“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa. Sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu di kalangan mengikut Nabi-nabi di zaman dahulu, supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah Ta’ala”.
Di bulan yang mulia ini, kita dihidangkan oleh Allah SWT dengan rezeki makanan rohani dan jasmani, yang menyuburkan kehidupan kita di alam dunia dan menuju ke alam akhirat. Kita dihidangkan bukan sahaja dengan amalan puasa yang diwajibkan. Pahalanya, berlipat kali ganda tidak terhingga hanya diketahui oleh Allah SWT. Diampunkan dosa dalam masa setahun sekiranya kita menunaikan puasa dengan sempurna mengikut syarat rukun dan adap-adapnya.
Dihidangkan dengan ibadah-ibadah wajib yang telah sedia ada seperti sembahyang lima waktu dilipat-gandakan pahalanya. Disamping ibadat-ibadat yang sunat yang biasa dilakukan dan ibadat sunat yang dikhususkan di bulan Ramadan seperti sembahynag terawih, bertadarus al-Quran. Semua ibadah-ibadah ini ialah untuk membersihkan roh dan menguatkan rohani kita.
Kita dihidangkan juga dengan makanan-makanan jasmani seperti bersahur, berbuka puasa. Di mana makanan sahur dan buka puasa adalah makanan yang dikaitkan dengan puasa. Bukan sebarangan seperti makanan-makanan lain. Ianya, mengandungi keberkatan yang tersendiri.
Inilah ibadat yang merupakan hadiah yang sangat berharga daripada Allah SWT yang wajib kita terimanya. Di mana pulangannya, kembali kepada kita. Allah Ta’ala tidak berhajat kepada apa-apa faedah. Itu ialah sumbangan percuma yang mahal harganya daripada Allah SWT.
Kita hendaklah mengambil kesempatan ini dengan sepenuh-penuhnya. Kemuncak daripada ibadat yang kita tunaikan sepanjang sebulan. Sekiranya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Maka, kita mencapai matlamat dan tujuan yang dinyatakan oleh Allah SWT.
Sifat “taqwa”, kepatuhan kepada Allah SWT sehingga menjadi sifat yang tertanam di dalam hati yang membentuk peribadi kita. Mengerjakan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang merupakan penentuan, martabat, harga diri manusia. Kerana Allah SWT meletakkan harga diri manusia bukan dengan keturunan, warna kulit, harta benda tetapi dengan ukuran ketaqwaan kepada Allah SWT.
Firman Allah yang bermaksud; “Wahai manusia, sesungguh kami telah mencipta kamu kepada seorang lelaki dan seorang perempuan. Berbangsa-bangsa, bersuku kaum supaya kamu berkenalan antara satu sama lain. Dan yang paling baik di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling banyak bertaqwanya kepada Allah SWT”.
Ibadat puasa meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Apabila kita sanggup meninggalkan perkara-perkara yang dilarang walau pun perkara yang dihalalkan di masa yang lain. Sudah tentu melatih diri kita untuk meninggalkan perkara yang dilarang sepanjang hidup kita. Sekiranya kita bersedia meninggalkan makan minum, meninggalkan hubungan antara lelaki dan perempuan atau suami dan isteri. Yang diizinkan oleh Allah SWT dibulan Ramadan, yang menjadi keperluan naluri manusia rukun hidup. Kita sanggup melaksanakan perintah Allah SWT dengan penuh kesabaran, dengan penuh keimanan. Percaya kepada janji Allah SWT. Maka, melatih diri kita menjadi seorang yang sungguh bertaqwa kepada Allah SWT. Ini merupakan suatu natijah yang sangat penting daripada keimanan seseorang itu kepada Allah SWT.
Di sinilah juga, Allah memilih dibulan yang mulia berlakunya peristiwa-peristiwa yang besar yang menguji umat Islam dalam menjalani kehidupan dunia sebelum bertemu dengan Allah SWT. Allah Ta’ala memilih dibulan ini diturunkan al-Quran Karim yang menjadi kitab petunjuk kepada umat Islam. Yang membeza antara perkara yang betul dan perkara yang salah.
“Bulan Ramadan yang diturunkan baginya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia dan yang membezakan antara perkara yang betul dan perkara yang salah”.
Oleh kerana berlakunya pertembungan di antara perkara yang benar dengan perkara yang salah. Maka, Allah Ta’ala memilih berlakunya perang Badar di bulan Ramadan. Peperangan yang memaksakan Nabi SAW dan para sahabatnya yang kecil jumlahnya, yang kurang kelengkapannya berdepan dengan musuh-musuh Islam. yang menegakkan kebatilan, kezaliman dan kejahatan.
Walau pun mereka tahu benarnya Islam. Baiknya diri Nabi SAW, tidak ada kesalahan dan dosa yang dilakukan. Melainkan kerana melaksanakan perkara yang baik yang diperintah oleh Allah SWT. Perkara yang jahat, itu pun disanggah dan ditentang habis-habisan. Memaksakan berlakunya pertembungan secara bersenjata di bulan Ramadan. Yang menentang itu di kalangan bangsa Arab, keluarga Nabi SAW.
Peristiwa yang sangat menguji perasaan hati nurani umat Islam yang dipimpin oleh Nabi SAW. Allah Ta’ala pilih peristiwa yang menyayat hati berlaku di bulan Ramadan. Mereka yang sanggup meletakkan Islam perintah Allah mengatasi segala kepentingan yang lain. Sanggup melakukan peristiwa Badar ini.
Maka Allah memberi keistimewaan kepada mereka yang terlibat dalam perang badar dengan firmanNya mengikut riwayat hadis Qudsi yang bermaksud, “Hai, ahli Badar buat apa yang kamu mahu lakukan. Aku ampunkan dosa-dosa kamu”.
Keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada ahli Badar kerana mereka menjadi orang beriman sebenarnya. Yang sanggup sabar menghadapi ujian. Adalah menjadi suatu hikmat yang besar Allah pilih peristiwa ini berlaku di bulan Ramadan.
Marilah kita mengambil kesempatan ini bukan sahaja membentuk peribadi dengan mengerjakan ibadat yang diwajibkan dan disunatkan. Dalam masa yang sama kita membuka minda kita dengan mengkaji, mempelajari dan memahami kisah-kisah yang berlaku di bulan yang mulia ini. Supaya kita meninggalkan bulan yang mulia ini dengan keadaan menjadi orang Islam dan orang yang beriman yang sebenarnya dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Sekian, selamat berpuasa.
Dato’ Seri Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
No comments:
Post a Comment