SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Saturday, March 6, 2010

PAS:MANSUH LARANGAN MP,ADUN LETAK JAWATAN TANDING LAGI

Oleh Adib Zalkapli

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Sambil yakin wakil rakyatnya tidak akan keluar parti, PAS berkata larangan Ahli Parlimen atau Adun bertanding semula jika meletakkam jawatan atas alasan mereka sendiri perlu dimasuhkan.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini menggesa agar bekas wakil rakyat PKR yang telah keluar parti itu agar mengosongkan kerusi mereka.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, bukan sahaja keputusan mereka itu penting, malah mereka dilarang daripada bertanding jika meletakkan jawatan.

Oleh itu kata beliau mereka harus diberikan peluang untuk bertanding bagi membuktikan populariti dan sokongan selaku wakil Bebas.

“Mereka harus diberikan satu peluang untuk membuktikan mereka ada sokongan tetapi di bawah Akta Pilihan Raya apabila seseorang itu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen mereka dilarang daripada bertanding selama lima tahun.

“Saya berharap akta itu dipinda,” kata Mustafa pada sidang media di sini hari ini.

“Macam kes Datuk Shahrir (Samad) tahun 1988 yang berhenti dan bertanding semula kerusi Parlimen Johor Baru sebagai wakil bebas untuk buktikan masih ada sokongan,” katanya.

Mengulas lanjut, kata PAS yakin wakil rakyatnya tidak akan bertindak keluar parti itu sebagaimana dialami rakan sejawatannya dalam PR sejak awal bulan lalu.

“Perjuangan PAS adalah berdasarkan pada kepercayaan (agama), walaupun kita ada menyaksikan pemimpin-pemimpin kanan (PAS) meninggalkan parti tetapi ahli-ahlinya tidak ikut,” kata beliau sambil mengulangi komitmen PAS kepada PR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umumnya.

Sejak awal bulan lalu tiga Ahli Parlimen telah meninggalkan PKR iaitu Datuk Seri Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Mengenai keputusan mereka keluar dari PKR, Mustafa berkata kemungkinan mereka merasakan tekanan ekoran ketiadaan bantuan kewangan yang dinikmati wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

“Ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan kewangan. Kemungkinan dan saya tidak merujuk kepada sesiapa... sesetengah daripada mereka berada dalam tekanan kerana gagal menyediakan perkhidmatan ekoran kekangan ini,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, mereka yang berhasrat untuk bertanding dan menjadi Ahli Parlimen perlu bersedia menghadapi banyak cabaran.

“Mereka perlu bersedia untuk menjadi pembangkang, jika mereka menang kemungkinan tidak akan berada dalam barisan kerajaan,” kata Mustafa.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pembabitan BN dalam mendorong tiga Ahli Parlimen PKR keluar parti itu untuk mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen selepas mengambil langkah yang sama di Perak tahun lalu bagi menguasai kerajaan negeri.

“Di beberapa tempat mereka berjaya tetapi di Kelantan mereka gagal,” kata Mustafa lagi.

Ditanya sama ada tindakan wakil rakyat PKR itu akan memberi kesan dari segi peruntukan kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, Mustafa berkata beliau tidak menjangkakan sebarang perubahan besar.

“Terlalu awal untuk berkata. Kami belum pun memulakan perbincangan,” katanya.

“Biasanya status quo akan dikekalkan. Bagaimanapun perubahan tertakluk kepada perbincangan apabila tiba masa kelak,” kata beliau.

Beliau juga mengulangi pendirian PAS bahawa Penasihat PKR itu akan kekal sebagai ketua pembangkang walaupun bilangan wakil rakyatnya kurang berbanding DAP.

“Dalam kes ini, hanya Ahli Parlimen pembangkang yang boleh memutuskan, bukannya dipilih kerajaan ataupun Speaker,” katanya.



No comments:

Related Posts with Thumbnails