Datuk Ibrahim Ali hari ini menjelaskan, komponen Pakatan Rakyat, PAS dan DAP akan menghadapi masalah untuk memimpin negara secara bersama ekoran terdapatnya perbezaan ideologi dalam kedua-dua parti berkenaan.
“PAS dan DAP akan menghadapi masalah membentuk kerajaan bersama sekiranya mereka memerintah, mereka perlu menyelesaikan masalah perbezaan ideologi sebelum menjadi pemerintah,” katanya di sini.
Ibrahim berkata demikian selepas ditanya pemberita berkenaan pandangannya terhadap manifesto yang akan dikeluarkan Pakatan Rakyat pada 14 Januari depan.
“Perkasa akan melihat siapa penganjur dan pemimpinnya sebelum menyokong manifesto berkenaan, kami tidak mahu ambil risiko, semua orang boleh berjanji, tapi masalahnya adalah menunaikan janji berkenaan,” katanya ketika sidang media di sini.
Menurut Ibrahim, sebarang perubahan terhadap dasar negara ini memerlukan pendekatan yang berhati-hati kerana banyak negara luar yang mengalami perubahan menjadi semakin buruk.
“Kita lihat kes Dataran Tahrir, Mesir bukan sahaja tidak berubah, malah menjadi bertambah buruk,” katanya lagi.
“Evolusi negara ini bukan perkara mudah, ia memakan masa dan perlu lebih berhati-hati, pendirian Perkasa jelas, kami akan melihat sejauh mana mereka betul-betul ikhlas, kemudian baru kami akan bat keputusan,” jelasnya.
Mengulas berkenaan isu Hasan Ali yang dipelawa Perkasa untuk meyertai mereka, Ibrahim menjelaskan keputusan itu terletak di tangan bekas Pesuruhjaya PAS itu sendiri.
“Itu pendirian beliau, dari segi perjuangan Perkasa melihat kami mempunyai persamaan, memartabatkan institusi Raja, mempertahankan Bangsa Melayu dan agama Islam, tetapi sekiranya dia (Hasan) menolak, itu haknya.
“Sekiranya Hasan benar-benar ikhlas mempertahankan tiga perkara berkenaan, matlamatnya akan jelas, namun sekiranya itu sekadar kenyataan politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu kerana cakap-cakap orang dirinya tidak dicalonkan, kita akan tahu kebenaranya nanti.
“Pelawaan kami terhadapnya masih terbuka,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment