SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Thursday, September 30, 2010

KOMPLOT DALAMAN UMNO UNTUK BERKUASA........

Kesungguhan Umno untuk memegang pada kuasanya menjejaskan kestabilan politik negara. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 30 Sept — Di sebalik pelbagai spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13, laporan terbaru The Economist Intelligence Unit mendakwa komplot dalaman Umno dan nekad parti pemerintah untuk kekal berkuasa dengan menggunakan apa jua cara merupakan ancaman besar kepada kestabilan politik di Malaysia.

Laporan itu mengenai Malaysia juga mengesyorkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan memperlihatkan peningkatan kerusi dalam pilihan raya umum ke-13, tetapi tidak mungkin akan memperolehi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti.

Kestabilan Malaysia sepanjang lima dekad lalu bergantung pada tiga faktor utama iaitu penguasaan mantap Barisan Nasional (BN), kawalan ketat Umno ke atas perikatan ini dan sokongan majoriti Melayu terhadap parti dominasi BN itu, kata laporan edisi keluaran Oktober itu.

Bagaimanapun menurut laporan itu, faktor-faktor itu bukan sesuatu yang kekal berterusan, lebih-lebih lagi selepas prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008 dan kejayaan bersejarah PR dalam menguasai lima negeri dan 82 kerusi Parlimen.

“Pilihan raya umum 2008 menunjukkan ketiga-tiga faktor itu menjadi lemah.

“Ekorannya, kuasa-kuasa ini kemungkinan tidak membolehkan rangka kerja politik negara kekal seperti biasa sepanjang 2010-2-14,” kata laporan itu lagi.

Mandat semasa kerajaan hanya akan berakhir Mei 2013, tetapi ramai menyebut pilihan raya umum kemungkinan diadakan awal tahun depan.

Oleh itu jelas laporan itu, komplot politik dalam Umno sendiri dan ditambah dengan kesungguhan untuk kekal dalam kuasa menerusi apa jua cara akan menjadi ancaman kepada kestabilan politik negara ini.

BN mahu memperoleh kembali kerusi majoriti di Parlimen dan menawan negeri-negeri yang jatuh khususnya Selangor.

Puak-puak dalam Umno mula kelihatan muncul dalam usaha menentukan hala tuju parti itu sejak kebelakangan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno melahirkan tekad untuk memperkenalkan pembaharuan-pembaharuan mesra pasaran.

Bagaimanapun Najib berhadapan dengan tekanan dan bantahan daripada elemen-elemen konservatif dari dalam Umno dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Malah Najib yang juga Pengerusi BN berhadapan dengan bantahan dalam usahanya memperkenalkan Model Baru Ekonomi, khususnya daripada Perkasa yang diketuai oleh Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali.

Najib dijadual memperkenalkan laporan kedua model itu bulan depan bersama Bajet 2011.

Selain itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan pendirian-pendirian yang dilihat boleh menjejaskan usaha Najib memperkenalkan pembaharuan dasar.

The Economist Intelligent Unit juga menekankan bahawa BN akan kehilangan lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang memandangkan Umno tidak boleh lagi mengharapkan sokongan orang Melayu daripada golongan “berpendidikan tinggi, liberal dan kelas pertengahan” yang memihak sokongan kepada pembangkang.

Malah menurut laporan itu, kemungkinan keputusan pilihan raya akan memperlihatkan lebih banyak kehilangan kerusi di pihak BN, memandangkan pengundi Melayu berpendirian sederhana yang kecewa dengan siri skandal politik selain tindakan Umno begitu agresif memperkenalkan nilai-nilai Islam, tidak akan memberikan sokongan mereka.

