JENTERA pilihan raya akan tempang jika tenaga wanitanya tidak dilibatkan secara proaktif. Malah, mereka merupakan tenaga kempen yang cukup rajin, dedikasi, tidak banyak karenah dan menjalankan tugasan penting, seperti kempen atau merayu undi dari rumah ke rumah. Begitu dalam PAS, gerakerja muslimatnya sentiasa menjadi pelengkap kepada persiapan menghadapi pilihan raya.
.
HARAKAH: Semua orang kini ghairah bercakap soal pilihan raya umum ke-13. Dikatakan bila-bila masa sahaja boleh dibubarkan Parlimen. Saudari mengetuai sayap terpenting, Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) ... tentu persiapan rapi sudah diatur, 'kan?
SITI ZAILAH: Ura-ura tarikh pembubaran Parlimen pada 11 Nov telah berlalu. Kepimpinan BN seperti tidak ada keyakinan untuk mengadakan pilihan raya lebih awal. Memang cabaran kali ini cukup sengit; kita mesti bersiap siaga secukupnya.
Dalam PAS, kita sudah punyai pengalaman cukup banyak dengan BN sejak PRU pertama dulu. Selepas Mac 2008, belasan kali kita hadapi pilihan raya kecil. Tidak lama lagi PRU ke-13. Kita sudah tahu sepak teranjang Umno-BN.
Pelbagai corak penipuan dan taktik jahat mereka akan buat untuk cuba sekat kemaraan dan jatuhkan kita. Justeru, DMPP telah membuat pelbagai rangka persiapan. Antara yang kami utamakan adalah lawatan ke negeri-negeri. Sudah dua kali saya turun ke negeri-negeri, hanya Sabah dan Sarawak baru sekali. Kami memantau segala sudut, termasuk kelemahan jentera yang perlu diperbaiki.
Berdepan pilihan raya, kita perlukan kekuatan akidah selain kekuatan jentera. Kita mesti bersiap untuk mengatasi strategi persiapan musuh. Malah, kita perlu melepasi sekatan mereka. Semua sudut mesti diperkukuhkan.
Kebetulan kita berpengalaman 21 tahun di Kelantan dan arif sepak terajang BN yang cuba menjatuhkan kerajaan PAS. Saya yakin formula sama diubah suai dan akan terus diguna, termasuk politik wang, menggunakan agensi kerajaan, manipulasi media dan taktik jahat untuk lemahkan jentera kita.
Sama ada BN Selangor, Wilayah Persekutuan atau Kelantan, mereka sama saja. Kita, insya-Allah, sentiasa bersedia penuh yakin. Sayayakin rakyat akan bersama kita.
Sepanjang dua kali turun ke negeri-negeri, mungkin saudari sudah dapat mengesan keperluan untuk melakukan penambahbaikan dalam aspek tertentu?
Ya, banyak perkara yang dapat kita kesan untuk penambahbaikan di peringkat negeri terutama di negeri-negeri yang kita menang - Kedah, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Dan kita mesti bersungguh-sungguh mempertahankan kerajaan itu.
Antara kelemahan ialah penyampaian maklumat. Dalam negeri yang kita menang sendiri, misalnya di pedalaman Selangor dan Kelantan, ada rakyat yang tidak tahu apa yang kerajaan buat. Sebab itu, DMPP memerlukan kekuatan jentera penerangan untuk turun padang, menggunakan mekanisma yang lebih baik, supaya perubahan sepanjang kita memerintah, yang pastinya jauh lebih baik daripada BN, dapat disampaikan kepada pengundi.
Di Selangor, khususnya di kawasan pedalaman, ada yang masih tidak tahu bahawa bekalan air percuma disediakan kerajaan negeri. Strategi dan pendekatan penerangan harus lebih rapi dan berkesan.
Mungkin kelemahan penyampaian maklumat itu disebabkan kita tidak mempunyai saluran media yang efektif? Apakah fenomena media baru tidak dapat membantu atapun tiada usaha serius untuk menyebarkan info sebelum Parlimen atau Dun dibubarkan? Masing-masing lebih menunggu saat-saat akhir?
Dalam tinjauan yang kita buat di kalangan pengundi wanita, mereka lebih mudah menggunakan media tradisi bukannya media baru. Apatah lagi golongan wanita berumur. Media baru lebih popular kepada golongan muda.
