SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Monday, July 25, 2011

WAHABI:DR ASRI BERSUARA.....


Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan sebarang tindakan Majlis Keselamatan Negara mengaitkan beliau dan ulama lain kepada fahaman Wahabi dan aktiviti keganasan sebagai tuduhan sempit dan tidak berasas serta hanya mencerminkan ruang demokrasi yang semakin terhad di negara ini.

Beliau berkata kerajaan sepatutnya menerima kepelbagaian pandangan dan tidak bingkas membuat tuduhan melulu sebagaimana yang dizahirkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Dr Asri berkata jika benar MKN membuat dakwaan sedemikian, beliau tidak terkejut kerana "sekarang ini orang yang memakai baju kuning pun boleh dianggap komunis".

Beliau berkata pihak yang menunding jari kepada beliau dan rakan ulamanya sebagai pengikut Wahabi dan mengaitkan mereka kepada keganasan harus bermuhasabah.

"Apa fahaman Wahabi yang difahami oleh Barat? (Mengikut Barat ia adalah) satu fahaman yang sempit...menerusi pandangan tidak demokratik, maka bagi saya antara pandangan yang dipelopori oleh kelompok yang dianggap sebagai wahabi ini ialah mereka ini mengharamkan demokrasi, kebebasan bersuara, demonstrasi aman dan perkara terbuka. Ini adalah yang ditakrifkan wahabisme oleh Barat," kata Dr Asri.

Beliau menegaskan trend kerajaan ketika ini seperti 'mengharamkan' perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu sendiri adalah mirip aliran pemikiran Wahabi ala Barat. Justeru itu, kata beliau, tidak wajar kerajaan melontar tuduhan itu kepada individu lain.

"Pelbagai maklumat yang diputar-belitkan, walaupun media antarabangsa menunjukkan baru0baru ini banyak ketidakadilan dan tidak sepatutnya dilakukan kepada mereka yang hadir dalam perhimpunan 9 Julai, tetapi maklumat di pihak kerajaan menyatakan mereka diberikan layanan yang baik, bahkan orang awam pula dikatakan sebagai pengganas," kata beliau kepada TvSelangor.

"Saya rasa (tuduhan) ini bertujuan untuk mengalih pandangan rakyat daripada isu yang pelbagai kemudian bawa rakyat bincang isu yang lain, sedangkan kita ada banyak isu yang lain yang lebih utama," tambah beliau.

MKN hari ini dilaporkan mendakwa beberapa tokoh agama di Malaysia, termasuk Dr Mohd Asri sebagai mendokong fahaman Wahabi yang menurut kerajaan mempunyai kaitan dengan aktiviti terorisme.

Menurut sumber yang dipetik oleh Malaysiakini, MKN mendakwa seramai 40 ulama muda Umno turut dikaitkan dengan fenomena itu, malah mereka dikatakan disokong oleh kerajaan Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain.

Dr Asri berkata MKN melakukan silap besar mengheret kerajaan Arab Saudi dalam isu itu, memandangkan implikasi antarabangsanya.

"Kerajaan telah mengambil risiko yang bahaya kerana mengaitkan Arab Saudi. Saya juga bimbang ini akan membawa hubungan yang buruk antara Malaysia dan Arab Saudi sedangkan kita memerlukan mereka dalam kuota haji dan seumpamanya."

No comments:

Related Posts with Thumbnails