Katanya, pengundi-pengundi Cina dan India kekal enggan kembali ke pangkuan BN. — Bernama

PRK DUN GALAS:PERLANTIKAN RAZALEIGH UMPAMA KATA DUA


http://buletinonline.net/images/stories/berita34/dungalasbyelection1.gifParti Islam Se-Malaysia menyifatkan perlantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil DUN Galas sebagai kata dua kepada beliau yang menyokong tuntutan royalti Kerajaan PAS Kelantan. Jelas ianya tindakan terdesak Umno. Ternyata Umno begitu bergantung harap kepada pengaruh Tengku Razaleigh bagi merampas semula DUN berkenaan walaupun tahu, Tengku Razaleigh tidak sealiran dengan pemimpin tertinggi Umno dan perlantikannya adalah risiko terbesar yang perlu Umno tangani sepanjang kempen.

Sebelum ini di Manik Urai, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dilantik sebagai Pengarah namun gagal merampas kerusi berkenaan yang kekal ditangan PAS. Akibat kegagalan itu, beliau dinafikan hak untuk menjadi Pengarah Pilihanraya DUN Galas walaupun beliau adalah Pengerusi Perhubungan Negeri dan Menteri Umno yang banyak menafikan hak royalti Kelantan..

DUN Galas dikawasan Parlimen Gua Musang yang menjadi kubu Tengku Razaleigh dimana Umno menumpang pengaruh beliau untuk mengibarkan bendera mereka, bakal menjadi medan ujian buat Umno dan Tengku Razaleigh sendiri.

Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam Pilihanraya yang lepas Allahyarham Che Hashim Sulaima berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Walaupun baru sepenggal bersama PAS, namun keyakinan rakyat Galas terhadap kemampuan wakil rakyat PAS dan juga kerajaan PAS bakal menjadi cabaran buat BN.

Bagi PAS perlantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah pilihanraya Umno adalah kemenangan pertama kerana selepas Pilihanraya 2008, beliau begitu cenderung untuk bersama rakyat menyokong perjuangan Kerajaan PAS Kelantan bagi menuntut royalti dari Kerajaan Persekutuan dibawah BN.

Malah beliau yang juga mantan Pengerusi Petronas menawarkan diri menjadi saksi bagi kes saman yang dikemukakan Kerajaan kelantan kepada Petronas. Beliau menjadi perhatian kerana sanggup menentang arus dan melawan Presiden Umno dan MT Umno yang duduk dalam kabinet demi membela nasib rakyat.

PAS yakin, perlantikannya membuktikan Umno sebenarnya hilang keyakinan di Galas tetapi mahu memberikan tekanan kepada Tengku Razaleigh sendiri sebagai membuktikan kesetiaanya kepada Umno. Ianya umpama kata dua kepada beliau, sama ada berjuang untuk rakyat atau berjuangan untuk kepentingan Umno.

PAS yakin, Tengku Razaleigh tahu membuat keputusan dan dia tahu jika Umno menang di Galas, belum tentu royalti minyak Kelantan akan dipulangkan. PAS tiada masalah jika beliau menerima perlantikan itu, tetapi mahu beliau gunakan peluang itu untuk terus memperjuangkan royalti minyak Kelantan.

Jika dalam PRK nanti isu Royalti dibangkitkan, rakyat pasti tertanya-tanya, apa pula yang Tengku Razaleigh akan ucapkan? Sanggupkah beliau untuk menyanggah hujah Umno-BN demi kepentingan rakyat nanti.

PAS menyeru agar Tengku Razaleigh istihar keluar Umno dan menyertai PAS jika benar beliau berjuangan untuk rakyat Kelantan.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS

Wednesday, September 29, 2010

PRK GALAS DAH MULA PANASSSSSSSS!!!!!!!!!


Jangkaan Pilihantaya Kecil (PRK) akan diadakan berikutan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menjadi suasana politik semakin 'hangat'.

PAS membuka langkah dengan menyarankan supaya Barisan Nasional (BN) berkompromi dengan menyerahkan kerusi kepada parti PAS pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Timbalan Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah itu perlu demi perpaduan Melayu dan mengelakkan pergeseran politik terus berpanjangan antara kedua-dua parti induk orang Melayu itu.

Katanya adalah wajar jika kedua-dua parti itu tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu jika ingin melihat perpaduan di kalangan orang Melayu yang menjadi agenda utama negara.

