Laporan Ketua Audit Negara yang diserahkan di dewan rakyat selepas tertangguh selama 17 hari ternyata mengandungi beberapa pendedahan mengejutkan.Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan RM56,350 bagi sepasang ‘binocular marine’ atau teropong visi malam, 29 kali lebih tinggi daripada harga pasaran bernilai RM1,940, dedah Laporan Ketua Audit 2010.Jabatan itu juga membayar jumlah yang sama bagi sepasang binocular visi malam jenama Bushnell, atau 1,893 peratus lebih tinggi daripada harga sebenar RM2,827
Ia juga didapati ‘terlebih bayar’ RM38,470 dan RM13,918 bagi set radar Colour Marine berharga RM8,255 dan sebuah TV LCD dengan pemain cakera DVD bernilai RM16,100 dan RM2,182 masing-masing.
Barangan lain termasuk:
- Komputer riba dan pencetak warna berharga RM3,428 pada harga RM11,845 (lebihan 246 peratus)
- Hand-held portable VHF Transceiver berharga RM1,561 pada harga RM4,324 (lebihan 177 peratus)
“Semakan audit mendapati tiada bukti JTLM telah membuat kajian pasaran sewajarnya.
“Bagaimanapun, pihak JTLM mempunyai anggaran harga pasaran yang tidak dapat dikenal pasti asas perkiraannya.
“Analisis Audit mendapati perbezaan harga ketara antara 177 peratus hingga 2,805 peratus terhadap kadar harga yang ditetapkan dalam kontrak berbanding anggaran harga pasaran,” kata laporan audit yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
Manakala harga komputer riba Acer Aspire 3935 yang sepatutnya berharga RM3,428 pada harga pasaran dibeli dengan harga RM11,845.
Perbezaan harga sebanyak RM8,417 itu adalah 246 peratus lebih tinggi berbanding harga asal.
Selain itu, pemain LCD dan TV LCD dibeli dengan harga RM16,100 berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM2,182 sahaja.
Sementara peralatan walkie talkie pula dibeli pada harga RM4,324 sedangkan harga pasaran hanyalah RM1,561 bagi setiap unit.
Selain itu, Majlis Sukan Negara (MSN) membeli 23 ekor kuda berjumlah RM5.66 juta secara runding terus tanpa mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.
Lebih mengejutkan, lapan belas daripadanya yang dibeli bagi menyertai pertandingan ekuestrian dan sukan lasak dikategorikan sebagai tidak layak dan terpaksa diserahkan kepada pelbagai jabatan kerajaan.
Ini kerana kuda-kuda yang dibeli pada 2008 itu gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa atau Federation Equestre Internationale.
Dari jumlah itu, hanya lima kuda didapati layak untuk memasuki pertandingan di peringkat kejuaraan dunia.
Pemilihan itu dibuat oleh jawatankuasa direktorat World Endurance Championship, yang diketuai ketua pengarah Institut Sukan Negara (ISN), termasuk doktor veterinar, pegawai teknik dan pengurus projek.
Kuda-kuda itu dibeli daripada Equine Centre Sdn Bhd (enam ekor) bernilai RM1.98 juta, El Ranco Country Club (13) dengan harga RM2.48 juta, Royal Terengganu Endurance Stable (dua) pada harga RM0.58 juta Toft Endurance Pty Ltd (dua) dengan nilai RM0.62 juta
Lapan belas kuda yang ‘ditolak’ itu berharga RM3.94 million dan telah diagihkan kepada beberapa agensi kerajaan iaitu Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (tiga kuda)Unit berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (tiga), Pusat equestrian Angkatan Tentera (dua), Universiti Putra Malaysia (tiga), Universiti Teknologi Malaysia (dua), Majlis Sukan Terengganu (dua) dan Royal Terengganu Endurance Stable (lapan).
No comments:
Post a Comment