Ramadhan akan melabuhkan tirainya beberapa hari lagi,begitu cepat dan pantas masa berlalu tanpa kita sedari. Di akhir Ramadhan ini adakah bertambah amalan kita untuk mengejar Lailatul Qadar atau kita bergembira menanti berakhirnya Ramadhan tahun ini.
Kita berada di sepuluh hari yang terakhir ini,namun adakah amalan kita berkembang atau dah menguncup di saat akhir. Aku berkesempatan pada Ramadhan tahun ini untuk bersolat terawih di beberapa surau di Bidor dan Tapah. Disamping menunaikan kewajipan yang sebulan dalam setahun ini ,aku meninjau juga keadaan jemaah-jemaah yang hadir untuk bersolat.
Namun tahun ini suasana begitu dingin sekali,kalau cuaca dingin tentu amat baik sekali,namun dingin dan hambar sekali dengan kehadiran jemaah. Adakah kerana wabak H1N1,orang tak nak berkumpul beramai-ramai lagi,tak mungkin........Semua ini kerana kesedaran masyarakat kita yang terlalu tipis dan mengambil mudah dalam beribadat di bulan yang mulia ini,mereka tidak lagi mengangkat Ramadhan itu ke satu tempat yang tinggi dan mulia.
Di surau-surau jemaah yang tinggal hanya warga emas yang umurnya 60 tahun keatas,anak muda dah banyak berkurangnya,(mungkin tempat lain tidak agaknya)jemaah muslimat juga begitu,ada yang hanya 5 atau 6 orang,walhal surau berada ditengah-tengah taman yang dikelilingi beratus-ratus rumah.Adakah ianya hanya 2 atau 3 keluarga Islam?Anak-anak kecil juga amat kurang ke surau,adakah mereka dimarah jemaah kerana bising atau ibubapa tidak mengizinkan?
Bagi aku tahun ini tidak seindah dan sehebat tahun-tahun yang lepas,masyarakat kita terus lalai dan lupa, di waktu siang mereka boleh berpanas dibawah khemah-khemah berniaga seawal 2 petang di bazar-bazar Ramadhan sehingga waktu berbuka. Bila malam mereka keletihan dan balik ke rumah mereka melabuhkan diri hingga ke hari esoknya . Begitulah rutin mereka ,mencari rezeki hingga melupai siapa yang memberi mereka rezeki itu.Apa yang aku tuliskan bukan rekaan tapi itulah realiti kebanyakkan para peniaga yang mencari rezeki di bulan yang mulia ini.Pekerjaan mereka baik dan halal untuk menambah pendapatan keluarga tapi di masa yang sama mereka tidak memuliakan rezeki mereka dengan bersyukur kepada ALLAH SWT pada waktu malamnya.
Bagaimana untuk kita menarik masyarakat hari ini mengunjungi masjid dan surau?Jika ianya berterusan begini,mungkin tahun-tahun yang akan datang masjid dan surau hanya tempat persinggahan musafir sahaja.Mungkin seminggu akhir Ramadhan nanti tinggal Imam dan Bilalnya sahaja.
Ini hanya selingkar kisah masyarakat setempat yang berada di sekelilingi ku,mungkin di tempat lain tidak begitu agaknya. Bersamalah kita menguatkan dan menguuhkan lagi hati-hati kita untuk keakhir Ramadhan ini,mungkin ini Ramadhan terakhir kita,hanya ALLAH yang tahu.
No comments:
Post a Comment