"Bagaimanapun, adalah lebih baik jika kerusi itu diserahkan kepada PAS memandangkan kerusi DUN itu disandang oleh calon daripada parti berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sidang media di Pameran Tortura iaitu alat penyeksaan di zaman pertengahan Eropah di Muzium Negeri, di sini, Selasa.

Takiyuddin berkata dengan cara demikian juga ia akan dapat menjimatkan perbelanjaan kewangan kedua-dua pihak dalam pilihan raya kecil.

Isu Semasa Dan Sentimen Tempatan Jadi Tumpuan

Sehubungan itu, penasihat jentera pilihan raya Pas Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata isu semasa dan sentimen tempatan dijangka menjadi tumpuan pada PRK DUN Galas yang bakal diadakan

Katanya kemenangan Pas pada pilihan raya umum sebelum ini pun banyak bergantung kepada kedua-dua isu itu.

"Sebab itu, kita menganggap pilihan raya kecil kali ini adalah suatu medan ujian penting kepada Pas dan Barisan Nasional," katanya kepada Bernama hari Selasa.

Wan Abdul Rahim berkata sentimen setempat di Galas berdasarkan kepada komposisi pengundi kerana kawasan itu mempunyai ramai pengundi daripada kalangan Orang Asli.


Polis Kelantan sedia

Dalam pada itu, Polis Kelantan dilaporkan bersiap-sedia bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam dalam menghadapi pilihan raya kecil sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Gua Musang perlu diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, terserah kepada SPR bagi menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya kecil itu dan anggota polis mencukupi bagi memastikan ia berjalan lancar.

"Semua kekuatan logistik dan tenaga anggota mencukupi, kontinjen Kelantan sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya bagi memastikan suasana aman, selamat," katanya

Abdul Rahim berkata, polis tidak ada masalah bagi menghadapi pilihan raya itu dan berharap kempen yang dijalankan oleh parti-parti terbabit dalam suasana aman dan harmoni.

Pemimpin Umno Tuduh Pengundi DUN Galas Silap,

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendakwa pengundi di Dewan Undangan Negeri(DUN) Galas, Kelantan telah melakukan kesilapan dalam pilihanraya umum lalu.

Beliau berkata, kononnya pengundi DUN Galas tidak sepatutnya mengulangi kesilapan dengan memilih calon daripada parti pembangkang pada pilihan raya negeri kawasan itu yang akan diadakan.

Beliau menambah tohmahannya, ramai pengundi di DUN tersebut kecewa dengan kegagalan pembangkang memenuhi janji manis mereka seperti yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

Kononnya, kata Sabri lagi, sekarang adalah waktu paling sesuai untuk pengundi di Gua Musang kembali menyokong Barisan Nasional (BN).


Umno akan Letak calon tempatan

Umno tidak ada pilihan kecuali akan akur dan meminta restu daripada Ketua Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin. menyebut secara khusus, Umno akan meletakkan calon tempatan dari Gua Musang yang diketuai oleh Tengku Razaleigh

Katanya, beliau berharap dan percaya, Tengku Razaleigh akan membantu Pengerusi Perhubungan Umno Dato' Mustapa Mohamad, memenangkan BN dalam PRK DUN Galas.

"Apabila pilihanraya kecil diumumkan, kita akan pilih calon dari Gua Musang, yang diketuai oleh Tengku Razaleigh (Hamzah), kita percaya Tengku Razaleigh, sebagai ketua bahagian akan membantu Datuk Seri Mustapa (Mohamed), selaku Pengerusi Perhubungan Umno bagi memastikan kemenangan BN,"kata Muhyiddin selepas menyampaikan ucapan di Forum International Herald Tribune.

Muhyidin berhati-hati dan berharap Tengku Razaleigh tidak menjadi halangan kerana Tengku Razaleigh sering mengeluarkan kenyataan kontra terhadap dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional.

Tengku Razaleigh berterus terang menyebelahi kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu dalam isu royalti petroleum bahkan beliau sanggup menjadi saksi dalam saman kerajaan Kelantan dan Terengganu terhadap Petronas dan kerajaan Persekutuan.


