SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Friday, August 13, 2010

PAKATAN BERSIAP MENAWAN PERAK SEMULA


Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak lama lagi dan setiap kali pilihan raya rakyat berhak sepenuhnya menentukan parti mana yang akan diamanahkan membentuk kerajaan. Oleh itu, Pakatan Rakyat, khususnya di Perak tidak mustahil, malah mempunuyai peluang cerah untuk berkuasa kembali selepas PRU Ke-13 kali ini.

Kerajaan BN Perak yang ada sekarang, bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, tetapi hasil ‘rampasan kuasanya’ yang paling kotor terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat yang telah dipilih secara demokrasi dalam PRU Ke-12 lalu.

Sejak tercetusnya ‘Gelora Perak’ ini, pelbagai pihak menuntut Kerajaan BN supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan mengadakan pilihan raya baru Dun, namun dengan segala ketakutan kerajaan pimpinan Zambry itu menolak kerana mereka tahu bahawa pilihan raya semula di Perak akan mengakhiri riwayat kerajaannya di negeri itu.

Namun masa tidak memihak kepada ‘kerajaan Zambry’ justeru Pilihan Raya Umum Ke-13 itu akan tiba juga akhirnya, boleh jadi 24 bulan lagi, atau lebih cepat dari itu. Ini sudah pasti semakin menakutkan kerajaan Perak yang ada sekarang.

Oleh itu semakin dekat pertarungan itu semakin menakutkan mereka, bahkan kerajaan BN Pusat sendiri menghadapi tempoh itu dalam dalam keadaan semakin cemas.

Ini berikutan beberapa isu yang sama sekali tidak menolong BN untuk menghadapi PRU Ke-13 itu. Pertama harga barangan yang terus meningkat – yang tidak mampu ditampung oleh rakyat, menyebabkan keadaan inflasi meningkat.

Kedua, pelaburan luar negeri yang semakin merosot dengan tidak ada pelaburan baru menyebabkan kedudukan ekonomi negara sangat tidak menentu.

Ketiga, kegiatan rasuah – besar dan kecil – sangat berleluasa, seperti tidak terkawal, di samping projek membazir dan ketirisan serta berlakunya salahguna kuasa oleh pelbagai pihak.

Keempat, isu perkauman yang ditiupkan oleh golongan dan tokoh politik tertentu serta disemarakkan lagi oleh media tradisional milik Umno/BN telah gagal memancing sentimen rakyat untuk menyokong Umno/BN. Malah penduduk luar bandar sendiri, termasuk di kawasan Felda, sudah memperlihatkan tanda-tanda perubahan pemikiran mereka di mana mereka mula sedar dengan cengkaman harga barang naik, semakin sukarnya menampung keperluan hidup. Pada ketika yang sama mereka melihat pemimpin negara hidup bermewah-mewah dengan banglo-banglo mewah, pelbagai kerata besar, hidup berlagak dan pembaziran berlaku di sana sini.

Semua ini membina kebencian rakyat kepada Umno/BN dan ini akan diterjemahkan melalui peti undi dalam PRU Ke-13 nanti.

Mengetahui ini semua, pemimpin Umno/BN seluruh negara, khususnya di Perak sangat cemas dengan keadaan ini, menjadikan saat menghadapi ilihan raya ini menjadi hari-hari yang sangat menakutkan mereka.

Bulan lalu saya berada di Perak, meninjau sebanyak sedikit suasana di sana dan menyaksikan kerja keras PAS Perak di bawah pimpinan Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Husain dan orang kanannya, Ir. Nizar Jamaludin serta pimpinan negeri yang lain. Mereka berazam untuk menawan semula negeri Perak dalam PRU Ke-13. Harapan ini nampaknya cerah.

Baru-baru ini PAS negeri itu telah mengadakan Konvensyen Ke-15 di Dewan Kutien, Ayer Tawar yang berakhir dengan semangat baru PAS Perak bagi menawan semula negeri itu dari Umno/BN. Konvensyen dirasmikan oleh Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS.

Ucapannya banyak menyentuh dalaman parti yang perlukan kekuatan baru dengan penglibatan semua unsur yang boleh membantu PAS dalam menerajui kembali kepimpinan politik Perak dan negara.

Ucap utama Pesuruhjaya PAS Perak disampaikan oleh Datuk Seri Mohamamd Nizar Jamaluddin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak disebabkan Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Husein tidak dapat hadir konvensyen kerana keuzuran isteri beliau yang sedang dirawat di Hospital Besar Ipoh. Ucap Utama yang bertemakan ‘Islam Adil Untuk Semua – Perspektif PAS Perak’ menggariskan beberapa perkara yang menjadi hala tuju PAS Perak untuk menawan kembali negeri itu.

Beberapa aspek pembinaan tarbiyyah dan penyebaran dakwah ditekankannya sebagai aspek dalaman yang sangat penting. PAS Perak juga disaran melebarkan jaringan dakwah dengan lebih meluas bagi memahamkan rakyat bukan Islam mengenai keadilan Islam.

Persiapan menghadapi Pilihanraya Ke-13 juga menjadi fokus utama PAS Perak bagi memastikan Pakatan Rakyat dapat menawan semula dalam PRU Ke-13 itu.

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden pula disampaikan oleh Datuk Dr. Mahfuz Mohamd, AJK PAS Pusat yang juga Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Munaqasyah menggariskan beberapa langkah yang perlu dibuat oleh semua peringkat parti bagi merealiasikan Ucapan Dasar Presiden.

Konvensyen bertambah menarik dengan penglibatan perwakilan dalam membahaskan Ucap Utama Pesuruhjaya. Banyak isu disentuh oleh perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan.

Konvensyen juga turut didedahkan oleh pengkaji sains politik dari Ilham Centre iaitu hasil dari dapatan kajiannya mengenai kecenderungan rakyat dan pengundi terhadap PAS dan juga PR di Perak selepas PRU ke 12.

Dapatan kajian tersebut sangat memberi makna kepada PAS Perak dalam meneruskan langkah perjuangan ke arah kemenangan besar dalam PRU akan datang.

Kemuncak konvensyen ialah pengisytiharan tujuh resolusi yang dijadikan ikrar semua peserta konvensyen bagi memastikan ia dilaksanakan di lokasi masing-masing.

Demikianlah persiapan PAS Perak yang sangat menjanjikan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails