PAS Selangor tidak berhasrat untuk memperjuangkan hukum Hudud buat masa ini berikutan faktor pecahan demografik negeri yang lebih seimbang menurut ADUN Meru, Dr Abdul Rani Othman.
Beliau berkata, tumpuan kini diberikan kepada isu-isu utama yang telah dipersetujui melalui dasar bersama Pakatan Rakyat ke Putrajaya.
Namun kata beliau yang dihubungi Tv Selangor, pendedahan berterusan tentang hukum Syariah itu akan tetap diteruskan agar difahami oleh masyarakat bukan Islam disamping memaparkan imej yang baik.
Justeru Abdul Rani menyalahkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) yang gagal menerapkan peranan Islam sebagai agama rasmi persekutuan.
"Di Selangor saya ingat kita lebih fokus (Buku Jingga)... perkara itu telah dijawab Tok Guru Nik Aziz. Kita jangan menari ikut gendang cuba dipukul oleh Umno-BN.
"Terus terang kita beritahu hukum Hudud yang tidak difahami orang bukan Islam dan orang Islam sendiri atas kegagalan Umno-BN sebenarnya," katanya.
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPP) Pakatan Rakyat semalam mengambil pendirian untuk mempertahankan dasar-dasar bersama Perlembagaan Persekutuan dan Buku Jingga yang telah dipersetujui.
Dalam mesyuarat yang berlangsung selama empat jam di ibu pejabat PAS, gagasan itu mengakui perbezaan ideologi antara parti komponen bersabit cadangan perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan seperti yang disuarakan Musyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat sebelum ini.
Antara faktor yang dipertahankan termasuk Enekmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enekmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang telah wujud sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan.
Namun menurut Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendirian DAP juga harus diambil kira memandangkan gabungan itu menjulang prinsip demokrasi tulen.
Justeru beliau berkata fokus akan lebih tertumpu kepada objektif untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan Umno-BN disamping sifat keterbukaan untuk membicangkan cadangan tersebut di masa hadapan.
Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tidak timbul isu Hudud akan dilaksanakan di negeri Selangor sekiranya Pakatan Rakyat dapat mengekalkan pentadbirannya.
Katanya enekmen syariah yang melibatkan negeri Kelantan dan Terengganu kekal di bawah kuasa negeri masing-masing.
"Yang kita sedia maklum bahawa enekmen Hudud telah diluluskan di Kelantan dan Terengganu. Di negeri lain tidak timbul isu tentang mahu buat enekmen itu dan sebagainya. Jadi setakat itu sahaja," katanya.
Sehubungan dengan itu beliau menyifatkan perlaksanaan Hudud tidak akan mengambil masa yang singkat malah di peringkat pusat wujud percanggahan pendapat di kalangan pemimpin tertinggi termasuk Perdana Menteri dan timbalannya.
No comments:
Post a Comment