SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Tuesday, April 13, 2010

PALANIVEL NAK LAWAN ZAID,OK KE?

KUALA LUMPUR, 13 April — Meskipun berhadapan dengan spekulasi Datuk G. Palanivel tidak mungkin diletakkan semula sebagai calon, pemimpin-pemimpin parti itu masih beranggapan timbalan presiden MIC itu merupakan saingan terbaik untuk menghadapi Datuk Zaid Ibrahim, calon PKR yang hampir pasti diturunkan.

Beberapa pemimpin yang dihubungi memberitahu, Palanivel, Ahli Parlimen Hulu Selangor selama empat penggal, yang mampu untuk berhadapan dengan saingan Pakatan Rakyat.

Pemimpin-pemimpin itu menggariskan pengalaman Palanivel dalam parti dan kerajaan selain jawatan sebagai timbalan presiden akan memberi kelebihan untuk membawa kemenangan kepada MIC dan Barisan Nasional (BN) jika diturunkan.

“Mereka yang tidak bersetuju dengan pencalonan Palanivel perlu faham bahawa bukan mudah untuk berhadapan dengan saingan daripada calon seperti Zaid.

V. Mugilan yang turut disebut-sebut sedang dipertimbangkan kerana sentimen akar umbi, sebenarnya tidak boleh melawan Zaid,” kata seorang pembantu kanan pemimpin kanan parti.

Dia berkata, meskipun PKR sudah hampir pasti dengan calon mereka, ia sama sekali tidak menggugat peluang Palanivel daripada dicalonkan.

“Memang ada masalah dalam mencapai kata sepakat mengenai calon tetapi BN memerlukan seorang calon yang kuat menghadapi persaingan sebagaimana dihadapi oleh Palanivel pada 2004 apabila ditentang oleh Ismail Kamus. ini pilihan raya kecil, bukan pilihan raya biasa,” katanya seolah-olah melihat hanya Palanivel mampu membawa saingan BN.

Jawatankuasa pengurusan BN mengadakan mesyuarat di sini malam tadi. Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden MIC dipercayai ada membangkitkan keperluan parti-parti komponen menghormati kehendak parti-parti lain khususnya dalam soal calon.

Hari ini, Samy Vellu turut meninjau kawasan Kuala Kubu Baru dengan mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua MIC cawangan dalam bahagian Hulu Selangor.

Sementara BN akan mengumumkan calonnya Khamis ini Parti Keadilan Rakyat (PKR), komponen Pakatan Rakyat, akan mengumumkan calon mereka malam ini.

Calon PKR ialah Datuk Zaid Ibrahim, bekas Ahli Parlimen Kota Baru dari 2004 hingga 2008.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini adalah anak tempatan, kata .

Menurutnya senarai calon sudah hampir disenarai pendek tetapi beliau enggan mengulas mengenai bilangan calon BN itu.

“Kita ada beribu tokoh di Hulu Selangor, hampir-hampir nak shortlist. Dalam tempoh tiga hari lagi akan tahulah... (calon) dari Hulu Selangor. Insya-Allah daripada orang tempatanlah,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN berkata banyak faktor yang diambil kira dalam menentukan calon termasuk latar belakang, kelayakan dan boleh bekerjasama dengan pemimpin.

“Yang mana yang rakyat mahukan, yang difikirkan boleh menjalankan amanah sebagai wakil mereka, tidak ada skandal, latar belakang yang berkelayakan dan berkelulusan tinggi, yang boleh bekerjasama dengan pemimpin di bawah apa lagi melaksanakan program-program pembangunan sosio ekonomi,” katanya.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Umno berpendapat BN tidak harus dipengaruhi oleh keputusan yang dibuat pembangkang.

“Saya tidak boleh kata apa-apa sebab ini diputuskan oleh perdana menteri dan ia belum diputuskan lagi,” kata Ketua Umno Hulu Selangor Datuk Mohamed Idris Abu Bakar.

“Dan, presiden dengan jelas telah memberitahu ketika konvensyen bahawa calon adalah dari MIC, tetapi beliau sendiri akan memutuskan calon pilihan (BN),” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Pada Konvensyen BN Selangor minggu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan memutuskan nama calon tetapi menegaskan, bahagian Parlimen Hulu Selangor akan terus diwakili oleh MIC.

“Sesiapa sahaja boleh membuat penilaian dan rumusan mereka sekarang, tetapi Perdana Menteri ada penilaian sendiri mengenai siapa yang terbaik untuk bertanding di Hulu Selangor,” kata Idris.

Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Hulu Bernam ini menggesa pemimpin-pemimpin MIC tunggu dan menghormati keputusan Perdana Menteri. Naib Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor Datuk Adnan Buyong juga berkongsi sentimen yang sama.

“Mereka memilih Zaid Ibrahim, kita boleh membuat spekulasi tentang apa sahaja.

Tetapi ia tiada kaitan sama sekali dengan kami, kami ada pemimpin yang mesti kami ikut,” kata Adnan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails