SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Thursday, September 8, 2011

BERSIHKAN NAMA MAT INDERA

Keluarga Pejuang Kemerdekaan Ahmad Indera atau Mat Indera mahu nama beliau dibersihkan dari terus dituduh sebagai pengkhianat Komunis oleh pihak UMNO dan penjajah British walaupun menggadaikan nyawa demi negara.

Hadir pada sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini, adik beliau, Baharom Shah Indera 65, beliau menuntut agar kerajaan membersihkan nama abangnya agar tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya diberi penghargaan sebagai salah seorang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.

"Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan. Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar. Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” kata bekas jurutera elektrik dan jentera kor perkhidmatan Tentera Darat itu kepada para wartawan hari ini.

Malah Baharom turut menegaskan bahawa Mat Indera yang sebelumnya bertugas sebagai guru agama mengikuti perjuangan sayap kiri bersama Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pimpinan tokoh Melayu Ibrahim Yaakob dan Ahmad Boestamam dan bukannya Parti komunis Malaya (PKM).

Justeru beliau mewakili keluarga Mat Indera menyokong penuh usaha pihak yang mahu membersihkan nama abang beliau yang juga anak didik kepada bapa Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Yassin di Johor.

"Saya bagi pihak (keluarga) Mat Indera menyokong penuh usaha ini. Itu yang kita nak bersihkan, Mat Indera bukan komunis, tapi Kerajaan British kata dia komunis. Tak ada sebarang usaha nak betulkan (fakta) ini, tapi sekarang dah ada, syukur Alhamdulillah," kata beliau.

Dalam sidang media turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Baharom menceritakan mengenai permulaan Mat Indera yang menentang penjajahan British di Johor setelah keluarga beliau diseksa dan beliau sendiri ditawarkan ganjaran untuk ditangkap oleh pihak British.

Baharom yang berusia enam tahun ketika tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 turut menceritakan kisah sebenar yang diketahuinya pada hari tersebut.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh keluarga mereka, Mat Indera datang lewat ke lokasi kejadian semasa kejadian dan bukannya terlibat dalam serangan sejak awal lagi.

"Beliau bukan datang untuk bertempur sebaliknya untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah Yusof Rono, anggota polis dan Jamilah Abu Bakar, anak anggota Marin di Bukit Kepong. Saya difahamkan terdapat ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera,” katanya.

Baharom berkata, Yusof sendiri ada mengaku kepadanya yang Allahyarham telah diselamatkan oleh Mat Indera.

“Saya sendiri jumpa dia di rumahnya di Bukit Kepong kira-kira 10 tahun lalu sebelum Yusof meninggal dunia. Dia ada memberitahu saya diselamatkan oleh Mat Indera,” kata Baharom yang bekerja sebagai anggota perkhidmatan tentera selama 10 tahun dan mengadakan bengkel sendiri selepas bersara pada 1980-an.

No comments:

Related Posts with Thumbnails