SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Wednesday, March 10, 2010

PILIHAN RAYA PBT TIDAK MUNGKIN SEBELUM PRU KE 13- DEME DAH ADE PLAN LE TU.......

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 10 Mac — Pilihan raya kerajaan tempatan yang disyorkan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat kemungkinan besar tidak akan menjadi kenyataan sebelum pilihan raya umum ke-13, yang diramal Datuk Seri Najib Razak akan panggil dalam tempoh satu hingga dua tahun ini.

Ini kerana usaha yang digerakkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor sekarang memerlukan penggubalan beberapa undang-undang secara khusus selain mengambil kira beberapa aspek lain termasuk kewangan.

“Tidak mungkin pilihan raya kerajaan tempatan ini boleh diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13,” kata seorang bekas pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada The Malaysian Insider.

“Ia akan memakan masa yang panjang kerana perlu membuat beberapa persediaan rapi, antaranya persempadanan bahagian pilihan raya, kemudian daftar pemilih dan banyak hal yang lain,” kata beliau.

Beliau berpendapat urusan pengendalian pilihan raya kerajaan tempatan walapun kelihatan kecil, tetapi memerlukan sempadan dan daftar pemilih yang jelas bagi mengelakkan implikasi perundangan.

Misalnya, di Selangor sempadan kerusi Parlimen Serdang melibatkan dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaraan Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Kajang.

“Setengah penduduk atau pembayar cukai Majlis Perbandaran Kajang menjadi pengundi Serdang dan Hulu Langat yang merupakan dua kerusi Parlimen... jadi akan ada masalah-masalah begini yang perlu diteliti dan diselesaikan.

“Kalau SPR setuju pun tidak boleh menggunakan daftar pemilih yang sedia ada kerana PBT melibatkan bahagian pilihan raya yang berbeza... banyak perkara yang perlu diteliti,” katanya.

Lazimnya, penggubalan undang-undang akan mengambil masa setahun manakala proses persempadanan juga dianggarkan memakan masa setahiun lagi, jadi kesemuanya memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun.

“Jadi proses-proses ini akan menelan masa, bukan sesuatu mudah,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak apabila ditanya sama ada SPR, yang kini berusi 53 tahun, pernah mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Beliau mengakui pilihan raya kerajaan sempadan lebih empat dekad lalu pernah diadakan dengan kerjasama SPR.

“Ia turut melibatkan beberapa pihak yang lain di peringkat negeri,” katanya.

Sumber itu berkata, walaupun Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan bahawa SPR boleh mengadakan pilihan raya lain selain pemilihan peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, tetapi suruhanjaya itu perlu ada kuasa-kuasa khas yang lebih jelas.

“Kuasa perlu berasaskan kepada undang-undang yang tidak wujud pada masa sekarang,” kata beliau.

Sumber itu juga menambah, undang-undang pilihan raya kerajaan tempatan yang telah digantung sejak 1964 perlu dihidupkan semula.

“Perlembagaan Persekutuan dan negeri perlu dipinda untuk memberikan kuasa kepada SPR mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya.

Dalam komennya pagi semalam, Perdana Menteri berkata pemilihan di peringkat pihak berkuasa tempatan tidak perlu diadakan kerana ia hanya menyebabkan wujudnya lebih banyak politiking.

“Kita berpendapat pilihan raya kerajaan tempatan telah lama dihapuskan, jadi tak perlulah diadakan semula kerana akan sebabkan politiking di peringkat tempatan,” kata beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional.

“Calon-calon akan jadikan kempen-kempen sebagai tumpuan, dan perkhidmatan PBT tak semestinya menjadi lebih baik,” kata beliau.

Dua daripada empat kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat mahu mendapatkan kerjasama SPR untuk mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri masing-masing.

Pilihan raya kerajaan tempatan kali pertama diadakan pada 1951 tetapi dihentikan pada 1965 ketika konfrontasi dengan Indonesia.

Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memberi jaminan pilihan raya kerajaan tempatan akan dipulihkan selepas keadaan kembali pulih.

Ekoran permintaan Pulau Pinang minggu lalu, SPR berkata sedang mengkaji permintaan Pulau Pinang dari sudut perundangan.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata pihaknya telah menulis surat kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada 4 Mac agar mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan Majlis Perbandaraan Pulau Pinang dan Majlis Perbandaraan Seberang.

Sehari selepas kenyataan Lim itu, Selangor juga berkata akan menulis kepada SPR kemungkinan untuk mengembalikan semula pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu.

Abdul Aziz ketika dihubungi The Malaysian Insider sebelum ini memberitahu, “setahu saya kami hanya mengadakan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, kami tiada pengalaman mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.”

Lim berkata, menurut Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri ingin memberi kuasa kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaraan Seberang Prai.

Lim berkata Perkara 113(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri boleh memberi kuasa kepada SPR menjalankan apa-apa pilihan raya yang lain daripada pilihan raya yang dinyatakan dalam Fasal (1).

Dalam suratnya Lim menambah, undang-undang negeri yang menganugerahkan kuasa kepada kerajaan negeri sebagai pihak berkuasa negeri yang berkompeten termasuk Akta Pilihan Raya Tempatan 1960 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP telah mengesyorkan undi ketiga ini ketika kempennya pada 2007, setahun sebelum Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang ketika itu perdana menteri, memanggil pilihan raya umum ke-12.

Bagaimanapun kerajaan persekutuan enggan mengiktiraf permintaan Pakatan Rakyat agar diadakan pilihan raya kerajaan tempatan.


Copyright © 2010 The Malaysian Insider.

No comments:

Related Posts with Thumbnails