Jadi, kita perlukan satu pendekatan kempen dari rumah ke rumah, itu sangat penting. Suri rumah mesti dibekalkan maklumat yang tepat dengan cepat. Misalnya, isu kenaikan harga barang sekarang. Isu ini menjadi tekanan semua kaum.
Kita mesti diihat dapat memainkan peranan efektif dalam isu ini, bagi memberi kesedaran kepada pengundi. Bahawa punca kenaikan harga barang apabila kerajaan menstrukturkan semula subsidi yang tidak beri keutamaan pada barang keperluan harian. Kerajaan beri subsidi kepada sektor korporat seperti penjana bebas IPP, yang menelan kos lebih RM19 bilion sedangkan peruntukan makanan hanya RM3 bilion lebih.
Itupun ditarik dengan alasan kalau negara boleh bankrap kalau diteruskan. Ternyata ini sikap tidak bertanggungjawab kerajaan untuk tangani masalah kritikal rakyat.
Supaya penerangan lebih berkesan, tenaga Muslimat mesti berani menggunakan fakta, dibantu oleh gambar. Kita boleh memberi keyakinan kepada pengundi bahawa negara mesti diselamatkan dengan melakukan perubahan.
Macam mana dengan isu gaya hidup bermewah-mewahan isteri Perdana Menteri?
Ya, apa lagi dengan gaya hidup mewah dan pemborosan isteri Perdana Menteri, ditambah pelbagai penyelewengan wang rakyat. Isu ini memberi kesan besar kepada pengundi jika mereka memahaminya. Kita harus proaktif membekalkan maklumat itu.
Ceramah kelompok ataupun kempen dari rumah ke rumah juga perlu diaktifkan. Program ziarah mesti dibanyakkan kerana ia pendekatan yang terbukti sangat berkesan.
Saya suka merujuk pendekatan Umno Selangor menggunakan guru-guru Kemas untuk mendekati pengundi. Mereka menyenaraikan lebih 36 tajuk khusus untuk menyerang kerajan negeri. Guru Kemas ini diberi insiatif one-off RM3,000 dalam Bajet 2012. Ini seolah-olah satu galakan untuk mereka bekerja lebih keras.
Kita melihat BN menggunakan pendekatan meniru cara yang kita buat selama ini. Mereka menggunakan guru Kemas berkempen dari rumah ke rumah untuk menawan hati pengundi dengan memusingkan dakyah.
DMPP terutama di negeri yang kita perintah hendaklah memperkasakan jentera penerangan. Kita ada pelbagai agensi yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat terutama dari segi memahami isu-isu semasa.
Isu memang terlalu banyak memihak kita. Masalahnya, mungkin daripada sudut persembahan dan penyampaian; kita kena cari pendekatan kemaskini dan berstrategi.
Selain isu kenaikan harga barang, saudari boleh jelaskan isu-isu lain lain yang dirasakan dekat dengan wanita?
Kita lihat keruntuhan sosial dalam negara. Begitu juga kes-kes eksploitasi wanita. Ditambah dengan isu simbah asid, rogol serta keruntuhan moral. Dalam Bajet 2012, tiada penekanan khusus untuk menangani isu sosial ini sedangkan ia masalah besar negara.
Tidak ada ertinya ekonomi dan pembangunan nampak tinggi tetapi tetapi moral rakyatnya jatuh, apatah lagi bila kita turut dihimpit isu-isu ekonomi yang meruncing. Mesti ada keseimbangan antara pembangunan fizikal dan rohani. Kita inginkan sebuah negara yang dibina berimbang antara keberkatan dan pembangunan fizikal. Ini kita kena beri kesedaran kepada pengundi wanita.
Kita kena melihat jauh ke depan. Apa akan jadi kepada generasi kita, 30 hingga 50 tahun akan datang? Jika negara kita terus dipimpin dengan dasar dan corak begini, kita akan berdepan masalah lebih rumit.
Ada kajian menunjukkan 80 peratus rakyat negara kita meninggalkan solat. Lebih enam juta belia menghadapi krisis identiti. Maknanya, mereka menghadapi kecelaruan cara hidup. Ini satu angka yang menggerunkan.
Dahsyat data-data itu ...
