SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Wednesday, April 21, 2010

HIDUP ZAMBRY TERTEKAN KERANA '3 KATAK'

HULU SELANGOR, 21 April: Menteri Besar BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kini berada dalam dilema dan tertekan dengan sikap tiga calon bebas di negeri itu yang sedang menunggu peluang untuk mengaut pelbagai keuntungan dari tindakan mereka keluar dari Pakatan Rakyat.

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin ketika mendedahkan perkara itu menegaskan, perkara itu diketahuinya melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai.

Menurut beliau, perkara itu juga bukanlah sesuatu yang mustahil kerana beliau sendiri cukup kenal dengan tiga wakil rakyat terbabit yang sebelum ini bertanding atas tiket PKR dan DAP yang bergabung dalam Pakatan Rakyat, tetapi sanggup meninggalkan Pakatan Rakyat demi kepentingan diri.

Tiga wakil rakyat bebas yang dimaksudkan oleh beliau itu terdiri daripada Kapten (B) Mohd Osman Jailu (Cangkat Jering), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Hee Yit Fong (Jelapang).

“Tindakan 3 katak itu keluar dari Pakatan Rakyat melambangkan mereka manusia yang tidak bertanggungjawab, mengkhianati pengundi-pengundi yang menyokong mereka, sehingga menyebabkan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak mengalami kesusahan dan dirampas oleh Umno-BN.

“Setelah menyusahkan Kerajaan Pakatan Rakyat, kini 3 katak itu sedang mengugut Zambry pula untuk mendapatkan apa saja. Zambry pula terpaksa beri atau ikut apa sahaja kehendak mereka supaya mereka tidak melompat pula kepada parti lain.

“Tindakan mereka itu ternyata menyusahkan rakyat Perak kerana ia akan melibatkan hak atau harta benda rakyat Perak. Tetapi mereka tetap tidak menghiraukan semua itu bagi menjaga kepentingan mereka sendiri.

“Perkara itu samalah juga dengan apa yang dilakukan oleh Umno terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, sehingga mereka sanggup merampas hak rakyat Perak yang telah memilih Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri Perak.

“Demi kepentingan mereka, para pemimpin Umno-BN sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengkianati rakyat, merampas hak rakyat Perak. Semua itu perlu disedari oleh orang ramai demi kepentingan mereka sendiri,” katanya ketika menyampaikan ceramah di persekitaran Pejabat PAS Bukit Sentosa 2 di Hulu Selangor, malam semalam.

Baru-baru ini, Hi Yit Fong yang juga timbalan Speaker Dun Perak diberikan gelaran 'datuk' oleh Sultan Perak. Tidak diketahui apakah ia ada kaitan dengan dakwaan Nizar ini.

Ketika merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Perak, kata Nizar, Umno mengatakan kepada beliau dengan berbagai-bagai dakwaan yang bukan-bukan termasuk memberi tanah kepada kaum Cina, sehingga dikatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak sebagai ‘kerajaan Cina’.

“Pada hal apa yang kita lakukan itu amat kita fahami kerana ia sebenarnya bertolak dari prinsip-prinsip Islam dan keadilan. Rakyat Perak sendiri faham perkara itu. Sebab itulah rakyat Perak tetap tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Umno-BN ke atas Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak,” katanya yang juga Adun Pasir Panjang.

Sehubungan itu, beliau berharap agar para pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor tidak akan tertipu dengan permainan politik kotor Umno-BN agar mereka tidak tersalah memilih pemimpin.

No comments:

Related Posts with Thumbnails