SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Wednesday, October 27, 2010

PAS ,DAP JALIN KERJASAMA DEMI PERUBAHAN

Hadi berceramah di padang bola Kampug Kerinting, Gua Musang semalam. - Gambar oleh Choo Choy May

GUA MUSANG, 27 Okt — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memulakan kempen pilihan raya kecil di DUN Galas malam tadi dengan menegaskan bahawa parti itu dan DAP menjalankan kerjasama selama ini adalah untuk membawa perubahan kepada negara.

Dalam mencapai matlamat itu kata beliau, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi “jambatan” antara kedua-dua parti komponen Pakatan Rakyat itu.

“Walaupun DAP bukan parti Islam tapi PAS menjalin kerjasama dengan DAP kerana mahu melakukan perubahan terhadap pimpinan kerajaan sekarang,” kata beliau.

Kerjasama PAS dan DAP menjadi kritikan Umno termasuk ketika Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.

Dalam ceramahnya itu, Hadi terus mengutuk tindakan Barisan Nasional (BN) yang melantik Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil BN sambil menyifatkan parti itu tidak menghormati pemimpin yang lebih senior.

Ketika menyampaikan ceramah di Kampung Kerinting di sini malam tadi, Hadi berkata, Tengku Razaleigh tidak lagi dihormati dalam kepimpinan BN sekarang.

“Kita dalam PAS menghormati semua pemimpin sama ada yang tua atau muda tapi Umno-BN tidak.

“Dulu ketika Tun Abdul Ghafar Baba (bekas timbalan perdana menteri) selepas tidak menjadi menteri dibiarkan sahaja oleh pemimpin Umno-BN.

“Kita PAS ada melawat beliau ketika sakit tapi sekarang Tengku Razaleigh pula jadi mangsa. Mereka (Umno-BN) buat hina pada orang tua (Tengku Razaleigh) ini.

“Umno-BN main benda ini, permainkan Tengku Razaleigh tapi kita tidak, malah kita menghormati beliau di Kelantan,” kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 250 penduduk setempat.

Sebelum ini Hadi berkata bahawa tindakan BN melantik Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil BN dilihat satu cubaan merendahkan kedudukan Tengku Razaleigh sendiri.

Turut hadir dalam ceramah itu Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad, calon PAS Dr Zulkefli Mohamad dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

“Selepas Tengku Razaleigh tidak menjadi menteri, Umno-BN buat macam-macam kepada beliau. Jadi saya harap pengundi di Galas dapat membuat keputusan bijak,” kata Hadi.

Sambil berseloroh Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pengundi Galas perlu mengundi calon pilihan PAS kerana parti Islam itu mampu menerangi mereka.

“Bulan bagus, kalau kita nak tanya pada orang berapa hari bulan kita akan tanya hari ini berapa hari bulan, kita tidak kata berapa kati, kalau perempuan mengandung kita akan tanya berapa bulan, kita tidak tanya berapa kati kandungan. Jadi bulan ini bagus, bulan juga cerah.

“Bulan ini juga bulat, kalau kita pusingkan ikut mana sama sahaja tapi dacing kalau kita pusingkan terbaliklah,” katanya sambil ketawa.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu yang mana BN meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff sebagai calon manakala PAS meletakkan Zulkefli.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PAS, Che Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lepas.

Che Hashim menewaskan calon BN Mohamed Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum 2008.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November sebagai tarikh pengundian.

Sementara itu, Anwar dalam ceramahnya berkata sudah sampai masa pengundi di Galas menolak kepimpinan BN yang dilihat semakin menjadikan isu perkauman sebagai pendebatan mereka.

“Beza Pakatan Rakyat dan Umno ini besar. Kita walaupun mempunyai perbezaan kaum dan agama kita tidak nafikan perkara itu tetapi Umno gunakan ia sebagai alat untuk menghina kaum lain.

“Bagi Pakatan Rakyat, kita anggap semua sebagai rakan dan kita tidak hukum sesiapa kerana warna kulit.

“Dalam Pakatan Rakyat, Melayu, Cina dan India semua sama sahaja. Kita jaga kebajikan semua dan kita tolong semua,” katanya.

Justeru Anwar berkata pengundi di Galas perlu memilih Zulkefli sebagai wakil rakyat memandangkan beliau mempunyai pengaruh dan sentiasa berkhidmat kepada rakyat.

“Pengundi kena pilih calon PAS, pilih bulan bukan dacing. Nanti mudah sikit urusan penduduk di sini. Lagipun calon PAS ini sudah lama berkhidmat kepada rakyat.

“Jadi apa salahnya beri peluang kepada beliau untuk jadi wakil rakyat. Bagi beliau menang dan tunjukkan mesej ini kepada BN bahawa pengundi Galas menolak BN.

“Kita perlu jaga maruah dan harga diri, jangan gadaikannya hanya kerana wang. Ingat mana ada menteri BN yang hidup sederhana, semua hidup mewah sedangkan rakyat di bawah ini hidup susah,” katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails