SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Sunday, February 27, 2011

KM MELAKA YANG PERASAN BN HEBAT.......

JASIN, 27 Feb — Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka Adly Zahari menegaskan parti itu bertanding pada pilihan raya kecil DUN Merlimau untuk menang, bukannya menguji kekuatan jentera parti itu sebagaimana didakwa Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

“Kita bertanding untuk menang bukan untuk menguji jentera kita... memang kita bertanding untuk menang.

“Sebab itu kesungguhan kita, kalau kita lihat kesungguhan Pakatan Rakyat melalui program yang dianjurkan kita memberikan kesungguhan untuk mencapai kemenangan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Ali kelmarin yang menasihatkan PAS agar menyerah kalah dan menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau jika hanya mahu menjadikannya medan menguji kekuatan menghadapi pilihan raya umum.

Tegas Adly, PAS yang kini dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyertai pilihan raya dengan sasaran untuk menang dan merampas pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN).

“Mungkin tidak hari ini, kalau kita lihat di Ijok kita bertanding dalam pilihan raya kecil kita kalah tapi dalam pilihan raya umum kita menang dan sejauh mana kita boleh menang bergantung kepada usaha serta perancangan kita.

“PAS bertanding untuk menang, PAS tak bertanding semata-mata untuk bertanding... memang itu usaha kita sejak dari dulu, kalau kita bertanding semata-mata untuk bertanding, maka kita tak perlu nak bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Tapi disebabkan untuk menang... untuk raih sokongan rakyat... untuk beri kesedaran kepada rakyat kita letak diri untuk berdepan Umno-BN,” katanya.

Selain itu, beliau juga berkata penentu kepada kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil kawasan itu adalah undi orang Melayu yang merupakan majoriti di Merlimau.

“Sokongan undi penentu bagi saya adalah undi masyarakat Melayu jadi penentu kepada kemenangan, kalau ada sedikit perubahan dan anjakan masyarakat Melayu maka saya yakin kita akan capai kemenangan.

“Masyarakat Melayu tetap jadi asas kerana menjadi majoriti dan sudah pasti asas penentu kemenangan,” katanya.

Mengakui sokongan orang bukan Melayu terhadap PAS tidak begitu memberangsangkan, Adly bagaimanapun yakin jumlah itu akan meningkat pada pilihan raya kecil itu yang akan diadakan pada 6 Mac ini.

“Kita mempunyai sokongan masyarakat Cina yang agak rendah pada pilihan raya umum 2008 dan kalau kita lihat trend pilihan raya kecil masyarakat Cina masih kekalkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

“Jadi kita punya keyakinan sokongan masyarakat Cina akan meningkat terutamanya di Merlimau, jadi kita boleh beri lebih tumpuan terutamanya kepada masyarakat Melayu supaya dapat salurkan maklumat kepada mereka,” katanya.

DUN Merlimau yang mempunyai 10,679 pengundi berdaftar, meliputi tujuh daerah mengundi iaitu Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak.

Pecahan pengundi adalah Melayu seramai 6,935 orang (64.9 peratus), Cina seramai 2,218 orang (20.8 peratus), India seramai 1,510 orang (14.1 peratus) dan lain-lain seramai 16 orang (0.2 peratus).

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad dan calon PAS Yuhaizat Abdullah.

Friday, February 25, 2011

CALON PAS KERDAU DAN MERLIMAU



TEMERLOH, 25 Feb — Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim(gambar) hari ini diumumkan sebagai calon parti itu pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.

Pencalonan Hassanudin dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di hadapan kira-kira 2,000 penyokong parti itu di Markas Induk PAS Kerdau di sini malam tadi.

Pengarah pilihan raya kecil PAS bagi DUN Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam sidang media, menyifatkan Hassanuddin, 43, sebagai calon terbaik parti itu.

Hassanuddin merupakan bekas calon bagi DUN Lanchang pada pilihan raya umum 2004 dan DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008.

“Beliau lebih dikenali di DUN Kerdau dan saya percaya rakyat akan memberikan undi kepadanya,” kata Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dan Naib Presiden PAS.

Sementara itu, Hassanuddin berkata beliau akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat di Kerdau sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Di JASIN, Melaka, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka, Yuhaizat Abdullah, dipilih sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Pengumuman dibuat oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Merlimau, dekat sini.

Yuhaizat Abdullah, 38, diumumkan sebagai bakal calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau malam ini. — Foto Bernama
Yuhaizat, 38, seorang ahli perniagaan, berkata pemilihan beliau sebagai wakil golongan muda dan berharap pengundi di kawasan itu akan memberi sokongan kepadanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kedua-dua pilihan raya kecil itu diadakan serentak pada 6 Mac manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini.

Kerusi DUN kawasan Kerdau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, akibat serangan jantung pada Sabtu lepas.

