisan Nasional, yang telah memalsukan fakta sejarah Malaysia yang hanya mahu sumbangan UMNO dan sekutu mereka yang diiktiraf sementara sumbangan jelas dari nasionalis Malaysia dan pejuang kemerdekaan yang lain dipadamkan.

"Apa sudah jadi kepada tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Mohamed (Pak Sako) dan ramai lagi?"

Mengikut sejarah, tokoh-tokoh ini turut mempelopori dan berjuang bersama pelbagai pertubuhan gerakan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang merupakan peneraju sebenar aktivisme politik Melayu.

Malah, usaha itu turut menujukkan penduduk tanah Melayu telah mampu bersatu tanpa mengira warna kulit, ras dan agama sepertimanya Perlembagaan Rakyat yang terhasil 10 tahun sebelum Merdeka oleh Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA)

"Usaha PUTERA-AMCJA ini bukan sahaja bersejarah dari segi usaha mereka, malah merekalah pakatan politik pelbagai kaum pertama negara."

Kenyataan Media bersama Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS, Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR dan Liew Chin Tong dari DAP hari ini Pakatan Rakyat mempersoalkan laporan cuai dan berniat jahat Utusan Malaysia, yang sekali lagi menggunakan hujah palsu dan tipu helah dengan niat yang jahat.

Utusan sejak awal Syawal telah menyerang Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu bertubi-tubi dan didakwa sebagai 'tali barut DAP dan Komunis' oleh akhbar milikan UMNO tersebut.

Kenyataan media tersebut turut mendakwa satu sejarah yang selari berjaya dipadamkan daripada rekod rasmi negara.

Malah, Pakatan turut mendakwa buku-buku sejarah kontemporari yang digunakan dalam sukatan pelajaran hanya memaparkan bab-bab yang berkepentingan untuk UMNO menjadi asas kepada pemimpin serta kekuasaan mereka selama lima lebih lima dekad.

"Tetapi pemimpin UMNO tidak mampu menerima kepelbagaian ini. Sejarah yang ditulis UMNO ialah hanyalah satu versi yang tiada ruang untuk berbeza pandangan."

"Hakikatnya, jika kita membaca sejarah Malaysia...kita akan mendapati kisah aktivisme sosial, pejuangan kebangsaan, anti-kolonialisme dan kemudian ketakutan institusi dan penindasan yang menyaksikan mereka dan ramai lagi ditangkap dan ditahan di bawah ISA oleh Kerajaan Perikatan / BN setelah difitnah, antara lain, menjadi talibarut komunis."

Related Posts with Thumbnails