Muslimat di Bawah Kerajaan Islam Yang Adil
Apabila seorang muslimin atau muslimat berada di bawah sebuah kerajaan islam yang adil,maka hendaklah dia mempertahankan kerajaan itu dari dicerobohi oleh musuh.Hatta kalau diperlukan,hendaklah dia ke medan perang demi mempertahankan Islam dan kerajaan yang adil itu.Hal ini telah dilakukan oleh para muslimat di zaman Rasullullah SAW. At Tarmizi dan Abu Dawud ada meriwayatkan daripada Anas bin Malek RA:
Maksudnya:
"Rasullullah SAW berperang bersama Ummu Sulaim dan beberapa muslimat dari Al Ansar,mereka menyediakan minuman dan mengubat orang yang luka".
(Hadis diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Al-Tirmizi)
Buku sejarah Islam menceritakan kepada kita bahawa seorang muslimat di zaman Rasullullah SAW yang di gelar Ummu Kajah sentiasa menyediakan kelengkapan untuk suaminya kerana menghadiri peperangan Uhud. Di samping itu dia menyediakan kain-kain buruk untuk membalut orang-orang luka dan menyediakan air untuk diberi minum kepada muhajidin.
Melihat kejadian itu suaminya bertanya: "Di mana dua orang anak perempuan kita itu hendak engkau tinggalkan?".Dia menjawab:"Saya tinggalkan mereka bersama-sama ibu saya.Saya juga ingin mendapat pahala jihad". Suaminya syahid di dalam peperangan itu dan dia pulang menjaga anak-anaknya yang yatim itu.
Selain daripada ke medan perang kerana mempertahankan Islam dan kerajaan Islam yang adil, muslimat juga memainkan peranannya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pemimpin negara dan memberi nasihat kepada pemimpin terlanjur. Hal ini dapat kita lihat apabila kita membaca kisah Perdamaian Hudaibiyah.
Terdapat di dalam perjanjian itu butir-butir yang tidak dipersetujui oleh para sahabat tetapi telah diterima oleh Rasullullah SAW . Nabi telah bersetuju bahawa umrah tidak diadakan pada tahun itu tetapi akan diadakan pada tahun berikutnya. Oleh itu Rasullullah SAW memerintah supaya masing-masing menyembelih Dam masing-masing. Tiada siapa yang mahu melaksanakan perintah Rasullullah SAW itu walaupun berkali-kali diperintah oleh Baginda.
Memandangkan hal ini boleh mengundang bahaya,Rasullullah SAW terus masuk ke dalam khemah Ummu Salamah(Ummul-Mu'minin) menceritakan hal itu kepadanya.Ummu Salamah yang bijak dan jauh pandangan itu memberitahu Rasullullah bahawa cara penyelesaiannya ialah Rasullullah sendiri keluar dan jangan bercakap dengan sesiapa jua,menyembelih Damnya dan terus bercukur. Pandangan ini adalah baik dan diterima oleh Rasullullah SAW . Apabila cadangan ini dilaksanakan semua orang mengikut perbuatan Baginda dan selesailah masalah yang dihadapi itu.
Dari buku Muslimat Pembangun Ummah
No comments:
Post a Comment