Pada pilihan raya Umum 2008, Zaharuddin dari Barisan Nasional (BN) menewaskan calon PAS, Hassanuddin dengan majoriti 1,615 undi.

Kerusi DUN Merlimau kosong selepas penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, daripada BN meninggal dunia pada 20 Januari lalu kerana diserang sakit jantung.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Mohamad Hidhir menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon PAS, Jasme Tompang. — Bernama

Wednesday, February 23, 2011

TAK SERIK-SERIK KE RAKYAT DI TIPU......

PENGUMUMAN projek baru dan pemberian berbagai perkara oleh kerajaan Barisan Nasional berlaku dalam setiap pilihan raya umum dan pilihan raya kecil sejak selepas merdeka.

Hadiah rasuah politik itu kini dikenali sebagai projek mee segera. Tetapi ia tidak pernah dikenali sebagai projek mee segera hinggalah berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terangganu yang dimenangi calon PAS, Mohamad Abdul Wahid Endut tidak lama selepas Pilihan Raya Umum yang lalu.

Dalam kempen di Kuala Terengganu itu, Datuk Seri Najib, masih lagi Timbalan Perdana Menteri masa itu mengisytiharkan, tiada lagi projek mee segera dibuat melalui kempen pilihan raya.

Pengumuman tentang mee segera oleh Datuk Najib itu, secara berani mengakui adanya amalan pemberian mee segera dalam setiap pilihan raya sebelum itu.

Tanpa menyatakan ia adalah satu perbuatan tidak bermaruah dalam pilihan raya, ia adalah untuk menyatakan bahawa perbuatan itu adalah tidak bermaruah, melanggar susila budaya pilihan raya dan ia adalah bersemangat rasuah.

Jika selama ini dibiar jalan di kampung berlubang dan berlopak, tetapi sebaik mati wakil rakyat jalan pun bertar – baru dan licin jalannya. Selama ini dibiarkan kantin sekolah dengan keadaan yang uzur, maka pada kempen PRK dikeluarkan bantuan segera membaharui bangunan kempen.

Dalam tahun 60an dulu ada kampung yang tidak ada bekalan air dan api dihantar alat-alat bagi membina projek itu menjelang pilihan raya atau sebaik bermula kempen pilihan raya. Orang dapat melihat berlonggok-longgok peralatan itu di tepi jalan.

Ada tempatnya bahan itu terus berlonggok di situ sehingga lama selepas pilihan raya, projek itu tidak pernah tiba. Dan ada pula di kawasan yang calon parti kerajaan kalah, bahan yang dilonggokkan itu dipunggah dibawa balik ke tempat asalnya. Projek mee segera itu tidak jadi dilaksanakan kerana pengundi kononnya tak mahu projek itu. Itulah sebabnya mereka tidak mengundi calon parti kerajaan.

Sehinggalah dalam kempen PRK di Kuala Terangganu yang Datuk Najib berkempen di kawasan yang ibu saudaranya – adik Tun Razak – sebok JKR menurap jalan dan sebagainya bagi menarik sokongan pengundi. Ia tidak dibuat sebelum kempen itu tetapi diadakan secara tiba-tiba bila tiba-tiba ada pilihan raya.

Itulah yang dikatakan projek mee segera. Mee segera itu ialah mee yang boleh diperolehi dan dimakan masa itu juga. Ia bukan mee yang sudah dimasak. Tetapi ramuan mee yang disediakan dalam kotak khas, dibeli dan dituang air panas dan boleh dimakan ketika itu juga.

Kata Najib, projek mee segera itu tidak akan ada lagi.

Orang pun tahu semua pengumuman mengenai projek secara tiba-tiba itu dipanggil projek mee segera. Dan calon BN Kuala Tereangganu itu kalah. Sebelumnya wakil rakyat BN yang mati itu dua kali menang di situ.

Orang pun menyangka seperti hendak bermulalah kempen pilihan raya yang sihat dan akan wujudkan kerajaan yang sihat. Kalau Najib nanti jadi Perdana Menteri, tiada lagilah barang-barang seperti mee segera itu.

Tetapi bila Najib menggantikan Abdullah Badawi, penyakit mee segera menjadi-jadi lebih teruk dari sebelumnya.

Dalam pilihan raya kecil di Manek Urai hampir dua tahun lalu, tidak pernah terfikir penduduk di situ untuk membina jambatan menyambung dua bahagian pekan. Tiba-tiba di tengah kempen itu menteri mengumumkan akan membina jamabatan di situ. Itulah janji projek mee segera.

Rancangan itu tidak ada. Ia diada-adakan saja. Sehingga ini belum ada apa-apa. Ia baru dikira sebagai satu wawasan. Entah bila hendak diadakan.

Dalam PRK di DUN Tenang baru-baru ini banyaklah kotak mee segera dibawa ke situ dan banyak pengumuman dan pemberian yang tidak pernah dibuat dan diberi kepada penduduk di situ disampaikan.

Makmur sekejap dan makmur segera penduduk kawasan itu oleh limpahan pemberian dan janji projek mee segera.

Sebaik selesai PRK Tenang orang beralih ke DUN Merlimau. Sebelum penamaan calon, mengikut Pengerusi badan pemantau pilihan raya bebas (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh, jalan-jalan di DUN itu mula diturap belaka. Pengumuman projek baru pun menjadi-jadi, ikut sedap mulut menteri dan Ketua Menteri.

Santa Klaus BN itu bersepah-sepah di Merlimau dan setengahnya berkampung pula di Dun Kerdau, Pahang membawa kotak mee segera dan projek tiba-tiba.

Kata Syed Ibrahim, ia melanggar peraturan pilihan raya. Janji Najib tiada lagi projek mee segera sudah tidak dipedulikannya sendiri. Betullah dia seorang pawang memecah timba. Mee segera ada bila-bila selagi ada Umno dan BN./JP

Sunday, February 20, 2011

NAK SELAMAT KENA TEGAKKAN ISLAM



SHAH ALAM, 19 Feb – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan nasib orang Melayu di negara ini akan terjamin sekiranya berpegang teguh kepada ajaran Islam bukannya Ketuanan Melayu yang dilaungkan Umno-BN.

Beliau (gambar) berkata Islam tidak mengamalkan konsep Ketuanan Melayu seperti mana yang dibawa Umno.

“Kalau orang Melayu nak selamat, mesti tegakkan Islam baru selamat.

“Kalau tegakkan Melayu memang tak selamat,” kata beliau pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS hari ini.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata Islam yang diturunkan Allah s.w.t merupakan satu amanat kepada orang Melayu.

“Islam namakan kepimpinan sebagai amanat, sebab itu kepimpinan Islam tidak amalkan konsep menghambakan orang.

“Selain itu, kepimpinan Islam tak semestinya didokong hanya orang Islam, Islam tidak fokus hanya kepada kaum tertentu sahaja,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata Pakatan Rakyat perlu membuat satu pendirian tetap sama ada mahu berhadapan dengan Umno atau mengelak berhubung isu Ketuanan Melayu.

Katanya, isu Ketuanan Melayu telah digunakan Umno semata-mata mahu mendapatkan sokongan orang Melayu.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu, Umno menggunakan isu Ketuanan Melayu dengan harapan sokongan orang Melayu terhadap PAS dan PKR akan terhakis.

“Kita perlu pilih satu, di persimpangan dua jalan, sama ada berhadapan secara terus dengan Umno dan menyelesaikan perkara ini ataupun mengelak.

“Kedua-duanya boleh kita gunakan, kerana keputusan pilihan raya umum di tangan rakyat, kita mahu tidak mahu kena pilih,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS.

Kata Saifuddin, isu Ketuanan Melayu ini semakin hangat diperkatakan kerana keputusan pilihan raya umum lalu didakwa menghakis kuasa politik Melayu.

“Golongan yang paling lantang memperkatakan isu Ketuanan Melayu adalah dari kelas pertengahan Melayu, sekali gus turut menjadi wakil kepada kelas bawahan.

“Selain itu, kumpulan-kumpulan ultra-Melayu pula tumbuh seperti cendawan selepas hujan turut menyumbang kepada pola pengundian ini,” katanya.

Saifuddin juga menegaskan tugas Pakatan Rakyat sekarang adalah untuk menerangkan kepada orang Melayu bahawa gabungan tiga parti itu akan terus mempertahankan hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu bebaskan minda orang Melayu yang dikongkong oleh Umno, oleh itu kita kena bertindak sekarang, kerana belum tentu undi kita bertambah nanti,” katanya.

Saturday, February 19, 2011

MERLIMAU DAN KERDAU DIADAKAN SERENTAK

KUCHING, 18 Feb — Pilihan raya kecil kerusi DUN Kerdau, Pahang akan diadakan serentak dengan Merlimau bulan depan.
Pilihan raya kecil kerusi DUN Kerdau, Pahang akan diadakan serentak dengan Merlimau bulan depan.

Penamaan calon akan diadakan 26 Februari ini manakala hari pengundian pula pada 6 Mac.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sepatutnya membincangkan perkara tersebut Ahad ini mengadakan mesyuarat khas lewat petang ini untuk memutuskan bahawa pilihan raya kecil Kerdau akan diadakan serentak dengan kerusi DUN Merlimau.

Tarikh pilihan raya kecil Merlimau diputuskan bulan lalu.

The Malaysian Insider difahamkan keputusan mempercepatkan mesyuarat khas diambil ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam petang tadi yang mencapai keputusan mengenai kes kerusi DUN Pelabuhan Klang petang tadi.

Mahkamah memutuskan kerusi DUN Pelabuhan Klang tidak kosong.

SPR mengadakan mesyuarat khas susulan mesyuarat bulannya di sini petang ini.

Kerusi Kerdau kosong selepas penyandangnya, Datuk Zaharuddin Abu Kasim, 63, daripada BN, meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya pada 12 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin mendapat 2,520 undi.

Kawasan DUN Kerdau mempunyai 8,999 pemilih berdaftar, termasuk 8,984 pemilih biasa dan 15 pemilih pos.

SPR melantik 242 petugas untuk mengendalikan pilihan raya kecil ini manakala 10 sekolah, dua balai raya dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 22 saluran tempat mengundi.

Pengerusi SPR Tan Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daftar pemilih bagi pilihan raya kecil Kerdau akan mula dijual pada 22 Februari dan pengundi juga boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi melalui laman web SPR di www.spr.gov.my dan melalui SMS.

Pengundi juga boleh menghubungi ibu pejabat SPR dengan menelefon 03-8885 6500 dan pejabat pilihan raya negeri Pahang menerusi nombor 09-5165025 untuk membuat semakan.

Friday, February 18, 2011

TANDA AWAL PRU SEMAKIN HAMPIR

Oleh Suhaimi Mokhtar

Pilihanraya umum ke-13 semakin dekat.Tanda-tanda kearahnya makin jelas, apabila parti-parti politik kelihatan sedang bersiap sedia mengatur stratiji dan mengemaskini organisasi bagi memenangi hati nurani rakyat terutama para pengundi bagi menentukan untuk menerajui kerajaan selama lima tahun akan datang.

Umno-BN sibuk melakukan baikpuleh setelah mengalami kemerosotan pengaruh dalam pilihanraya lalu yang bermula Mac 2008.Ini diperjelaskan lagi apabila kerajaan mengumumkan pelbagai galakan kepada rakyat untuk memenangi hati mereka supaya mengundi Umno-BN.



Umno-BN juga mendapat galakan dari keputusan-keputusan pilihanraya kecil yang memihak kepada nya dan dengan itu berminat untuk segera mengadakan pilihanraya sebelum pengundi mengubah pendirian untuk menolak parti yang memerintah sejak merdeka hampir 54 tahun lalu.

Penyataan-penyataan politik untuk memujuk rakyat, antaranya yang terbaru mengurangkan kadar tol di Taman Medan dari RM 1.60 kepada RM 1.00.Lebih banyak lagi pengumuman- pengumuman untuk mengula-gulakan rakyat akan dilakukan sebelum pilihanraya ke-13 diadakan.

Semua tindakan dan langkah kerajaan yang diambil mutakhir ini bermotifkan politik termasuk operasi piramid bagi menyelamatkan pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang dilanda revolusi kebangkitan rakyat yang menyaksikan tumbangnya pemerintahan diktator Presiden Hosni Mubarak.

Pengangkutan pulang pelajar Malaysia di Mesir yang diangkut berperingkat-peringkat selesai sebaik sahaja keadaan di Mesir mulai pulih.Kerajaan menangung belanja kepulangan dan kini apabila keadaan mulai puleh pelajar-pelajar ini mahu pulang semula keMesir, tetapi kerajaan tidak lagi mahu menanggung belanja kepulangan mereka.

Pengangkutan membawa pulang pelajar-pelajar ini adalah bertujuan untuk mendapat mileage politik bagi meraih undi dalam pilihanraya tetapi berkemungkinan tindakan ini akan menerima kesan balas yang tidak mengembirakan Umno-BN,kerana pelajar-pelajar ini bukanlah gulungan yang mudah dipergulakan dengan daayah-daayah Umno-BN.

Apabila pelajar-pelajar ini akhirnya terpaksa pulang dengan belanja sendiri pula,setelah mereka digalakkan untuk pulang oleh kerajaan dengan belanja yang ditanggung,sedang sebahagian darinya terpaksa berkorban untuk tidak menghadapi peperiksaan yang dijadualkan ,maka kepulangan mereka lebih menimbulkan kesulitan dari kelegaan.

Beberapa pertimbangan akan dibuat sebelum pilihanraya umum diadakan.Umno-BN kini giat menyelesaikan kemelut politik diperingkat negeri-negeri. Umno menghadapi masaalah hampir di semua negeri-negeri.Percubaan Umno meletakkan kepimpinan di negeri-negeri bagaimanapun tidak banyak menyelesaikan krisis kepimpinan yang wujud dinegeri-negeri.

Pertimbangan lain termasuklah kes perbicaraan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, keputusan pilihanraya kecil, pemulihan parti-parti komponan BN, semuanya diberi pertimbangan sewajarnya sebelum ketentuan tarikh pilihanraya diputuskan.

Ketika menjelang pilihanraya ,kerajaan Umno-BN selain mengumumkan ‘ hadiah-hadiah’ untuk rakyat dari belanjawan negara sehinggalah kepada peruntukan kepada ahli-ahli dewan rakyat dan sebagainya untuk projek dikawasan masing-masing,Umno-BN akan mengunakan jentera kerajaan dalam pilihanraya untuk merasuah rakyat bagi memilih calun-calun mereka.

Inilah demokrasi berparlimen yang dibangga-banggakan oleh Umno-BN,kononnya berlaku pilihanraya yang adil dan demokratik selama Umno-BN memerintah negara, tetapi hakikatnya pilihanraya yang diadakan bukanlah pilihanraya yang adil dan telus.

Penghakisan demokrasi berlaku setiap kali pilihanraya diadakan yang telah berjalan selama 12 kali dinegara ini.Suruhanjaya Pilihanraya tidak dapat memberi jawapan-jawapan yang menyakinkan setiap masaalah yang ditimbulkan oleh parti-parti politik pembangkang terhadap peraturan –peraturan pilihanraya yang diadakan.

Sewajarnya pilihanraya diadakan secara adil dan telus tanpa ancaman menakut-nakutkan pengundi dengan pelbagai akta yang mengongkong rakyat untuk bebas memilih calun dan parti yang mereka berkenan.

Setelah 12 kali pilihanraya,sepatutnya pengalaman –pengalaman pilihanraya yang telah diperolehi menjadikan demokrasi dinegara ini lebih matang dan sihat, lebih dari beberapa buah negara-negara jiran yang baru sahaja mengamalkan demokrasi dan pilihanraya.

Pilihanraya dibeberapa buah negara jiran adalah lebih adil dan telus berbanding dengan pilihanraya di Malaysia. Ini sangat memalukan, apabila Suruhanjaya Pilihanraya yang diamanahkan untuk menyelia pilihanraya dengan adil tidak mampu untuk menjadi badan bebas sebebas-bebasnya.

Suruhanjaya Pilihanraya kelihatannya dibawah penguasaan dan pengaruh kerajaan walau bagaimana sekali pun percubaan suruhanjaya itu untuk kelihatan bebas. Ini tidak memberi suasana sihat dalam proses demokrasi.

Pilihanraya ke-13 merupakan pilihanraya paling bersejarah dan kritikal dan kerana itu keadilan dan ketelusannya perlu dilihat berlaku. Jika tidak wujud cirri-ciri itu maka konsekuannya sangat besar yang memungkinkan pilihanraya itu dianggap telah menyeleweng dan sebagainya yang nanti akan menimbulkan kesan buruk selepas pilihanraya seperti yang berlaku dibeberapa buah Negara.

Suruhanjaya pilihanraya perlu bertindak bijaksana bagi menentukan pilihanraya yang adil dan telus dan tidak kelihatan memihak kepada parti kerajaan. Inilah ciri-ciri pilihanraya bersih,adil dan telus yang ditagih oleh rakyat.

Penyelewengan pilihanraya akan membawa padah buruk yang lebih besar implikasinya. Beberapa buah negara berada dalam huruhara selepas pilihanraya, apabila berlaku penyelewengan dan masing-masing pihak, parti kerajaan dan pembangkang mengistiharkan kemenangan masing-masing.

Bagi mengelakkan keadaan ini dari berlaku,Suruhanjaya Pilihanraya perlu dari awal lagi melaksanakan pilihanraya bersih yang menepati proses demokrasi tulen. Kredibaliti Suruhanjaya Pilihanraya berada dipersimpangan dan sedang diuji rakyat dalam pilihanraya ke-13.

ADA KE PARTI YANG BERTANDING TAK NAK MENANG?

PAS menganggap kenyataan Dr Mahathir Mohamad - bahawa tujuan hidup Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanyalah untuk memenangi pilihan raya - adalah sesuatu yang kelakar kerana tiada parti politik yang enggan mendapat kejayaan itu.

damansara memo to kpm 210206 idris ahmad"Mana ada parti politik yang bertanding tidak mahu menang. Parti tupperware saja yang tidak mahu menang," sindir ketua penerangannya Idris Ahmad (kanan).

Semalam, Dr Mahathir dilaporkan berkata, tujuan hidup Nik Aziz hanyalah untuk memenangi pilihan raya dan kemudian menjadi pemerintah bersama DAP serta PKR.

Katanya, Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam Umno, dalam masa sama bersedia bekerjasama dengan syaitan menjayakan perjuangannya.

