SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Monday, February 20, 2012

RUNDINGAN KERUSI PR HAMPIR SELESAI-MAT SABU

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata bahawa rundingan kerusi untuk ditanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 di kalangan Pakatan Rakyat telah hampir selesai, malah seandainya diumumkan pembubaran parlimen pada minggu depan pun, beliau yakin ia dapat diselesaikan oleh PAS, DAP dan PKR.

"Boleh kata kalau dia panggil bubar parlimen minggu depan pun kita boleh selesaikan perkara ini. Insyaallah," katanya dalam satu sidang media selepas satu forum berjudul "PRU 13: Peranan Strategik dan Kritikal PAS menjayakan Roadmap Pakatan ke Putrajaya", anjuran Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) di Hotel Midah.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Mat Sabu (gambar kiri), mengakui wujud beberapa pertindihan kerusi yang ingin ditandingi, antara PAS dengan ADIL dan DAP dengan ADIL. Bagaimanapun, ketika ditanya sejauh manakah rundingan itu telah selesai, beliau memberi jawapan lebih kurang 80%.

Malah, beliau berkata PAS mungkin bertanding lebih berbanding 66 kerusi parlimen ketika PRU 12, melonjak ke angka sekitar 80 kerusi parlimen, dengan pertambahan kerusi dari Sabah dan Sarawak. Menjawab soalan wartawan yang khusus kepada negeri Johor, beliau berkata Pakatan Rakyat tidak banyak mengusik status quo di negeri itu, dengan PAS bertanding lebih banyak kerusi di peringkat DUN, sementara PKR dan DAP lebih bertanding di peringkat parlimen.

Mat Sabu sendiri tidak pasti sama ada beliau akan bertanding, malah mendakwa dirinya bersedia untuk akur seandainya parti memutuskan beliau tidak bertanding. Ketika menjawab sama ada Dewan Himpunan Penyokong PAS akan diberi peluang untuk bertanding atas tiket PAS, beliau berkata perkara ini masih dalam perbincangan, sambil menjelaskan bahawa penyokong PAS semakin menerima calon bukan Islam untuk mewakili PAS, berbanding tahun-tahun yang lalu. Tambahan pula, perubahan senario di Timur Tengah, menyaksikan bagaimana calon kristian yang diletakkan bertanding untuk Ikhwan Muslimin menang dalam pilihan raya di Mesir, akan memudahkan penerimaan muslim kepada calon bukan Islam dari PAS.

20 ribu dijangka hadir Himpunan Hijau 2.0


Di samping itu, Mat Sabu selaku Timbalan Presiden PAS, menyeru agar ahli PAS turut serta dalam satu perhimpunan pada pagi 26 Februari (Sabtu) di Kuantan, untuk menyatakan bantahan terhadap kilang pemprosesan nadir bumi Lynas, tentang bahayanya industri itu kepada penduduk setempat dan rakyat Malaysia.

Beliau menjangka lebih 20 ribu orang akan hadir pada hari itu, dan berisytihar bahawa PAS akan bersama dengan badan-badan NGO yang menganjurkan perhimpunan ini pada 26 Februari 2012.

No comments:

Related Posts with Thumbnails