SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Tuesday, April 13, 2010

Zaid Ibrahim calon Pakatan, disah malam in

TERKINI

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, 13 April — Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim dipilih untuk membawa cabaran Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan ini.

The Malaysian Insider difahamkan keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas Biro Politik PKR di sini, pagi ini.

Pemilihan Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas soal perundangan dan kehakiman, akan diumumkan secara rasmi pada majlis pengenalan calon PR oleh Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Serendah malam ini.

“Keputusan akhir untuk memilih Zaid dibuat pagi ini, sekitar 11 pagi,” kata sumber parti kepada The Malaysian Insider.

Nama Zaid juga telah lama disebut akan dipilih mewakili PKR-Pakatan untuk bertanding di Hulu Selangor, bahagian Parlimen separa bandar dengan mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Kubu Baru, Batang Kali dan Ulu Bernam.

Penamaan calon pilihan raya kecil ini diadakan Sabtu ini manakala pengundian pula 25 April.

Keputusan menurunkan Zaid menunjukkan beliau akan bertanding buat kali kedua kerusi Parlimen.

Pada 2004 beliau bertanding di Kota Baru, Kelantan atas tiket Barisan Nasional (BN) tetapi tidak bertanding empat tahun kemudian tetapi dilantik menyertai Kabinet atas kapasiti sebagai senator.

Bagaimanapun beliau meletakkan jawatan sebagai senator dan menteri Kabinet penghujung 2008 sebagai tanda memprotes penahanan Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok, pengendali blogger Raja Petra Kamaruddin dan pemberita akhbar bahasa Mandarin Tan Hoon Cheng.

Zaid, 59, menyertai PKR tahun lalu beberapa bulan selepas dipecat dari Umno atas alasan menyertai aktiviti-aktiviti anjuran pembangkang.

Beliau yang juga anggota Biro Politik PKR menerajui usaha merangka dasar bersama PR yang diluluskan Disember lalu, yang berjaya merapatkan lagi PKR, PAS dan DAP.

Sebagai Ketua Umno Kota Baru pada 2002, Zaid pernah saman kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu kerana cuba untuk menggubal undang-undang jenayah Islam.

Zaid merupakan antara lebih daripada 10 nama yang dipertimbangkan oleh PKR sejak dua minggu lalu.

Nama lain yang dipertimbangkan ialah Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Cabang Kelana Jaya Syed Shahir Syed Mohamud yang juga Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Ketua Cabang Sabak Bernam Badrul Amin dan peguam N. Surendran.

Turut dihalusi Nashruddin Abdul Aziz yang merupakan Ketua PKR Cabang Hulu Selangor, naib ketuanya cabang itu Razali Mokhtar dan bendaharinya Datuk Dr Halili Rahmat serta Khalid Jafar.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor menewaskan Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.




No comments:

Related Posts with Thumbnails