Beliau berkata, Nik Aziz juga sanggup bekerjasama dengan pihak yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala PAS di samping mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya umat Islam melonggarkan pegangan mereka terhadap ajaran Islam.

NONEDalam satu kenyataan petang ini, Idris mendakwa sepanjang Dr Mahathir memimpin Umno, beliau juga bermati-matian "melanggar segala undang-undang dan mencabul demokrasi" kerana hendak menang pilihan raya.

"Memang PAS hendak menang pilihanr aya, supaya Islam dihayati. Bukan dapat kuasa supaya Islam dimatikan dan syiar Islam dipadamkan.

"Perjuangan PAS berbeza dengan umno. Umno menjadikan Islam sebagai alat, bukan matlamat," dakwa Idris lagi.

Beliau juga berkata, sepanjang mengadakan kerjasama politi dengan parti berlainan idealogi dalam Pakatan Rakyat, tiada sebarang kerugian terhadap parti dan Islam di negara itu.

Thursday, February 17, 2011

EN MUHAMMAD ATAU CHE MAT TEKSI KEMBALI KE RAHMATULLAH....

Seorang yang mesra kepada sesiapa saja,gambar ini adalah dari album konvoi pakatan rakyat di Tapah .


Allahyarham duduk dikanan sekali,bergambar bersama YB Khalil Idham Lim sewaktu mesyuarat agung Pas Kawasan Tapah tahun lepas.


Antara sahabat handai dan masyarakat setempat yang hadir pada hari pengebumian beliau semalam.


Agak lewat untuk aku maklumkan mengenai kembalinya seorang ahli Pas yang sangat besar pengorbanannya kepada Pas Kawasan Tapah.Encik Muhammad B.Muhammad Taib berusia 57 tahun atau lebih mesra di panggil Che Mat Teksi telah kembali ke rahmatullah pada tengah malam semalam di hospital Bainun Ipoh akibat sesak nafas.

Jenazah beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Damai ,Tapah selepas solat asar petang semalam.Talkin telah dibacakan oleh NYDP Pas Tapah Ustaz Abdul Malek Muhammad dengan begitu sebak sekali dan sehingga menitis airmata,menangisi pemergian sahabat yang dikasihi yang melalui jerit getir dalam perjuangan sejak di zaman muda lagi.

Allahyarham juga adalah Ketua Pas Cawangan Bukit Indah,Tapah seisi 2009-2011 dan merangkap AJK Lajnah Tarbiyah Pas Tapah.Allahyarham juga pernah menyandang jawatan sebagai Bendahari Pas Tapah seketika dulu. Beliau meninggalkan seorang isteri Puan Kharidah bt Ismail dan dua orang anak .

Saya bagi pihak DMP Tapah dan semua ahli-ahli Pas ingin merakamkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan bersama-samalah kita mendoakan moga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Sesungguhnya pemergiaannya satu kehilangan yang besar pada Pas Tapah,komitmen dan istiqamahnya pada perjuangan tidak pernah luntur sejak beliau bersama Pas .Beliau bukan sahaja dikenali oleh ahli-ahli Pas tapi beliau juga amat dikenali dan disegani dikalangan rakan-rakan sekerja dan juga penumpang-penumpag di sekitar Tapah dan Cameron Highland yang menaiki teksinya.

Sunday, February 13, 2011

KINTAN DAN YUHAIZAN SENARAI PENDEK CALON DUN MERLIMAU

KUALA LUMPUR, 13 Feb — PAS telah meneliti empat nama calon yang akan dipilih bagi mewakili parti Islam tersebut dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pimpinan PAS pusat yang bermesyuarat hari ini telah menerima empat nama darpada PAS Melaka untuk diteliti.

“Kita telah menerima empat nama untuk diteliti secara keseluruhan dan kita sudah ada keputusan rasmi.

“Calon yang kita pilih adalah anak tempatan dan ia hanya akan diisytiharkan oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pada 24 Februari ini di Merlimau,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Empat nama yang diangkat PAS Melaka itu adalah Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man selain Ketua Penerangan PAS Melaka Kamaruddin Sidek, Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin Yuhaizan Abdullah.

Ditanya peluang PAS untuk memenangi pilihan raya kecil kawasan itu, Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS Merlimau berkata, ia tidak mustahil memandangkan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai kubu kuat seperti dua siri pilihan raya kecil di Galas dan Tenang.

“Tak mustahil kita dapatkan kerusi pertama PAS di Merlimau, di sana tiada kubu kuat BN.

“Kalau kita lihat peti undi di sana juga adalah peti undi campuran, jadi dengan pendekatan yang kita gunakan nampak lebih mudah peluang kita,” katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin tertinggi PAS berkata dua nama iaitu Kintan dan Yuhaizan telah disenarai pendek untuk menjadi calon.

“Apa yang boleh saya katakan kita terima empat nama tapi dua nama iaitu Kintan dan Yuhaizan disenarai pendek manakala Kamarudin dan Jasme tidak.

“Tapi saya tidak tahu siapa yang akan dipilih, kita tunggu sahaja Presiden PAS umumkan pada 24 Februari ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan 6 Mac dengan penamaan calon pada 26 Februari.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme dengan majoriti 2,154 undi.

DUN MERLIMAU:HARAPAN PR MENANG TIPIS SEBABNYA......

Taburan janji-janji telah dibuat di Merlimau....seronok bukan main le rakyat kalau ada adun-adun yang meninggal,bukan ape...rezeki datang bergolek-golek tak payah nak melalak-lalak nak mintak kat wakil-wakil rakyat lagi.

Kalau macam tu senang nak dapat kesenangan dan kemudahan yang lebih baik doa-doakan lah wakil rakyat BN cepat pergi....confirm semua yang tak ade diadakan,yang tak elok mesti dapat yang lebih baik...

Selepas Merlimau ni kita sambung kat Kerdau pulak....disini rasanya lagi banyak taburan duit-duit yang mencurah-curah,almaklum le negeri PM yang murah hati nak bagi kesenangan untuk rakyat,bukan ke janjinya rakyat didahulukan........

Patut pun PR tak ada harapan nak menang kat Merlimau nanti...sebab rakyat dah awal-awal lagi di saji dengan keindahan dan kemewahan dunia..........Jom kita tengok apa rakyat Merlimau akan dapat ni...

merlimau, melaka town1.Sebahagian besar daripada kira-kira 10,471 pengundi terdiri daripada 64.69 peratus pengundi Melayu, 21.11 peratus Cina, 14.16 peratus India manakala selebihnya kaum lain 0.04 peratus dikatakan amat berpuas hati dengan prestasi BN setakat ini.







2.Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) parlimen Jasin antara agensi yang awal-awal lagi mengumumkan hasrat mengagihkan pinjaman perniagaan berjumlah RM800,000 tahun ini.

3.Sebanyak RM500,000 telah diluluskan menerusi Dana Satu Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menampung projek membaik pulih rumah rakyat kurang berkemampuan di Merlimau.

4.Meluluskan peruntukkan sebanyak RM5.6 juta bagi menaik taraf jeti nelayan ketika PM melakukan lawatan ke Jeti Pengkalan Samak baru-baru ini.


5.Selain itu, beberapa batang jalan dan pelbagai kemudahan awam kini dalam proses dinaikkan taraf bagi manfaat semua masyarakat khususnya di dalam Dun Merlimau.

Wednesday, February 9, 2011

DUN MERLIMAU:UNTUK CALON MUSLIMAT ?

KUALA LUMPUR, 9 Feb — PAS Melaka mahu menurunkan calon popular untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau daripada penguasaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil awal bulan depan.

Selain itu, PAS Melaka juga akan mempertimbangkan sama ada akan meletakkan calon wanita dalam pilihan raya kecil kawasan itu

Kelmarin, Pakatan Rakyat memutuskan untuk mengekalkan PAS bertanding di Merlimau — pilihan raya kecil ke-15 sejak Mac 2008..

Menurut Timbalan Pesuruhjaya I PAS Melaka Adly Zahari, kepimpinan parti peringkat negeri Melaka telah menerima senarai pendek nama calon yang bakal menggalas tugas PAS dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau 6 Mac.

Beliau berkata senarai nama itu akan dibawa ke peringkat tertinggi PAS pada 13 Februari ini untuk membuat keputusan.

“Setakat ini kita sudah terima beberapa nama yang mana setiap cawangan dalam Parlimen Jasin telah mengemukakan calon-calon yang mereka mahu.

“Kita memang sudah ada nama-nama itu tapi kita masih belum muktamadkan nama itu untuk dibawa ke peringkat pusat, kita masih mengumpul nama dari cawangan.

“Calon yang akan kita letak di Merlimau akan mengikut kriteria yang ditetapkan selain sesuai dengan keperluan masyarakat di Merlimau,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

The Malaysian Insider difahamkan PAS Melaka berkemungkinan mempertimbangkan calon wanita iaitu Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man selain Ketua Penerangan PAS Melaka Kamaruddin Sidek, Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin Yuhaizan Abdullah.

Bagaimanapun Adly enggan mengulas lanjut kesahihan nama-nama tersebut, sebaliknya berkata PAS Melaka masih belum membuat keputusan muktamad berhubung calon yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

“Proses belum muktamad, jadi saya tidak boleh nak kata apa-apa. Saya sendiri juga tidak tahu sama ada nama-nama itu ada dalam senarai tersebut.