PAS Yakin Menang

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub yakin parti Islam itu dapat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas jika pilihan raya kecil diadakan ekoran kematian penyandangnya Che Hashim Sulaiman semalam.

Beliau melahirkan keyakinan kerana parti itu sudah membuat persiapan yang rapi dalam menghadapi pilihan raya umum, sekali gus jentera parti juga sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil DUN Galas.

“Parti sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi pilihan raya umum jadi pada saya semua jentera parti sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kita tidak mempunyai masalah untuk hadapi pilihan raya kecil DUN Galas.

“Malah kita yakin akan mengekalkan kemenangan di DUN Galas kerana dengan persiapan awal dan rapi yang dibuat sebelum ini kita boleh,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Galas dijangka diadakan selepas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu Che Hashim Sulaiman, 46, meninggal dunia di Hospital Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.

Hashim yang menghidap barah usus menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga kira-kira jam 4.30 petang semalam selepas dimasukkan ke hospital itu beberapa hari lalu.

Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Betis, Gua Musang lewat malam tadi sebaik tiba dari Kuala Lumpur kira-kira jam 11.30 malam.

Pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Che Hashim memperoleh 4,399 undi mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Tuesday, September 28, 2010

UMNO DI PENGHUJUNG HAYAT

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Kerajaan Umno BN sekarang mengalami serangan penyakit kartun fobia, ceramah fobia, kuliah fobia, Youtube fobia, risalah fobia dan seumpamanya.

Justeru, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menganggap kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya rakyat jangan terpengaruh dengan dakyah terbaru pembangkang yang memburuk-burukkan kerajaan melalui pengedaran cakera padat (CD) termasuk memuat naik bahan itu ke dalam laman web Youtube sebagai satu kenyataan orang yang takut menerima kenyataan kerana berada di penghujung hayat pemerintahan.

Menurutnya, menjadi lumrah mana-mana pemerintah yang banyak mengkhianati amanah rakyat cukup bimbang dengan maklumat yang benar sampai kepada rakyat yang mereka perintah.

Katanya, kerajaan Umno BN tahu mereka akan terus berkuasa selagi rakyat boleh ditipu melalui saluran berita berat sebelah.

Sehubungan itu, tambahnya PAS menganggap kenyataan supaya rakyat jangan percaya dengan Youtube adalah satu kenyataan yang ketinggalan zaman, seolah-olah rakyat pada hari ini hidup di zaman batu.

Sekarang, ujarnya program yang diuar-uarkan oleh kerajaan seperti koridor raya multi media sudah menjadi hantu raya kepada Umno BN, kerana apa sahaja dakyah melalui media perdana dengan pantas dijawab oleh media internet.

“Mereka merasa gusar apa sahaja strategi yang dibuat tidak menjadi untuk menjerat rakyat supaya menyokong mereka,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini, jelasnya menyebabkan semua berita yang dikeluarkan oleh media perdana telah dipandang sinis dan tidak boleh menaruh kepercayaan kepada rakyat.

“Inilah satu bala yang menimpa kepada kerajaan BN. Inilah akibat apabila selalu berbohong dalam pemberitaan akhirnya berita benar pun rakyat kata tipu,” katanya lagi.

SAMBUTAN HARI RAYA PAS TAPAH 2010


Ramai warga Sungai Kroh keluar untuk bersama pimpinan Pakatan Rakyat di rumah terbuka ini.Warga emas yang paling ramai.....

Mengaminkan doa yang dibacakan oleh AF Ustaz Abdul Malek ,Naib YDP Pas Tapah.

Antara menu-menu utama yang disajikan....lemang,nasi impit dan tentunya yg menjadi rebutan satay....ade org sponsor....tahun depan sponsor le banyak lagi ye......

Buah2an sebagai pencuci mulut....buah naga pun ade......

Para tetamu sedang memberi duit raya kepada kanak-kanak.....alhamdullilah ada hamba Allah yg sedekah duit raya tahun.

