SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Sunday, April 17, 2011

HARAPAN BARU PAKATAN RAKYAT

Walaupun hanya menang 15 kerusi, namun penganalisis politik berpendapat ia adalah satu keputusan yang tidak dijangkakan dan menunjukkan Pakatan Rakyat berjaya mengukuhkan kedudukan di Sarawak.

Bagaimanapun ketika dihubungi The Malaysian Insider, penganalisis berkata hanya DAP yang menunjukkan peningkatan sokongan yang memberangsangkan berbanding PKR dan PAS.

Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.

Bebas memenangi satu kerusi.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pilihan raya negeri 2006 — yang mana ketika itu BN memperoleh 62 kerusi.

“Bagi Pakatan Rakyat mereka mengukuhkan lagi kedudukan terutamanya DAP yang mana mereka telah dapat 12 kerusi berbanding sebelum ini enam dan ini menunjukkan pengundi masih bersama Pakatan di kawasan bandar.

“Peningkatan sokongan ini menunjukkan BN perlu melakukan sesuatu untuk menyekat sokongan kepada Pakatan Rakyat,” kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Kata beliau, walaupun Pakatan Rakyat merupakan parti dari Semenanjung, namun jumlah kerusi yang dimenangi perikatan tiga parti itu menunjukkan perubahan sudah berlaku.

“Bagi Pakatan Rakyat walaupun berasal dari Semenanjung Malaysia, namun mereka nampaknya sudah mula diterima, malah kita boleh lihat bagaimana DAP yang sebelum ini menang enam kerusi kini sudah bertambah.

“Peningkatan ini juga mungkin menunjukkan pengundi mahukan keseimbangan ke atas DUN Sarawak, namun begitu nampaknya bukan semua pengundi masih boleh terima parti yang berasal dari Semenanjung Malaysia,” katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails