• Abdul Hadi: Pas kekal bersama PR  
  • Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengadakan sidang media di pejabat Agung Pas, semalam .

KUALA LUMPUR - Pas tetap akan meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat walaupun Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti itu mengkaji semula tahaaluf siyaasi (kerjasama politik) khususnya dengan PKR.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hubungan dalam Pakatan Rakyat perlu diteruskan sebagai sistem dua parti dan mengukuhkan lagi kedudukan parti itu di mata rakyat.

"Sehingga kini, kita teruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebagai sistem dua parti yang lebih kukuh, lebih baik berbanding pakatan BN.

"Tiada sebab untuk Pas mengkaji semula tahaaluf siyaasi ini," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berhubung kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat, khususnya dengan PKR.

Resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia minggu lalu antara lain mencadangkan supaya tahaaluf siyaasi antara Pas bersama sekutu mereka dalam pakatan pembangkang khususnya PKR disemak semula.

Resolusi itu turut menegaskan, semakan semula hendaklah dilaksanakan oleh Majlis Syura Ulama Pas dan Jawatankuasa Pas Pusat melalui kuasa yang ada bagi menjaga maslahah serta membendung dan menghalang mafsadah syariah.

Mengulas sama ada Pas bersedia untuk mengkaji semula tahaaluf siyaasi kerana kononnya menjadi sebab kemerosotan undi terhadap Pas pada PRU13 yang lalu, beliau bagaimanapun menafikannya.

Tambah Ahli Parlimen Marang itu, jika kemerosotan undi dijadikan penanda aras kekuatan sesebuah parti, BN lebih mengalami kemerosotan undi pada pilihan raya umum lalu.

“Tahaaluf siyaasi bukan penyebabnya. Pas dapat meningkatkan undi di Selangor. Dari tiga exco kepada empat exco dan dari lapan kerusi kepada 15 kerusi.

"Begitu juga di Terengganu. Kita juga dapat tambah kerusi di Melaka, juga Johor,” katanya.

Tambah beliau, kalau nak tengok undi merosot, BN lagi merosot undinya di Terengganu, Selangor dan Johor.