Selera betul YB Wong Kah Who menikmati rendang ayam dengan lemang......manyak sedap oiii ini rendang....emmmmm

Ini Ahli Dewan Himpunan Penyokong Pas Tapah diketuai oleh Saudara Appalaisamy.ramai mereka datang.....kaum sikh juge ade hadir.

Ini kome kenal ke sape?Inilah masyarakat orang asli di sekitar Tapah yg datang ke rumah terbuka Pas ,cantik berbaju kurung..budak2 melayu kita pun tak berbaju kurung macam mereka dah...

Sunday, September 26, 2010

UMNOLAH YANG PATUT MALU.....


KEPALA BATAS, 25 Sept: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan dakwaan yang telah dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semalam yang mendakwa Kerajaan Negeri menggunakan wang dari sumber judi Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang untuk program miskin tegar.

Semalam, Reezal dalam sidang media beliau di Kepala Batas telah mendakwa kerajaan negeri memperolehi wang dari sumber judi sebanyak RM500 ribu dari kelab tersebut sebagai sumber untuk membiayai program membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang.

Guan Eng berkata, sejumlah 90 peratus dari mereka yang tergolong dalam miskin tegar adalah masyarakat Melayu.

Namun begitu, katanya harus diketahui bahawa baki sebanyak 10 peratus lagi adalah di kalangan masyarakat bukan Melayu dan bukannya beragama Islam.

"Jumlah yang kita gunakan untuk masyarakat bukan Islam tidak harus dipertikaikan. Manakala bagi masyarakat Islam kita sedia maklum apa yang baik untuk mereka dan apa pula yang sebaliknya.

"Oleh kerana itu, maka usaha Umno memburukkan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) ini sebenarnya tidak akan menjadi nyata kerana rakyat sudah tahu dan faham mengenai usaha mereka untuk menjatuhkan serta mencalarkan imej kerajaan negeri," katanya.

Menurut beliau lagi, jika sebelum ini Umno melalui Reezal juga telah menuduh kerajaan negeri menggunakan wang dari sumber judi untuk pemberian RM100 kepada warga emas dan tidak menjadi kenyataan setelah dinafikan dengan fakta, kini mereka beralih pula kepada wang kepada penerima miskin tegar.

Kata Lim lagi, adalah tidak munasabah untuk Kerajaan Negeri memberi sumbangan dari sumber judi kepada masyarakat Islam di negeri ini.

"Kita juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh untuk diberikan sebagai sumbangan kepada masyarakat Islam. Oleh kerana itu janganlah Umno menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka walaupun hendak mencari semula pengaruh yang hilang.

"Umno sepatutnya malu dengan kenyataan ini kerana merekalah sebenarnya yang menguasai kepimpinan Kerajaan Pusat bersama Barisan Nasional (BN) yang meluluskan kesemua lesen judi yang ada di seluruh negara ini.

"Bak kata pepatah menepuk air ke dulang terkena muka sendiri. Inilah umpama yang patut saya nyatakan kepada Umno dan BN yang cuba mencari kesalahan PR sejak kita mula memenangi pilihan raya 2008 yang lalu sehinggalah ke hari ini," tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan program 'Pembersihan Pantai Antarabangsa' di Pantai Robina, Teluk Air Tawar, Butterworth pagi tadi.

Saturday, September 25, 2010

CARTOON-O-PHOBIA TETAP DILANCAR.......


KUALA LUMPUR, 25 Sept: Meskipun tanpa kehadiran Zunar, majlis pelancaran buku Cartoon-O-Phobia tetap diteruskan di Dewan Perhimpunan Cina-Selangor (KLSCAH) malam tadi dengan dirasmikan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Zunar atau atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque yang ditahan polis di bawah Akta Hasutan kerana menerbitkan Cartoon-O-Phobia diwakili isterinya, Fazlina Rosley ke majlis berkenaan.

Fazlina dalam ucapannya mewakili Zunar mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penyokong dan peminat Zunar yang setia memberikan sokongan terhadap perjuangan Zunar mendidk rakyat melalui karya-karya kartun beliau.

