Keterlanjuran Pegawai Khas Perdana Menteri, Nasir Safar dalam seminar "1 Malaysia" di Melaka pada 2 Februari dengan kenyataan perkaumannya, berakhir dengan perletakan jawatan dirinya, dan disusuli dengan siasatan polis di bawah Akta Hasutan 1948.
Berita ini mendapat liputan luas dalam media bahasa Cina, malah mengundang komen daripada penganalisis politik dalam kolum masing-masing. Sementara di akhbar bahasa Melayu seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, berita ini hanya mengisi ruang yang kurang menonjol.
Kenyataan Nasir Safar seperti yang dilaporkan, "kaum India dan Cina adalah pendatang", "Cina terutamanya wanita datang untuk jual tubuh", bukannya sesuatu yang baru, seandainya kita belum terlupa Ketua UMNO bahagian Bukit Bendera yang bernama Ahmad Ismail (gambar kanan).
Namun, disebabkan Nasir Safar sebagai orang yang berada di sisi Najib Abdul Razak, yang dikhuatiri akan mencalit gagasan "1Malaysia"-nya, maka beliau "dikorbankan", sebelum lumpur padanya terpalit kepada yang lain.
Najib tetap dipuja
Tindakan sedemikian amatlah bijak, dari segi percaturan politik. Analisa dalam media cetak arus perdana seperti Sinchew Daily, menganggap bahawa kenyataan sedemikian, atau pegawai sedemikian sebagai batu penghalang kepada usaha PM Najib Abdul Razak untuk membawa perubahan dalam UMNO dan kerajaan.
Beberapa analisa diketengahkan, sama ada dalam media cetak mahupun internet, dengan berasaskan andaian yang sama. Pertamanya, orang yang berfikiran sama seperti Nasir Safar terlalu ramai bilangannya dalam masyarakat Melayu, jadi bukan sesuatu yang pelik seandainya kebetulan orang seperti ini berada di sisi Najib.
Keduanya, perubahan yang dibawa oleh Najib telah mencungkil ketidakpuasan golongan konservatif dalam UMNO. Teori konspirasi di sebaliknya adalah, kenyataan Nasir Safar sebagai cubaan golongan konservatif dalam parti untuk mensabotaj usaha "perubahan" oleh Najib.
Pendek kata, imej Najib sedikitpun tidak tercalar dalam hal ini, dari kaca mata masyarakat Cina. Malah, mereka mungkin bersimpati terhadap Najib, yang kononnya berseorangan menghadapi rintangan dalam parti dirinya ketika cuba menganjurkan politik yang sederhana untuk masyarakat Malaysia keseluruhannya.
Walau bagaimanapun, terdapat juga pertikaian terhadap keikhlasan Najib dalam usaha membanteras politik perkauman. Misalnya, kolumnis therocknews mempersoalkan mengapa lidah UMNO, Utusan Malaysia dibiarkan selama ini untuk menyiarkan hujah-hujah yang bersifat perkauman secara terbuka, tetapi mengambil tindakan pula ke atas Nasir Safar yang hanya membuat kenyataan dalam bilik tertutup?
Teori konspirasi diulangi
Teori konspirasi "sabotaj" ini sebenarnya tidak asing untuk kita, jikalau mengimbas pengalaman semasa zaman pemerintahan PM kelima, Abdullah Ahmad Badawi. Beliau dikatakan cuba membawa perubahan dalam UMNO-BN dan kerajaan, membersihkan rasuah, membuka ruang kebebasan dan sebagainya. Kononnya beliau sanggup melakukan segala-gala yang memisahkan corak pentadbiran dirinya daripada bekas PM Mahathir Mohamad.
Ketika Abdullah Badawi cuba menampilkan imej sebagai seorang pemimpin yang sederhana, insiden menghunus keris oleh Ketua Pemuda dalam perhimpunan UMNO dikatakan sebagai "sabotaj" terhadap usaha Pak Lah; apabila Abdullah memperkenalkan konsep "Islam Hadhari"-nya yang membawa pendekatan sederhana, kenyataan Najib bahawa "Malaysia bukan negara sekular" dianggap sebagai "sabotaj" untuk jatuhkan Pak Lah.
Ironinya, apabila Najib sendiri berada di puncak kuasanya, beliau pula ditonjolkan sebagai "pemimpin yang sederhana dan bertekad membawa perubahan". Segala-gala hujah atau tingkahlaku yang bertentangan dengan "politik sederhana", dianggap sebagai "sabotaj" daripada golongan yang bertentangan kepentingan dalam parti atau sistem kerajaannya.
Gandingan strategi Najib-Muhyiddin
Meskipun ada kebenarannya, jikalau dikatakan Timbalan PM, Muhyiddin Yassin lebih lantang dalam isu-isu Melayu-Islam, khususnya apabila bersedia mendampingi Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) yang semakin aktif baru-baru ini. Semua ini sekiranya dikaitkan, memberi gambaran seolah-olah Muhyiddin Yassin sedang membina kekuatan sendiri untuk menentang Najib.
Tetapi, apakah tidak mungkin, hubungan Najib-Muhyiddin ini merupakan gandingan semata-mata, sebagai strategi untuk memenangi hati masyarakat Melayu dan bukan-Melayu pada masa yang sama? UMNO kekal dengan imej memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam, dengan Muhyiddin sebagai ikonnya; sementara Najib kekal sebagai "PM untuk semua", yang meraih sokongan masyarakat bukan Melayu.
Gandingan sedemikianlah yang mengekalkan status quo buat sekian lama. Sementara media Cina menonjolkan kesukaran Najib dalam mengharungi cabaran; media Melayu pula mempertahankan UMNO yang tetap tidak berganjak dalam isu kepentingan Melayu-Islam. Kedua-duanya menjurus kepada kesudahan yang sama, kekalkan Najib sebagai PM dan UMNO-BN sebagai kerajaan.
Trend sedemikian tidak berubah dalam kes keterlanjuran Nasir Safar. Natijahnya, orang perseorangan mungkin "dikorbankan" pada saat-saat tertentu mengikut keperluan, sedangkan "pemimpin datang dan pergi" itu tidak lebih daripada kelumrahan dalam politik. Persoalannya, sistem yang sama telah mengekalkan masyarakat pada tempat asalnya.
Ini jawapannya mengapa Nasir Safar boleh "dikorbankan", tetapi tidak untuk Biro Tatanegara dan media milikan UMNO.
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu
No comments:
Post a Comment