SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Friday, January 13, 2012

SHAHRIZAT AMBIK CUTI



Keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengambil cuti tiga minggu daripada tugas menteri bermula hari ini dilihat sebagai rancangan meredakan keadaan oleh Putrajaya buat Ketua Wanita Umno dan partinya ekoran penyelewengan dana kerajaan melalui syarikat penternakan yang dibiayai kerajaan, demikian menurut kenyataan satu sumber dalaman.

The Malaysian Insider difahamkan pentadbiran Najib merasakan itu adalah langkah terbaik dalam situasi sekarang walaupun sesetengah pihak beranggapan cutinya itu atas dasar rasa bersalah terhadap skandal projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Turut berkemungkinan tindakan akan diambil terhadap suami dan anak-anaknya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis selesai menjalankan siasatan terhadap projek bernilai RM250 juta yang memperolehi pinjaman mudah pada 2008.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan terdapat kecelaruan di dalam projek tersebut.

“Keputusan Shahrizat (gambar) untuk bercuti adalah perkara terbaik untuk Umno dan memberikan nafas lega kepada pentadbiran Najib,” menurut sumber kerajaan kepada The Malaysian Insider.

Menurutnya, pegawai kanan kerajaan telah berbincang berkaitan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mencadangkan kepada Shahrizat untuk mengambil cuti pendek.

“Shahrizat pada mulanya enggan, tetapi kemudiannya bersetuju untuk mengambil cuti,” tambahnya.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat ini dalam kenyataannya semalam berkata dia telah meminta Najib untuk membenarkannya bercuti selama tiga minggu bermula hari ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah memohon bercuti rehat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, selama tiga minggu bermula 13 Januari 2012 daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kenyataan dua perenggan tersebut turut menyatakan Shahrizat berharap SPRM dapat menjalankan siasatan sama ada dirinya terlibat atau tidak dalam skandal NFC seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Saya berharap pihak SPRM akan dapat menjalankan siasatan sama ada saya terlibat atau tidak di dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh Kerajaan mengenai National Feedlot Corporation (NFC) di mana suami saya Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif,” tambahnya.

Ketua Wanita Umno itu pada mulanya enggan mengulas berkenaan tuduhan terbaru yang dikemukakan PKR berkaitan skandal berkenaan semalam apabila diajukan soalan oleh pemberita.

PKR mendedahkan terdapat satu emel semalam yang memperincikan bagaimana peguam NFC memberitahu seorang pegawai kanan MACC terdapatnya individu yang membayar wang kepada orang tengah-dipercayai Datuk Shamsubahrin Ismail- untuk mempengaruhi siasatan polis terhadap projek penternakan lembu tersebut.

Pegawai berkenaan dalam emelnya juga menyatakan, “Dia memberitahu kami mengenai kaki penipu ini, seorang bermulut manis yang berjaya meyakinkan pelanggannya yang tertekan untuk memberikan wang supaya dapat mempengaruhi polis supaya bersikap kurang kasar (dengan NFC) semasa soal siasat.

Dalam emelnya itu juga, pegawai tersebut menyatakan “sekarang ini SPRM boleh campur tangan untuk menyiasat, kalau tidak sebelum ini perkara ini adalah urusan polis”.

Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas telah mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa individu yang menghantar emel terbabit adalah dirinya, sebagaimana dakwaan terbaru PKR itu.

“Sedih melihat seorang boleh menjadi bodoh apabila tersepit,” menurut emel berkenaan.

Selain itu, Datuk Shamsubahrain Ismail telah dituduh menipu Pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.76 juta sebagai bayaran rundingan untuk mendapatkan perkhidmatan penasihat.

Mohamed Salleh, suami kepada Shahrizat bagaimanapun menafikan Shamsubahrin bukanlah saudara terdekatnya mahupun pernah bekerja dengan NFC.

Polis dan SPRM sedang menyiasat kemungkinan terdapatnya kes pecah amanah dalam NFC berdasarkan laporan PKR terdapat sekurang-kurangnya sejumlah RM27 juta dana kerajaan itu digunakan untuk membeli tanah dan hartanah yang tidak berkaitan dengan projek berkenaan.

Pembangkang mengetengahkan isu NFC, yang menyenaraikan ketiga-tiga anak Shahrizat sebagai lembaga pengarahnya terlibat dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara tahun lepas apabila dilihat gagal mencapai sasarannya.

Sejak itu, PKR telah membuat beberapa pendedahan berhubung skandal tersebut termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar dan penggunaan dana untuk keperluan peribadi keluarganya.

PKR kemudiannya mengemukakan bukti-bukti penyelewengan lain termasuk pembelian kereta Mercedes-Benz CLS350 berharga RM534,622 dan dua lot tanah di Precinct 10, Putrajaya dengan nilai RM3,363,507.

PKR turut mendakwa sejumlah RM10 juta telah dipindahkan ke Singapura untuk pembelian kondominium mewah untuk keluarganya.

Shahrizat cuba mengalih perhatian terhadapnya dengan menyatakan dakwaan dia hanya isteri kepada Pengerusi NFC, dan tidak mempunyai sebarang kaitan terhadap skandal tersebut.

Shahrizat bukan sahaja menerima desakan meletak jawatan daripada pembangkang, malah turut menerima desakan daripada rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

No comments:

Related Posts with Thumbnails