Pentadbir kepada laman
Facebook Pemuda Umno membuat permohonan maaf hari ini diatas poster
kontroversi mereka siarkan — menyatakan undi kepada Pakatan Rakyat (PR)
akan menyebabkan Kristian menggantikan Islam sebagai agama persekutuan.
Laman Facebook tersebut memuat naik poster yang bertulis: “Jika anda
setuju untuk jadikan KRISTIAN sebagai agama rasmi persekutuan Malaysia,
teruskan sokongan anda kepada Pakatan Rakyat.
God bless you my son.”
“Kami minta maaf secara terbuka kepada semua rakyat atas kesilapan
mengeluarkan gambar yang tidak patut pada 17/18 Aug 2012. Admin itu
sudah dikeluarkan dari fanpage,” tulis pentadbir laman tersebut lewat
malam tadi beberapa jam selepas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin
memberitahu media dia sudah hampir tahu siapa di belakang poster
tersebut.
Poster tersebut mengejutkan warga internet yang melihat permohonan
maaf tersebut sebagai satu kontradiksi kepada kenyataan Khairy yang
menyatakan Pemuda Umno tidak mempunyai laman Facebook rasmi.
Khairy turut mengarahkan ketua Pemuda Taman Tun Dr Ismail untuk
membuat laporan polis menafikan laman Facebook tersebut milik Pemuda
Umno dan orang yang menaikkan poster tersebut adalah orang yang tidak
beri kuasa.
“Khairy cakap akaun palsu... Rupanya akaun betul la nih. Siap buat
report polis bagai akaun palsu. Senang-senang je nak bodoh-bodohkan kami
ye... Siapa admin yg kena remove tuh?? Cepat dedahkan siapa...
Memburukan imej Pemuda UMNO...,” komen Nur Miba di permohonan maaf
tersebut.
“Hampeh betul la korang ni. Menyusahkan… tak mengaku, lepas tu mengaku. Bangang,” kata Shauqie Kharip.
Jika Pemuda Umno dibawa ke mahkamah berkenaan dengan laman Facebook
bukan milik mereka itu, ia akan menjadi ujian kepada pindaan Seksyen
114A, Akta Keterangan yang mendapat tentangan daripada ramai pihak.
Seksyen 114A menyebabkan pengusaha kedai kopi yang menyediakan
perkhidmatan Wi-Fi boleh dikenakan saman fitnah dan dakwaan jenayah
diatas komputer yang digunakan pelanggan.
Suhakam dalam kenyataan yang dihantar kepada
The Malaysian Insider meminta kerajaan menyemak semula pindaan undang-undang tersebut.
“Walaupun tanggapan fakta di bawah Seksyen 114A boleh dipatahkan.
Seseorang yang dianggap bersalah, mungkin tidak mempunyai masa, sumber
dan khususnya kepakaran teknikal berhubung dengan persekitaran Internet,
untuk membuktikan sebaliknya bagi mematah tanggapan tersebut,” katanya
pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam.
Beliau berkata berbeza pula dalam kes jenayah, pihak pendakwaan boleh
lebih bersedia untuk membuktikan kesalahan pihak tertuduh, kerana
mereka diberi kuasa untuk memaksa mana-mana saksi berpotensi (seperti
pentadbir, pemberi khidmat rangkaian dan pembekal Internet) untuk
mengemukakan keterangan.