SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Monday, May 9, 2011

PR TETAP PERTAHANKAN ISLAM

PAS menegaskan parti Islam itu bersama rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR) akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan manakala agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tekad itu adalah satu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama PR yang telah dicapai pada kedua-dua konvensyen Disember 2009 dan 2010.

PR juga menggariskan pendirian seumpama itu menerusi satu kenyataan bersama tiga pemimpin komponen pada September 2008.

“Oleh yang demikian hiruk-pikuk yang dilemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu beragama Islam bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian adalah satu pemberitaan yang sangat tidak beramanah,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini petang ini.

Mengulas laporan Utusan Malaysia semalam, Hadi berkata, kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca daripada kealpaan dan kelemahan pimpinan Umno yang telah diberi amanah memerintah negara selama lebih dari 50 tahun.

“Merekalah yang sebenarnya gagal memperkasakan Islam sebagai agama persekutuan sehingga gagal menyediakan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat, melemahkan jati diri orang Melayu beragama Islam, dan seterusnya menghadapi kecelaruan sakhsiah dan bencana akidah yang tidak mampu untuk menguatkan orang Melayu beragama Islam dalam negara kita ini,” kata Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Dalam laporannya semalam, Utusan Malaysia mendakwa ada konspirasi mahu menjadi Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Dalam kenyataannya, Hadi juga menegaskan bahawa apa lagi yang boleh diharapkan daripada Umno kerana mereka juga gagal memberikan kefahaman Islam sebenar dan seterusnya gagal menunjukkan contoh Islam yang unggul kepada rakan mereka MCA dalam Barisan Nasional.

“Hasilnya kita dapat lihat sendiri bagaimana pendirian dan kenyataan politik pimpinan MCA ini semakin hari semakin hanyut dan menampakkan kecelaruan dalam memahami Islam sebagai agama rasmi negara kita ini,” katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails