4 MAC — Mutakhir ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang digambarkan sebagai parti yang berhadapan dengan masalah dan konflik dalaman yang parah. Terkini, Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng mengisytiharkan keluar daripada PKR.
4 ADUN PKR, 2 di Perak, 1 di Kedah, dan 1 di Selangor telah mengisytiharkan keluar parti dan menjadi ‘wakil rakyat bebas yang mesra BN’.
Manakala YB Dato’ Seri Zahrain Hashim, MP Bayan Baru juga mengiytiharkan keluar parti dan menjadi ‘wakil rakyat bebas yang tidak mesra BN’,kononnya.
Difahamkan akan ada beberapa lagi Ahli Parlimen yang sedang mempertimbangkan perkara yang sama. Antara yang dicanang hebat ialah MP Wangsa Maju, Wee Choo Keong dan MP Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin.Betul atau tidak,Wallahua’lam.
Di saat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sedang berhadapan dengan perbicaraan maha berat sebelah, partinya berhadapan dengan konflik. Ditambah pula dengan perencah ramuan media arus perdana yang saban masa menghenyak imej dan kredibiliti Anwar serta PKR, tidak dinafikan sedikit sebanyak imej PKR sedikit tergugat di kalangan masyarakat.
Pun begitu untuk menyatakan bahawa PKR sudah sampai ke penghujung nyawa adalah sesuatu kurang tepat. PKR pernah hanya hidup dengan 1 kerusi Parlimen dan 1 kerusi DUN: Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Padungan, Sarawak pada penggal 2004 - 2008. 2008 menyaksikan PKR bangkit sebagai peneraju Pakatan Rakyat di Parlimen dengan 31 kerusi Parlimen, sesuatu yang tidak dijangka oleh mana-mana pihak.
Sejarah parti-parti politik negara tidak pernah lari dari krisis kepimpinan dan persepsi. Malah ianya disifatkan sebagai satu proses yang wajib dilalui oleh mana-mana parti politik yang mempunyai cita-cita untuk terus kekal relevan dalam arus politik nasional.
Baik Umno mahupun Pas (mengambil contoh parti-parti melayu yang dominan), keduanya pernah mengalami konflik dan krisis persepsi. Umno berhadapan dengan kemelut kepimpinan apabila Dato’ Onn Jaafar mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada menjadi Yang DiPertua Umno berikutan ketidaksetujuan Umno berhubung cadangan menjadi Umno parti multi-bangsa.
Berlaku perebutan jawatan di antara Tunku Abdul Rahman (yang dipertikaikan status keahlian Umnonya pada ketika itu), Haji Ahmad Fuad Hassan (Ketua Biro Agama Umno), dan seorang lagi tokoh tempatan. Tunku menang dan Haji Ahmad Fuad bertindak menubuhkan Persatuan Ulama’ SeTanah Melayu yang kemudiannya ditukar menjadi Parti Islam SeTanah Melayu (PAS).
Pas juga pernah berhadapan dengan konflik di awal fasa pengembangan parti itu apabila Dr Abbas Alias tidak dapat menumpukan komitmen beliau ke atas pengurusan Pas, hingga menyebabkan Almarhum Dr Burhanuddin Al Helmy di’import’ untuk menjadi Yang Dipertua Pas yang ketiga untuk memimpin Pas sehingga akhir 1960-an.
Pelantikan Dr Burhanuddin ini, meskipun karisma beliau terserlah, cukup mendatangkan ketidaktentuan di kalangan akar umbi Pas pada ketika itu rentetan ketebalan semangat nasionalis Dr Burhanuddin dan status keahlian Dr Burhanuddin dalam Pas pada ketika itu.
Melihat kepada fasa pemula kedua-dua parti yang dominan di kalangan umat Melayu Malaysia ini, maka apa yang sedang dilalui PKR bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Anwar baru-baru ini secara terbuka telah memohon maaf di atas kesilapan beliau memilih calon. Ini berikutan kekurangan calon yang begitu kritikal sehingga menyebabkan PKR meletakkan beberapa calon yang sedikit sebanyak mengundang persoalan pengundi seperti Gwo-Burne Loh (kini MP Kelana Jaya) dan juga Wee Choo Keong (dulunya Presiden Parti Demokratik Malaysia, MDP).
Masalah kekurangan calon itu jugalah yang menjadi saham penyumbang kepada penyusunan konspirasi liwat kedua ke atas Anwar apabila ketiga-tiga pegawai beliau turut terjun sebagai calon (dan menang) yakni Nurul Izzah Anwar (MP Lembah Pantai), Nik Nazmi Nik Ahmad (ADUN Seri Setia, Selangor) dan Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang), hingga mengakibatkan Saiful Bukhari yang dulunya tegar menyokong BN melalui aktivisme kampus di Uniten Bangi berjaya lolos menempatkan diri sebagai pekerja am di Pejabat Anwar melalui sahabat baiknya.
Rentetan keluarnya MP dan ADUN-ADUN PKR ini, maka seharusnya PKR menyusun strategi sebermula sekarang untuk memastikan calon-calon yang diketengahkan dalam PRU13 kelak adalah jauhari belaka, bukan sekadar pasir di tepi jalan.
Usaha membeli dan menarik wakil rakyat ini bukan baru. Ianya pernah berlaku selepas Pilihanraya Umum pertama selepas merdeka iaitu pada tahun 1959, di mana pada ketika itu Pas berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan dan juga Terengganu.
Muafakat longgar antara Pas-Parti Negara menyaksikan Kerajaan Negeri Terengganu ditubuhkan dengan pimpinan YB Daud Abdul Samad.
DUN Negeri Terengganu pada ketika itu mempunyai 24 kerusi dengan pecahan Pas 13 kerusi; Parti Negara 4 kerusi dan Perikatan 7 kerusi.
Apa yang berlaku ialah 3 ADUN Parti Negara berjaya ‘dibeli’ Perikatan manakala seorang ADUN Parti Negara bertindak menyertai Pas. Kemudiannya 2 ADUN Pas ‘diculik’ yang akhirnya membawa kepada kedudukan 12-12 di dalam DUN Terengganu pada ketika itu. Berikutan satu undi tidak percaya yang terhasil daripada strategi jahat ini, maka tumbanglah Kerajaan Pas-Parti Negara pada 30 Oktober 1961.
Apa yang sedang berlaku ke atas Anwar sekarang (dalam konteks menerima tekanan politik) adalah hampir sama dengan apa yang berlaku ke atas Dato’ Onn Jaafar. Ini bukan omongan kosong, sebaiknya jika pembaca mempunyai masa untuk menyelak biografi Dato Onn Jaafar: Pengasas Kemerdekaan tulisan Datuk Dr. Ramlah Adam terbitan Dewan Bahasa Pustaka, perkara ini diperincikan dengan begitu baik.
Mengikut “Memoir Politik Asri” terbitan UKM, Allahyarham Tan Sri Asri Muda juga mendedahkan adanya usaha membeli ADUN-ADUN PAS pada ketika, tetapi berjaya dikawal oleh pimpinan PAS Negeri dan Pusat pada ketika itu.
Pada ketika itu, kredibiliti Dato’ Onn dibunuh dan diserang dengan begitu hebat. Apa caci maki yang tidak dihambur kepada Dato’ Onn, bacalah biografi tersebut untuk tahu lebih lanjut. ADUN Parti Negara juga dihasut oleh pihak-pihak tertentu dengan mengatakan bahawa Dato’ Onn tidak perlu berperanan kerana beliau bukan anak Terengganu (walaupun pada ketika itu Dato’ Onn MP Kuala Terengganu Selatan dan Presiden Parti Negara).
Penghujung hayat Dato’ Onn menyaksikan Dato’ Onn sangat sugul untuk menelan jadam yang terhasil berikutan strategi jahat parti yang pernah diasaskannya sebelum itu. Jika pengasas Umno pun boleh diperlakukan oleh Umno-BN sedemikian rupa, inikan pula seorang bekas Timbalan Presiden Umno seperti Anwar.
Konflik yang dihadapi oleh Anwar dan Dato’ Onn hampir sama: kekangan yang dihadapi dalam mengenengahkan calon yang berkaliber, berikutan keperluan untuk bertanding pada ketika itu. Lantas calon ‘tangkap muat’ jugalah yang menyumbang kemenangan kepada PKR dan Parti Negara.
Calon tangkap muat itu jugalah yang memberikan impak negatif kepada PKR dan Parti Negara. Dalam kes PKR, ia telah berlaku di Perak sehingga menjatuhkan kerajaan negeri dan berkemungkinan besar berlaku di Selangor dan di peringkat Parlimen yang memungkinkan BN kembali meraih majoriti dua pertiga.
Usaha membeli wakil rakyat ini bukan baru. Sejarah membuktikan ia merupakan amalan turun-temurun Perikatan hinggalah menjadi BN. Fakta ini bukan mainan kata penulis semata-mata, ini berdasarkan kepada fakta yang tercatit melalui memoir-memoir politik tokoh-tokoh yang antara lainnya disebut di atas.
Justeru PKR selaku teraju PR harus berhati-hati dengan budaya seumpama ini. Benar, ada pihak-pihak yang menjawab tatkala membalas soalan mengenai rampasan kuasa di Perak dengan melontar hujah dangkal “Anwar yang mulakan 916,jangan salahkan kami”.
Agaknya mereka ini lupa bahawa setidak-tidaknya Anwar secara terbuka menggesa Perdana Menteri pada ketika itu agar diadakan Sidang Khas Dewan Rakyat untuk meluluskan undi tidak percaya ke atas PM pada ketika itu, bukan dengan menculik mana-mana wakil rakyat dan secara tiba-tiba tersenyum sumbing di dalam sidang media khas.
Iktibar daripada kejatuhan Parti Negara ini harus diteladani sebaik mungkin. PKR mempunyai institusi seperti Biro Strategi, Biro Latihan dan Biro Pilihanraya, maka sewajarnya dimanfaatkan pelbagai aspek khususnya dalam menyaring calon dan saf kepimpinan parti untuk tempoh lima tahun yang mendatang setidak-tidaknya.
PKR acapkali digambarkan sebagai parti masa depan dan parti generasi baru. Maka semestinya PKR perlu disucikan daripada elemen-elemen pengkhianatan terbuka yang berpotensi dilakukan oleh wakil-wakil rakyat mereka yang berakhlak sampah.
PKR harus tegas. Sebagai contoh, bukan sedikit yang kecewa apabila PKR lesu tatkala berhadapan dengan wakil rakyat mereka yang yang jelas melanggar adab berjemaah dalam sebuah gerakan, Pakatan Rakyat. Mengambil tindakan ke atas mana-mana wakil rakyat yang melencong akhlak dan adabnya tidak akan mengurangkan saham PKR di mata rakyat, meskipun ia mungkin mengesani bilangan perwakilan mereka di Parlimen ataupun DUN.
Memecat juga bukan tindakan mutlak,tetapi setidak-tidaknya ada tindakan tegas supaya PKR dilihat sebagai parti yang berpegang teguh kepada adab berpakat disamping menekankan perihal disiplin dan juga etika.
Pengarah Pilihanraya PKR yang baru, YB Fuziah Salleh mengatakan bahawa antara faktor yang mendorong keluarnya wakil-wakil rakyat mereka ialah kerana KPI. Jika ini yang berlaku,baik kesannya untuk PKR kerana setidak-tidaknya hanya wakil rakyat yang komited di dalam memperjuangkan agenda rakyat terbanyak sahaja akan kekal di dalam parti itu. Tetapi ia juga akan memberi sedikit persepsi kurang enak, seolah-olah PKR tidak mewujudkan satu bentuk sistem pemantauan piawai perkhidmatan di kalangan wakil-wakil rakyatnya.
Mungkin sistem sedemikian wujud dalam pengurusan parti, tetapi rakyat percaya kepada prinsip, sesuatu kebenaran itu bukan sahaja perlu terlaksana, tetapi mesti dilihat terlaksana.
PKR, jangan sesekali kita nafikan, sebuah parti yang mempunyai ‘aura’ dan iltizam juang, jika hendak dibandingkan dengan Parti Negara ataupun Semangat 46. Bezanya langit dan bumi. Tetapi kegagalan PKR mengambil iktibar daripada sejarah untuk lebih berhati-hati dengan strategik licik lagi jijik,sama sekali tidak akan menafikan potensi parti itu untuk turut sama ditelan zaman sebagaimana Parti Negara dan Semangat 46.
No comments:
Post a Comment