Kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak membatalkan pengeluaran lessen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn. Bhd. (Ascot Sports) harus dipersoalkan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP).
Najib berkata lesen tersebut dibatalkan secara muktamad adalah kerana pertimbangan agama dan kesan politik.
Timbalan Ketua DPPP, Ustaz Azman Shapawi berkata, bukankah hal-hal tentang haramnya judi merupakan nas yang jelas berdasarkan ayat 60 surah al-Maidah dalam al-Quran?
Menurutnya, sebab itulah DPPP mempertikaikan keikhlasan PM, yang sepatutnya ia (lesen judi) tidak dikeluarkan sejak awal lagi.
Beliau juga mengajukan persoalan, sejak bila kerajaan UMNO/BN mempertimbangkan sesuatu perkara dengan mengambil kira pendapat rakyat?
“Sedangkan sebelum ini mengapa tidak pernah mendengar akan rintihan rakyat seperti kenaikan harga barang, kenaikan harga minyak, tol dan sebagainya,”katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Oleh itu, menurutnya, perkara ‘judi’ tidak perlu dibincangkan atau ditimbang-timbangkan, kerana ia jelas dilarang oleh ugama dan rakyat membantah sejak kali pertama dikemukakan Najib, beberapa bulan lalu.
Selain itu, mengapa hanya soal ‘judi’ sahaja yang dipertimbangkan sedangkan ISA, Hudud, rasuah, arak, aurat, pusat maksiat yang semakin membiak di negara ini tidak pernah dibincangkan dalam konteks agama.
Beliau turut mempersoalkan, mengapa keputusan ‘batal lesen judi’ itu diumumkan oleh PM hanya dibuat selepas mesyuarat MT UMNO.
“UMNO bukannya sebuah kerajaan tetapi hanya satu parti politik yang bergabung dengan parti –parti lain di dalam BN membentuk kerajaan.
“sejak bila mesyuarat MT menentukan polisi negara? Besarkah kuasa MT UMNO? Kemana perginya kabinet kerajaan Malaysia?,”tanya beliau.
Sehubungan itu, apa yang jelas, katanya, kerajaan membatalkan lesen judi itu bukan kerana agama, tetapi kerana kerajaan semakin takut dengan kebangkitan rakyat.
Menurutnya lagi, rakyat begitu memarahi kerajaan UMNO/BN yang suka bertindak mengikut penilaian politik tanpa memikirkan akibatnya kepada rakyat marhaen.
Justeru, DPPP mencabar agar kerajaan juga menyatakan pendirian mereka berkaitan hal-hal yang lain yang lebih memerlukan pendapat rakyat.
“Jangan hanya berpura-pura untuk mengambil hati rakyat demi ‘survival’ politik sahaja,”tegas Azman
DPPP juga menyarankan agar PM lebih bertanggungjawab dalam menentukan atau membuat sesuatu keputusan tanpa membelakangkan kabinet kerajaan Malaysia kerana yang memerintah bukannya parti UMNO
No comments:
Post a Comment