"Zunar sebelum ini sudah berbincang dengan saya apa yang akan dicakapkan pada malam ini. Belaiu kata pada saya, beliau tidak mahu sentuh pasal politik tapi cuma mahu cakap pasal perjuangan beliau melalui media yang nampaknya sangat ditakuti.

"Zaman Tun (Abdul) Razak dahulu adalah fear of comunist tapi zaman (Datuk Seri) Najib ini fear of cartoonist," katanya disambut dengan gelak tawa hampir 200 orang yang memenuhi dewan.

Fazlina yang hadir ditemani peguam, Fadiah Nadwa Fikri turut membacakan pesanan Zunar yang dihantar melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya petang semalam.

"Tangkapan ini tidak akan mengubah pendirian saya untuk membongkar penyelewengan dan korupsi kerajaan malah tindakan ini mengesahkan tajuk buku (Cartoon-O-Phobia) bahawa kerajaan takut dengan kartun.

"Mereka boleh kurung badan saya tapi mereka tidak boleh kurung otak saya," kata Zunar dalam sms yang dibaca Fazlina.

Sementara itu, Nizar dalam ucapan perasmiannya menyifatkan tindakan pihak polis menyerbu dan merampas buku-buku Zunar serta menahannya untuk disoal siasat sebagai menunjukkan 'kekartunan' mereka.

"Apabila pihak polis bertindak begini dan mahu mengharamkan buku kartun Zunar, ini merupakan satu tindakan yang menujukkan 'kekartunan' mereka.

"Adakah negara ini mahu kembali ke zaman 30 hingga 40 tahun ke belakang? Kalau mereka haramkan buku ini pun, orang tetap boleh dapat daripada pelbagai sumber khususnya daripada internet," kata Nizar yag juga ahli Parlimen Bukit Gantang.

Nizar secara berseloroh mencadangkan agar istilah Cartoon-O-Phobia dimasukkan ke dalam Wikipedia agar rakyat mengetahui maksudnya bahawa kerajaan takut pada kartun.

"Kita mintak buat Wikipedia Cartoon-O-Phobia supaya bila kita tengok sahaja, kita boleh tahu apa maksudnya.

"Kita jugak secara senyap dan lembut berterima kasih kepada (Datuk Seri) Hishammuddin kerana turut mempromosikan buku ini, daripada orang tak tahu, jadi tahu mengenai buku ini," katanya yang turut disambut dengan gelak tawa hadirin.

Menurutnya juga, Umno Barisan Nasional mula menyedari bahawa zaman kegemilangan mereka bakal berakhir dan mula melakukan tindakan untuk mengugut rakyat terutanya golongan muda yang mula menyokong Pakatan Rakyat.

"Ramai rakyat Malaysia khususnya golongan muda menyokong Pakatan Rakyat. Mereka mahu supaya perubahan besar dan mereka sedar di atas kezaliman yang berlaku di negara kita hasil buatan Umno Barisan Nasional dan mereka dapat kesedaran itu melalui kartun-kartun yang dilukis Zunar.

"Umno sekarang ini berada dalam suasana akhir hayat. Hayat dia tinggal nyawa-nyawa ikan. Biasanya manusia ini kalau dia sampai ke tahap akhir hayat, dia akan buang tabiat dan buat sesuatu yang melucukan," katanya.

Turut berucap malam tadi, ketua editor laman web Malaysiakini, Steven Gun.

Dalam pada itu, setakat awal pagi tadi, Zunar yang ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam telah dibawa ke tujuh balai polis.

Beliau dibawa ke balai polis Brickfields, Ibu Pejabat Polis (IPD) petaling Jaya, Serdang, Puchong, Bukit Puchong, Sepang, dan akhirnya ke KLIA.

Zunar ditemani peguamnya, Latheefa Koya.

Pagi ini, beliau dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang untuk mendapat perintah tahanan reman.

Dalam serbuan di pejabatnya semalam, polis telah merampas sebanyak 66 naskhah Cartoon-O-Phobia yang sepatutnya dibawa ke majlis pelancaran itu.

