PAS menggambarkan tindakan terlewat dua minggu oleh polis untuk mendedahkan video versi mereka dan kemudiannya hanya ditayangkan di rangkaian televisyen milik kerajaan, jelas perbuatan ketinggalan zaman.
Ahli jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad juga mengumpamakan perbuatan itu tidak ubah seperti di zaman televisyen hitam putih.
“Sayang seribu kali sayang, skrip ini hanya sesuai di zaman televisyen hitam putih, sedangkan sekarang zaman IT yang bergerak pantas seperti kilat,” kata Idris dalam satu kenyataan media.
Tambah beliau, polis kini berada dalam keadaan serba salah ekoran menafikan mereka bertindak ganas dalam menyuraikan peserta himpunan aman 9 Julai lalu.
Lantaran itu, polis terpaksa menayangkan video layanan baik mereka terhadap peserta Bersih 2.0.
“Hampir dua minggu baru polis menyiarkan video versi polis sedangkan seluruh dunia sudah menyaksikan keganasan polis sewaktu berhadapan dengan peserta demo melalui Youtube yang disiar selepas beberapa minit demo berlalu.
“Sekarang polis susah hati, kerana rakyat tidak boleh menerima tayangan skrip polis,” katanya.
Polis pada Khamis lalu, memanggil wakil media untuk menyaksikan rakaman video versi polis bagi menangkis tohmahan masyarakat bahawa polis melakukan kekerasan ketika menyuraikan orang awam.
Penayangan video itu sekali lagi menyaksikan polis menafikan perbuatan itu dan hanya mengakui melepaskan meriam air ke kawasan Hospital Tung Shin.
Perbuatan yang selama ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh menteri dan polis.
Justeru itu menurut Idris, beberapa persoalan harus dibangkitkan, antaranya kenapa polis lambat menayangkan video tersebut sedangkan apa yang terpapar di internet menunjukkan perbezaan.
Oleh itu katanya adalah mustahil di dalam beberapa minit demo rakaman yang menunjukkan polis bertindak ganas itu boleh disunting.
“Kenapa insiden gambar Tuan Haji Mohamad Sabu tidak ditayangkan sepenuhnya?” soalnya.
Beliau merujuk taklimat Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid, Khamis lalu yang berkata tidak ada kebenaran bahawa kenderaan milik polis melanggar motosikal Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
"Malah rakaman CCTV menunjukkan beliau terjatuh dari kenderaannya selepas terlanggar 'fender' Pajero,” kata Salleh.
Malah, wartawan yang hadir ditunjukkan video sebuah kenderaan polis mengejar dua motosikal, satu yang dibonceng oleh Mat Sabu. Namun visual berkenaan tidak jelas menunjukkan apa yang berlaku kerana beberapa sudut pandangan tidak dapat dirakamkan.
Menurut Idris, Mohamad Sabu juga dituduh tidak cedera oleh pihak polis termasuk pemimpin Umno yang mendakwa beliau berlakon.
“Sedangkan satu dunia tahu bahawa Timbalan Presiden PAS itu sudah menjalani pembedahan di hospital pakar Shah Alam, bukan bomoh patah Pongsu Seribu,” katanya.
Menurut beliau polis sekarang sedang bertarung dengan peserta Bersih dan perlu menjawab tohmahan yang dilemparkan terhadap mereka.
“Inilah nasib polis apabila bernaung di bawah kerajaan BN yang tidak bijak mengurus hal ehwal kepolisan.
“Insya Allah profesional polis akan dipertingkatkan jika Pakatan Rakyat diberi mandat di dalam PRU ke-13 nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment