SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Thursday, May 12, 2011

BUANG TERUS PUN TAK PE.....MENYUSAHKAN RAKYAT JE

Umno, parti teras Barisan Nasional (BN) walaupun sumbangannya sepanjang lebih enam dekad lalu tidak boleh dipertikaikan, tetapi ia kelihatan terus berdepan dengan proses penolakan di mana parti Melayu itu gagal untuk menangani pelbagai isu berbangkit.

Dalam ulasannya sempena sambutan 65 tahun Umno, pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, persaingan daripada Pakatan Rakyat akan menjejaskan kedudukan Umno sebagai kuasa pemerintah sekiranya masalah-masalah dibangkitkan itu tidak dapat ditangani.

“Pada masa sama Umno mengalami proses penolakan . . . bila banyak masalah, isu-isu yang tidak ditangani ia akan menjejaskan sokongan kepada Umno.

“Justeru Umno perlu fikirkan bagaimana untuk terus bertahan, Umno perlu mengikut kehendak dan permintaan rakyat, malah Umno juga perlu menggunakan pelbagai keadah baru untuk terus mendapat sokongan rakyat yang mana kini Umno terpaksa bersaing dengan parti alternatif,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Dalam ucapan pada majlis sambutan 65 tahun malam tadi, Datuk Seri Najib Razak menggesa kepimpinan parti itu agar bersatu dan membuang politik berpuak-puak bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Presiden Umno itu berkata, sebagai sebuah parti keramat di Malaysia, Umno harus melakukan perubahan lebih besar untuk terus mendapat sokongan rakyat terutamanya orang Melayu.

“Kalau kita bersatu, tiada politik puak-puak dalam Umno, kita merupakan parti yang lebih kuat daripada parti-parti lain. Apakah semua (perjuangan) kita sudah selesai? Belum . . . kenapa masih ada cakap-cakap, masih ada lagi politik puak-puak, apa guna kita sambut ulang tahun 65 tahun kalau kita tidak bersatu?

“Apakah kita sudah berkhidmat bersungguh-sungguh untuk rakyat? Apakah kita rajin turun padang? Dampingi rakyat? Adakah kita dekat di hati rakyat? Belum . . . belum lagi, jadi sambutan ulang tahun 65 ini kita mesti berikrar untuk dekatkan diri dengan rakyat sebagai pemimpin Umno,” katanya,

Dalam ulasannya, Azizuddin menambah, Umno juga perlu memulakan agenda baru agar rakyat terutamanya orang Melayu akan terus menyokong parti tersebut.

“Umno perlu berubah ikut perkembangan semasa dan ikut kehendak rakyat, kalau Umno mahu kekal agenda lama perlu ditinggalkan, jika tidak Umno yang akan kena.

“Banyakkan agenda baru . . . banyakkan kaedah baru,” katanya.

Jelas Azizuddin, sepanjang tempoh 65 tahun Umno telah melakukan banyak perubahan kepada negara dan sumbangan itu tidak boleh dipertikaikan.

“Pencapaian memang banyak dan kalau kita lihat dari segi pembangunan negara selama ini, Umno yang banyak menyumbang kepada perubahan-perubahan ini termasuk bagaimana Umno membebaskan negara daripada penjajah, bagaimana Umno mengisi kemerdekaan negara, pembangunan yang telah kita capai selama ini adalah sumbangan Umno.

“Malah, kalau kita lihat rakyat kita lebih maju walaupun dalam tempoh yang singkat, semua yang telah kita capai dan kita kecapi ini adalah jasa Umno dan kita tidak boleh menafikan perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Senator Ezam Mohd Nor yang menyertai semula Umno pada 2008 selepas keluar PKR berkata, dalam usia 65 tahun tidak banyak parti di dunia yang mampu kekal relevan dan berkuasa.

Katanya, Umno kekal relevan kerana tidak ada satupun parti di negara ini yang mampu mengambil tempat Umno menjadi parti yang mampu menjadi tunggak sebuah koalisi yang imbangi kepentingan semua agama dan kaum.

“Najib dilihat mampu pertahankan kedudukan ini, malah saya percaya akan lakukan bayak lagi perubahan selepas ini untuk memastikan Umno kekal relevan bukan sahaja sabagai sebuah parti, tetapi institusi penting negara,” kata bekas ketua pergerakan pemuda PKR ini.

Mengulas mengenai kedudukan Umno pada masa sekarang ketika bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyifatkan parti itu masih lemah, penganalisis politik Prof Madya Sivamurugan Pandian berpendapat, berbanding tahun pertama memimpin Umno, kini Najib mahu memantapkan parti selepas mendapat mandat sokongan 2009.

Katanya, dalam proses ini sudah pasti kepimpinan akar umbi Umno akan menentukan jatuh bangun Umno ketika pilihan raya umum ke-13, dan kepimpinan ini melihat kejujuran Najib untuk menaikkan motivasi mereka dalam mempertahankan parti dan BN.

“Umno di bawah Najib menampakkan perubahan ketara berbanding di bawah kepimpinan sebelum ini. Keazaman Najib jelas mahu memulihkan sokongan terutama ahli yang melakukan undi protes dengan mengundi pembangkang pada pilihan raya umum ke-12.

“Kemenangan bersiri dalam pilihan raya kecil menunjukkan sokongan orang Melayu khususnya sudah jauh meningkat,” katanya.

Jelas beliau, peningkatan sokongan ke atas Umno turut bergantung pada pasukan kepimpinan yang cuba mencari keserasian tetapi aura Najib yang turut diakui oleh pembangkang boleh mengubah suasana pola pilihan raya berbanding pilihan raya umum ke-12.

Kata Sivamurugan, walaupun sokongan orang Melayu berpecah kepada tiga iaitu Umno, PAS dan PKR, Umno dilihat sedang melalui transformasi seiring dengan transformasi nasional.

“Percakaran dalam parti tidak begitu dominan jika dibanding dengan PAS dan PKR walaupun ada bahagian masih bermasalah. “Di bawah Najib, apa yang dilakukan oleh beliau mirip usaha bapanya untuk merapatkan barisan dan menggariskan dasar parti dan waktu yang sama di peringkat kebangsaan tidak tergugat,” katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails