SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Tuesday, October 1, 2013

PAS AKAN PERTAHAN DUN SUNGAI LIMAU


Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkeyakinan dengan kekuatan dan pengaruh yang dibina oleh bekas Adun Sungai Limau, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, PAS mampu mempertahankan kerusi Dun berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

Katanya, Ustaz Azizan telah menunjukkan kecemerlangan sejak menjadi Adun tahun 1995 sehingga 2013 dengan mengekalkan kemenangan PAS di kerusi tersebut.

Dalam pada itu, Mahfuz tidak memandang mudah untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) apabila melihat faktor-faktor yang dipergunakan oleh parti itu dalam setiap pilihan raya kecil.

"Saya yakin dengan kekuatan yang dilakukan Ustaz Azizan sebelum ini, kecemerlangan yang ditunjukkan membolehkan PAS mengekalkan kemenangan sejak 1995 hingga 2013.

"PAS mampu mempertahankan kerusi tersebut pada PRK kali ini, tetapi dalam masa yang sama ia bukan satu laluan mudah apabila setiap kali berlakunya PRK, BN akan berjanji dengan pelbagai imbuhan kepada pengundi yang boleh mempengaruhi pengundi," jelas beliau pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkeyakinan pengundi di Dun Sungai Limau akan tetap bersama PAS untuk memastikan parti itu terus kekal di kerusi tersebut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata calon belum diputuskan di peringkat parti dan ia hanya diumumkan apabila hampir hari penamaan calon.

Katanya, calon yang akan dipilih nanti pasti dapat mewarisi kecemerlangan bekas Menteri Besar Kedah sebelum ini.

"Kita akan pastikan calon yang dipilih nanti mempunyai kewibawaan dalam meneruskan tradisi kecemerlangan Ustaz Azizan sepanjang 1995 hingga 2013," kata Ahli Parlimen Kuala Krai itu lagi.

No comments:

Related Posts with Thumbnails