SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Friday, October 30, 2009

KRITERIA SUAMI YANG SHOLEH.

Antara kriteria suami yang disarankan Islam adalah:-

1. Bersikap jujur dan berterus terang ketika membuat lamaran.

Sikap ini bermula sebelum lelaki itu menjadi suami iaitu ketika lamaran dibuat. Sejak awal lagi, dia menunjukkan kejujuran dan berterus terang. Dia bukan saja mahu merisik kebaikan dan kelemahan calon isterinya, malah kelemahan dan kelebihannya juga tidak disembunyikan.

2. Melayan isterinya dengan baik.

Layanan dan kasih sayang yang diberikan oleh seorang suami menunjukkan bahawa dia menghormati isterinya sebagai teman dan sahabat yang diperlukannya ketika senang atau susah. Segala kekurangan dan kelebihan isterinya diterima dengan hati tabah dan reda.

Firman Allah bermaksud: "Dan pergaulilah mereka (suami isterimu) dengan makruf." (Surah an-Nisa, ayat 19)

3. Mengasihi isteri seperti dirinya sendiri.

Suami baik dan ideal adalah seorang yang tidak terlalu cemburu, tidak menyimpan rasa curiga dan tidak bersifat keterlaluan dalam segala sesuatu. Dia sanggup memberikan sepenuh kepercayaan kepada isteri, di samping melindungi maruah dan kehormatan dirinya. Malah, jika didapati ada sebarang kelemahan pada isteri, dia mudah berlapang dada dan bersedia membantu untuk memperbaikinya dengan penuh kasih sayang.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Orang yang beriman tidak boleh membenci isterinya. Jika dia tidak suka kepada salah satu perangainya, tentu ada salah satu perangainya yang dia sukai." (Hadis riwayat Muslim)

4. Memuliakan isteri.

Memuliakan isteri, termasuk kemampuan seorang suami untuk berbicara dan berkomunikasi dengan baik dalam setiap keadaan serta mengucapkan kata-kata yang menenangkan jiwa isterinya. Suami juga mesti pandai mengambil hati isteri ketika dia menghadapi tekanan emosi atau kepenatan dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Rasulullah bersabda bermaksud: "Yang terbaik antara kamu adalah orang yang terbaik kepada isterinya. Sebab orang yang memuliakan wanita, pasti orang yang mulia. Sebaliknya, orang yang menghina wanita (isteri) pastilah orang tercela." (Hadis riwayat Ibnu Asakir)

5. Memenuhi hak isteri sesuai dengan syariat Islam.

Suami salih akan berusaha memenuhi hak isterinya sesuai dengan syariat Islam. Sabda Rasulullah bermaksud: "Hendaknya orang yang mampu menafkahkan kepada isterinya menurut kemampuannya. Dan orang yang sedikit rezekinya, hendaklah memberi nafkah sesuai yang Allah berikan."

Justeru, suami perlu memberikan belanja yang cukup, tidak boros dan bakhil kepada isterinya sesuai dengan garis kesederhanaan.

6. Sentiasa menjaga kebersihan dan berhias untuk isteri.

Seperti tuntutan ke atas isteri, seorang suami juga dituntut untuk berhias dan berhadapan dengan isterinya dengan bersih dan kemas tanpa mengurangkan sifat kelelakian dan kewibawaannya. Rasulullah bersabda bermaksud: “Cucilah wahai lelaki pakaianmu, pakailah minyak rambut, bersihkan gigimu dan bersucilah kerana Bani Israel tidak melakukan hal ini kepada isteri mereka." (Hadis riwayat Thabrani)

7. Memelihara rahsia rumah tangga.

Suami yang baik mampu menjaga kerahsiaan dalam rumah tangganya dan tidak mudah untuk disebarkan kepada orang lain. Ini termasuk kelemahan isterinya sendiri. Sebaliknya, beliau cuba untuk menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi dengan bijak dan berhikmah.

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah: "Apa hak isteri ke atas suaminya?" Nabi menjawab: "Memberi isteri makan apabila kamu makan, memberi isteri pakaian apabila kamu berpakaian, tidak boleh memukul wajahnya dan tidak boleh menjelek- jelekkannya dan menjauhinya kecuali dalam lingkungan rumahmu." (Hadis riwayat Abu Daud)

Sesungguhnya, kaedah pertemuan antara dua insan sebelum pernikahan akan menentukan nilai dalam kehidupan berumah tangganya nanti. Apabila pasangan itu bertemu dulu bukan kerana Allah, maka segera memperbetulkannya mengikut syariat Islam.

Begitu juga ketika proses pernikahan, apabila ia dijalankan dengan tidak melanggar syariat, maka ia akan mudah dibentuk menjadi rumah tangga ideal yang penuh kebahagiaan (sakinah) dan berkasih sayang (mawaddah warahmah).

Rumah tangga yang mengalami proses sebegini umpama sebuah pohon yang sedang tumbuh di persekitaran subur, walaupun nampak lambat, namun pasti besar merimbun.

1 comment:

mAlonG Sufina said...

harap-harap suami ana macam ni laaa.

Related Posts with Thumbnails