KOTA BHARU, 30 Mac: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dengan berlangsungnya istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri 2010 bererti pentadbiran negeri tidak bermasalah dengan istana.
“Ini jelas apabila dilihat kejayaan istiadat pengurniaan kehormatan kebesaran negeri tahun 2010 yang baru sahaja berlangsung dengan sempurna.
“Pengurniaan istana itu merupakan ‘husnu zan’ (sangka baik) terhadap saya dan kawan-kawan, dan saya mendoakan mudah-mudahan ia berpanjangan sampai ke akhirat.
“Insya Allah malaikat bersaksi bahawa di dunia saya diberi oleh istana sangka baik (anugerah) dan mudah-mudahan Allah SWT meminta malaikat-Nya juga agar menolong saya dan kawan-kawan, insya Allah,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS.
Beliau juga tidak terfikir pihak istana berpandangan baik terhadapnya begitu sekali.
Tuan Guru melahirkan rasa syukur kerana istiadat yang disempurnakan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra itu berjalan lancar.
“Saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat di negeri ini kerana tidak menimbulkan masalah sehingga hubungan kerajaan negeri dengan istana berlangsung dengan baik.
“Hubungan baik dengan Istana Negeri, di samping rakyat menjunjung taat setianya yang tidak berbelah bagi,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis berkenaan di Istana Balai Besar hari ini.
Pada istiadat itu, Menteri Besar dianugerah gelaran Datuk Bentara Setia dengan mendahului senarai penerima pengurniaan kehormatan negeri 2010.
No comments:
Post a Comment