Katanya, mahasiswa wajar diberi peluang untuk mendepani politik semasa supaya minda mereka boleh berkembang dan menjadi masyarakat yang dapat memajukan negara.
"Mahasiswa generasi kini harus diberi peluang melibatkan diri dalam politik supaya mereka mampu berfikir demi kemajuan negara," kata beliau pada Forum Awam AUKU dan UKM4 di sini malam tadi.
Beberapa jam sebelum forum itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata AUKU boleh dipinda atau dihapuskan sekiranya mahasiswa memberikan sepenuh perhatian terhadap pelajaran tanpa "digagahi" oleh pihak lain.Katanya, kerajaan memperkenalkan AUKU pada 1971 disebabkan oleh beberapa insiden, dan pengenalan akta itu ialah supaya pelajar dapat menumpukan sepenuh masa dalam pelajaran di universiti serta kolej dan tidak "diganggu" dengan kegiatan luar.
Forum itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Rayuan akhir bulan lalu bahawa AUKU bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah Rayuan memutuskan AUKU yang melarang penuntut universiti menyertai politik bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah membuat keputusan 2-1 dalam permohonan yang dibawa oleh empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang kini sudah menamatkan pengajian, mencabar peruntukan 15(5)(a) AUKU.
Permohonan itu dikemukakan awal tahun lalu selepas mereka dikenakan tindakan oleh UKM kerana berada di Hulu Selangor ketika pilihan raya kecil kerusi itu April 2010.
Mereka terdiri daripada Muhammad Hilman Idham, Woon King Chai, Muhammad Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina Mohamad Adzha sebelum ini mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh UKM bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) AUKU adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.
Aziz yang dikenali sebagai pakar perlembagaan menambah, pemikiran sempit dan sikap 'pak turut' golongan mahasiswa yang dibentuk akibat penguatkuasaan AUKU akan membantutkan usaha memajukan negara kerana pemikiran masyarakat tidak akan berkembang.
"Negara tidak akan maju dengan generasi pak turut ini, mereka menjadi jumud dan mengamalkan pemikiran sempit yang tidak akan memberi sebarang manfaat untuk kemajuan negara," katanya.
"AUKU hanya melahirkan golongan pengampu untuk BN, mereka yang bekerja dan menyokong BN, sebab itu mereka (BN) pertahankan akta ini" katanya lagi.
Jelasnya lagi, pentadbiran kerajaan sekarang menjadikan institusi pengajian tinggi tidak ubah umpama kilang yang melahirkan ramai graduan, tetapi tidak membawa hasil kepada negara.
"Universiti dah jadi macam kilang. Keluarkan ramai pelajar, tapi tidak ada yang dapat memberikan sumbangan memajukan intelektual masyarakat," katanya.
No comments:
Post a Comment