Dalam keadaan ini masih ada suara yang menyeru kepada Islam bagi menangani konflik yang begitu teruk, ditambah lambakan anak luar nikahnya. Jika isu ini rakyat ambil mudah, saya rasa kita menuju kehancuran.
Pengundi mesti disedarkan, setiap satu undi itu menentukan masa depan negara, rakyat dan anak cucu kita. Jangan kita anggap hanya dengan satu undi itu, haa... tak apa sama saja, atau beranggapan undi BN atau PAS sama saja.
Tanggapan bahawa perkara undi itu kecil mesti diperbetulkan. Kesannya cukup besar untuk masa depan negara. Bagi saya, kita perlukan gerakan kesedaran menyeluruh bukan sahaja daripada sudut kepimpinan dalam kerajaan tapi juga masyarakat, suri rumah dan seluruh rakyat.
Kita harus membina masa depan Malaysia yang gemilang. Kita kena bina gagasan Malaysia baru untuk membawa negara ke arah yang lebih baik. Sebab itu, kita bukan sahaja impikan negara maju daripada sudut pembangunan tetapi masyarakat yang bertakwa kepada Allah, yang tinggi moral dan akhlaknya.
Dalam politik, generasi muda menjadi target utama semua pihak termasuk Umno. Boleh jelaskan apa yang dibuat atau ditekankan DMPP, terutama untuk menarik golongan muda wanita?
Generasi muda adalah sasaran penting kita. Malah di bawah kepimpinan saya sendiri, kita berikan satu pemantauan khusus, di bawah Naib Ketua DMPP, Senator Mumtaz. Saya pantau dari sudut pentadbiran dalaman. Timbalan saya, Dr Siti Mariah Mahmood memantau hubungan luar dengan Pakatan Rakyat.
Kita beri perhatian istimewa kepada generasi muda. DMPP sekarang kita tubuhkan Ameerah. Ameerah menjadi pelapis dan penggerak generasi muda daripada sudut politik. Pendekatan ini saya rasa cukup berkesan sebab kita mendekati generasi muda daripada semua peringkat. Bukan sahaja dari sudut mereka yang meminati politik tetapi juga dalam bidang kemasyarakatan dan kebajikan.
Insya-Allah kita boleh mendekati lebih ramai terutama generasi muda untuk bersama kita. Kita hendak melahirkan generasi muda yang bukan sahaja yang ceria berilmu tetapi berakhlak dan berketrampilan, yang mampu menjadi perintis kepimpinan akan datang.
Kita mahu lahirkan generasi muslimat yang mempunyai nilai budi tinggi dan boleh menjadi contoh teladan. Alhamdulillah, sambuatan menggalakkan. Pelbagai golongan bersama kita, termasuk artis muda yang mula meminati kita. Ia sangat menggalakkan. Ini satu perkembangan positif untuk tawaran generasi agar bersama kita bagi mencetuskan perubahan menyelamatkan negara kita.
Dalam Umno, apabila bercakap soal pilihan raya mesti timbul isu calon. Mereka sering membawa isu kuota calon-calon wanita dan beberapa tuntutan lain. Bagaimana dengan Muslimat PAS?
Mungkin ada sedikit berbeza. Dalam PAS, jawatan bukan matlamat atau agenda utama. Apa yang penting, bagaimana kita menggunakan peluang untuk mencapai kemenangan bagi masa depan Islam. Apa pun kepentingan suara muslimat bukan sahaja sebagai pengundi tetapi suara muslimat juga yang layak untuk diundi.
Kita lihat kepimpinan PAS memberi ruang yang seluas-luasnya untuk muslimat tampil ke hadapan bersaing di arus perdana untuk mencapai kecemerlangan. Kita sudah ada suara di Dewan Rakyat, Dewan Negara dan juga sidang Dun.
Cuma, saya rasa daripada sudut kemampuan dan kesanggupan muslimat itu sendiri. Ada negeri-negeri yang Muslimatnya merasakan mereka masih tidak bersedia. Kita daripada DMPP menggalakkan setiap negeri mempunyai, sama ada calon Parlimen atau Dun.
Terpulang kepada pimpinan Muslimat di negeri masing-masing. Ada kepimpinan negeri yang rasa masih tidak mampu tetapi ada negeri yang sudah bersedia. Saya melihat dalam DMPP ramai calon layak untuk diketegahkan. Kita ada doktor, peguam dan ramai profesional, selain aktivis akar umbi dan golongan berpendidikan agama, yang memang layak dan boleh bersaing.