“Mungkin ada kalau cawangan mengemukakan nama mereka dan mungkin tiada, kita akan bincang mengenainya dulu. Soal muslimin atau muslimat kita tunggu keputusan pemimpin tertinggi nanti,” katanya.

Adly yang juga Yang Dipertua PAS Alor Gajah mengakui sukar untuk PAS memenangi pilihan raya kecil DUN Merlimau namun tidak mustahil sekiranya parti Islam itu untuk membuat kejutan.

“Memang sukar (untuk menang) tapi tak mustahil untuk kita membuat kejutan dalam pilihan raya kecil ini, memang Merlimau adalah kubu kuat BN.

“Bagaimanapun kita akan cuba tingkatkan undi kita, fokus kepada usaha tingkatkan undi bagi PAS dan juga mengurangkan majoriti,” katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme dengan majoriti 2,154 undi.

Tuesday, February 8, 2011

DAFTAR PENGUNDI BARU NAIK MENDADAK......

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Pendaftaran pemilih baru pada suku terakhir 2010, melibatkan bulan Oktober hingga Disember, meningkat secara ketara sehingga mencecah 300,000 orang – dilihat dipengaruhi ‘demam’ spekulasi pilihan raya umum dan gerakan pendaftaran secara agresif oleh parti-parti politik.

Perangkaan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu berbanding 246,962 orang antara Julai dan September lalu.

Jumlah permohonan baru bagi suku terakhir tahun lalu meningkat hampir sekali ganda berbanding suku pertama 2010.

Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.

“Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun keempat, Oktober hingga Disember, SPR telah menerima sebanyak 292,44 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 38,820 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi,” kata pegawai perhubungan awamnya Sabri Said dalam satu kenyataan.

Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.

Sehingga 27 Disember lalu rekod SPR menunjukkan negara mempunyai 11,532,876 pengundi iaitu 5.956 juta pengundi kalangan orang Melayu, Cina (3.571 juta), India (839,700), Bumiputera Sabah (540,086), Bumiputera Sarawak (472,628), Orang Asli (57,453) dan lain-lain (94,555).

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider awal bulan lalu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata beliau tidak dapat memberikan jumlah permohonan baru kasar melibatkan suku terakhir meskipun beliau mengharapkan ia akan mencecah paras 250,000.

Dalam kenyataanya hari ini Sabri berkata, selaras dengan kehendak Peraturan 13(5A) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi suku tahun keempat 2010 akan dipamerkan mulai esok hingga 15 Februari ini di 1,006 tempat pameran di seluruh negara.

Sehubungan itu kata beliau, mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi harus menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010.

“Dalam hal ini mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 itu bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B,” katanya.

Beliau berkata, bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010 bagi satu-satu bahagian pilihan raya itu bolehlah membuat bantahan tersebut dengan mengisi Borang C.

Kata Sabri, selain mempamerkan nama-nama pemilih baru dan nama-nama pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

“Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meningal dunia, lucut hak warganegara dan telah bersara daripada Angkatan Tentera atau perkhidmatan polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya,” katanya.

“Di sini juga SPR ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-10 dan pilihan raya umum ke-13 akan datang, SPR menasihatkan kepada pemilih-pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka,” katanya.

Kata beliau, ia penting bagi memastikan pemilih-pemilih terbabit didaftarkan di lokaliti yang betul dan bagi mengelak tohmahan atau dakwaan bahawa SPR memindahkan pemilih atau pun menukar lokaliti seseorang tanpa dipohon.

“Jika keadaan ini berlaku menjadi sesuatu pilihan raya, SPR tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Sekiranya terdapat kesilapan penempatan lokaliti dan maklumat pendaftaran mereka, pemilih berdaftar perlu membuat aduan kepada SPR,” katanya.

Selain itu katanya, bagi pemilih-pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi berdekatan dengan tempat kediaman masing-masing.

“Jika ada mana-mana pihak yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi ibu pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88856500 atau melalui faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Keempat 2010,” katanya.

Monday, February 7, 2011

DUN MERLIMAU: PR LETAK CALON PAS

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) menafikan desas-desus bahawa PAS mempertimbangkan untuk tidak bertanding di kerusi DUN Merlimau, sebaliknya parti Islam itu akan menurunkan calonnya pada pilihan raya kecil 6 Mac ini.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa PR secara sebulat suara telah bersetuju bahawa PAS harus bertanding pada pilihan raya kecil ke-15 itu.

“Tidak benar, tidak benar,” kata beberapa wakil rakyat PR yang turut berada pada sidang media susulan pertemuan mereka di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga mengambil kesempatan dengan bertanya siapakah sumber berita yang mengatakan PAS tidak akan bertanding di DUN Merlimau.

“Dari mana anda mendapat maklumat itu? Ada nama disebutkan? Tidak? Jadi tidak, ia tidak benar,” katanya.



Related Posts with Thumbnails