SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Friday, December 23, 2011

MEMORANDUM UNTUK MESIR


Gabungan pertubuhan wanita, Solidariti Wanita Prihatin hari ini menyerahkan satu memorandum ke pejabat Kedutaan Mesir bagi membantah perlakuan kejam tentera negara itu terhadap kaum wanita.

Ianya berhubung rakaman satu klip video yang disebar di internet yang memaparkan seorang wanita Mesir yang menyertai demonstrasi rakyat negara itu diserang dan dibelasah tentera dengan kayu pemukul sehingga separuh mati.

Lebih menyedihkan, apabila pakaian dan tudung wanita itu juga telah ditarik hingga terselak sekaligus mengaibkannya.

Malah dua lelaki yang cuba membantu wanita itu juga turut dipukul dengan kejam oleh tentera tersebut.

Penyerahan memorandum itu disertai Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud, AJK International Muslim Women Union (IMWU), Malaysia Azlin Hezri, wakil Empower Maria Chin Abdullah, Koordinator Solidariti Wanita Muda Malaysia (SWiMM), wakil Persatuan Mawaddah Malaysia (PMM) dan wakil Ameerah.

Memorandum mengandungi empat tuntutan itu diterima wakil kedutaan, Yasser Hashem di bangunan kedutaan itu di Jalan Rhu persiaran Ampang Hilir di sini.

Antara lain kandungan isi memorandum menyatakan desakan agar Ketua Tentera Mesir, Field Marshal Tantawi segera memohon maaf kepada wanita dan dua lelaki yang dipukul tersebut.

Mereka juga mahu Field Marshal meletakkan jawatan tertinggi tentera itu secepat mungkin.

Mereka berpendapat, wanita sepatutnya dilindungi dan dihormati kaum lelaki apatah lagi tentera yang sepatutnya menjaga keselamatan dan bukan bertindak zalim kepada orang awam.

"Ada banyak cara bagi menangani rakyat secara baik.

"Jika demonstrasi itu ganas ke apa ke, mereka perlu ditangani dengan baik, bukan ganas dilawan dengan ganas," katanya Dr Siti Mariah kepada pemberita selepas penyerahan itu.

Bercakap pada sidang media sama Maria Chin dan Azlin juga sependapat, tindakan kejam tentera tersebut tidak sepatutnya berlaku sekalipun provokasi dimulakan oleh rakyat.

"Perhimpunan aman ke tak aman ke, tindakan pencabulan dan kekejaman khususnya kepada wanita seperti ini tidak patut berlaku," kata Maria.

Aiman Athirah pula berkata, beliau tidak menolak kemungkinan tindakan tersebut cubaan memberi gambaran buruk terhadap kepimpinan baru negara itu selepas kejatuhan regim akibat kebangkitan rakyat enam bulan lalu.

Katanya, banyak pihak tidak senang dengan kemenangan parti yang memperjuangkan Islam di negara itu dan cuba memburukkan imej mereka.

Dalam pada itu, bantahan sama turut dibuat di Mesir apabila kaum wanita turun beramai-ramai di Kaherah sebagai tanda protes.

No comments:

Related Posts with Thumbnails