Datuk Seri Anwar Ibrahim meramalkan sekiranya beliau didapati bersalah dan dihukum penjara pada 9 Januari ini ia akan membantu Pakatan Rakyat neraih lebih banyak sokongan pengundi dan rakyat Malaysia akan bangkit menentang gejala rasuah dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN).Ketua Umum PKR ini didakwa atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, satu tuduhan yang mana beliau telah menafikan sekeras-kerasnya dan menyifatkan ia satu konspirasi untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah dijangka akan mengumumkan keputusan kes liwat itu pada Isnin ini.
“Jika saya dihukum penjara, kita akan dapat lebih banyak sokongan…Anwar masuk atau tidak (ke dalam penjara) tiada masalah, pilihan raya akan datang kita mesti menang walau apa jua cara.
“Anda boleh tahan lelaki itu dalam penjara tetapi misi akan semakin kuat seperti biasa malah lebih kukuh,” katanya dalam satu ceramah di Subang Jaya malam tadi.
Kira-kira 2,000 orang telah hadir mendengar ceramah yang disampaikan ketua pembangkang itu.
Anwar menuduh “musuh politiknya” memperbesarkan tuduhan terhadap dirinya dengan pelbagai tohmahan seperti pro-Kristian, pluralisme, ejen Yahudi dan homoseksual.
“Jangan ancam saya dengan hukuman penjara. Mereka pernah memukul saya, mereka pernah membogelkan saya.
“(Tetapi) jika mereka fikir dengan mengurung saya akan menyebabkan Pakatan Rakyat di hujung tanduk maka mereka salah, kami telah bersedia sejak tiga tahun lalu,” dakwanya menambah pemimpin Pakatan Rakyat bersedia menghadapi “sebarang kemungkinan” yang berlaku.
PKR telah mengumumkan akan mengadakan satu perhimpunan aman pada 9 Januari untuk menyokong Anwar di kawasan parkir kereta di luar Mahkamah Tinggi Jalan Duta dan menambah polis telah memberikan kebenaran.
Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat akan memastikan sejumlah 100,000 rakyat akan turut serta dalam perhimpunan tersebut bagi menunjukkan sokongan terhadap Anwar ketika Mahkamah Tinggi membuat keputusan Isnin ini berkaitan kes liwat keduanya.
No comments:
Post a Comment