Cuma beza kita dengan Wanita Umno, DMPP tidak berebut menjadi calon. Iau bukan agenda utama. Bagi kita, yang direbut adalah keredaan Allah. Matlamat kita bukan sahaja mencapai ketinggian dunia tetapi ketinggian akhirat.
Bagi saya, sebagaimana dicapai dalam konvensyen Pakatan Rakyat, DMPP bersetuju dengan cadangan 30 peratus calon wanita. Tapi DMPP tidak meletakkan mesti cukup 30 peratus. Ia bergantung kesesuaian dan kemampuan. Kita ada Masjlis Syura Ulama yang akan menapis kesusian daripada segala sudut.
Kita mematuhi apa yang diputuskan. Jika tempat itu sesuai untuk calon muslimin, kita tidak berebut. Cuma kita minta jika tempat yang sesuai untuk calon muslimat, jangan ketepikan mereka.
Masih ada Muslimat negeri yang tidak bersedia?
Ada negeri yang tidak bersedia. Ada negeri yang mengatakan suasana di negeri mereka itu lebih sesuai untuk muslimin. Saya dimaklumkan Perhubungan Negeri bersikap terbuka. Suasana di negeri itu mungkin susah menerima muslimat.
Bagaimanapun, kita menggalakkan calon muslimat. Sebab kita memerlukan suara muslimat, di peringkat Dun atau Parlimen. Di negeri yang kita perintah, kita boleh lantik Senator. Contohnya, Kelantan, sebelum kita ada Adun, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melantik muslimat sebagai Senator.
Itu permulaan untuk mendedahkan muslimat dengan peringkat penggubal dasar. Alhamdulillah di Kelantan, kita tidak ketandusan calon. Saya percaya di negeri-negeri lain juga ramai calon muslimat yang layak.
Saya mengharapkan untuk meletakkan muslimat di arus perdana, dan kita memerlukan sokongan dan dorongan daripada Badan Perhubungan PAS negeri dan kawasan. Jika tidak, muslimat kadang-kadang ada perasaan rendah diri. Sedangkan sebenarnya suara mereka sangat diperlukan.
Boleh komen secara umum prestasi Muslimat, terutama yang menduduki kerusi exco kerajaan negeri, menjadi ahli Parlimen, Adun dan Senator?
Saya minta maaf, jangan wakil rakyat muslimin berasa hati. Dari sudur tertentu, komitmen wakil rakyat muslimat lebih daripada muslimin. Ini kerana muslimat tidak banyak karenah. Mereka buat kerja sungguh-sungguh dan beri perhatian serius. Sikap muslimat lebih teliti.
Saya bagi contoh, di Kelantan, penghulu wanita ada 69 orang. Sebelum PAS memerintah tidak ada penghulu wanita. Alhamdulillah, penghulu wanita lebih rajin, lebih cepat sampai sasaran apabila berlaku kematian dan kemalangan.
Maknanya, muslimat setanding dengan muslimin. Sukar diterima ada alasan bahawa kalau letak muslimat, perkhidmatan mereka diragui, sukar turun jumpa rakyat atau tidak sebagainya. Kita ambil contoh Adun Tanjong Mas, Rohani Ibrahim. Pilihan raya umum 2008, Dun Tanjong Mas memperolehi kenaikan undi tertinggi dan nombor satu di Kelantan. Begitu juga Dr Siti Mariah di Parlimen Kota Raja, memperolehi majoriti undi tertinggi di Malaysia.
Turut emerlangan ialah exco kerajaan negeri Muslimat. Contohnya, Dr Halimah Ali exco Selangor, mempunyai prestasi kerja yang baik. Begitu juga di Kelantan, Wan Ubaidah Wan Omar dan di Kedah, Siti Ashah Ghazali.
Tiga negeri yang kita perintah, prestasi exco Muslimat banyak mendapat pujian. Banyak kerja yang dibuat tinggi pencapaiannya. Maknanya, mereka mampu melaksanakan kerja dengan baik.
Saya yakin jika diberi peluang dan ruang, banyak lagi muslimat boleh buat. Sebab muslimat ini rajin dan bekerja bersungguh-sungguh. Buat kerja dengan ikhlas.
No comments:
Post a Comment