Walaupun orang ramai yang hadir tidak boleh mendapatkan buku itu di majlis pelancaran malam tadi, mereka tetap membuat pesanan daripada kakitangan pejabat Zunar yang membuka kaunter di luar dewan.

Thursday, September 23, 2010

SAMBUTAN HARI RAYA PAS TAPAH

TEMPAT: DEWAN ORANG RAMAI SG KROH,
AYER KUNING,TAPAH.
TARIKH: 25.09.2010 (SABTU)
MASA:9.30 PAGI


TETAMU JEMPUTAN:

YB WONG KAH WHO
(ADUN CANNING MERANGKAP KETUA DAPSY PERAK)


SAUDARA CIKGU AHMAD IDZAM B. AHMAD
(TIMB. PENGERUSI LAJNAH BURUH PAS PUSAT MERANGKAP PENGERUSI IKATAN ANAK PERAK DI PERANTAUAN)


SEMUA MASYARAKAT DI JEMPUT HADIR.

Tuesday, September 21, 2010

HAPUSKAN SEMUA KUMPULAN 'GANGSTER'


http://buletinonline.net/images/stories/berita33/images.jpgParti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu pihak Polis menumpukan usaha membanteras gangterisma secara menyeluruh dan bukannya tertumpu pada kaum India sahaja seperti yang dipinta oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Jika pihak Polis mengikut kehendak emosi Murugiah, masalah gangterisma tidak akan selesai kerana ia bukan wujud kalangan kaum India sahaja. Kenyataan Murugiah dengan sendiri memberikan gambaran buruk tentang masyarakat India dan ini tidak sewajarnya dilakukan oleh beliau sebagai seorang Menteri.

Gejala gangterisma ini harus dihapuskan hingga ke akar umbi termasuk kalangan VIP dan ahli Politik yang melindungi mereka. Kumpulan gangster ini ada di mana-mana dalam negara kita. Dalam pilihanraya pun mereka boleh muncul seperti serangan yang berlaku ke atas Markas Pemuda PAS ketika Pilihanraya Kecil Bagan Pinang.

Beberapa kawasan di Lembah Klang dikenali oleh masyarakat umum sebagai kawasan gangster seperti di kawasan Chow Kit, Jalan Pasar dan Jalan San Peng, Jalan Petaling dan Brickfield di Kuala Lumpur manakala di Selangor, kawasan Puchong dan Klang cukup ditakuti kerana menjadi sarang gangster dan Ah Long.

Pemantauan dan siasatan terperinci untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan ini yang sebahagiannya terlibat dengan jenayah berat termasuk membunuh, menculik, menyiksa dan menyerang mangsa mereka.

PAS berharap agar pihak Polis dapat menjalankan tugas mereka dengan jujur dan tidak terbabit sama dalam memberikan perlindungan atau bersubahat dengan kumpulan gangster ini. PAS mahu satu jaminan daripada pihak Polis tentang keselamatan rakyat keseluruhannya.

Negara ini sudah cukup terkenal sebagai negara transit dadah, pemerdagangan orang dan juga penyeludupan barang serta penjenayah. Dan amat merisaukan jika dalam negra sendiri gangterisma dibiarkan berleluasa. Hapuskan mereka tanpa mengira gangster India, Cina atau Melayu kerana tiada bangsa dan agama yang membenarkan kewujudan kumpulan samseng dalam komuniti mereka.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Thursday, September 16, 2010

PENYELARASAN SUBSIDI: MENGAPA HARGA TIKET BAS NAIK?

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/bnn.jpgKerajaan Umno/ Barisan Nasional memberi jaminan dengan berjanji, penyelarasan subsidi yang berlaku pada 15 Julai lalu tidak membebankan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri dipetik media Perdana 16 Julai berlata penyelarasan subsidi ke atas beberapa bahan keperluan termasuk gula dan petrol yang diumumkan oleh kerajaan akan disusuli dengan pemantauan bagi memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan.

Menurut Muhyidin, kenaikan harga beberapa barangan seperti gula dan petrol ekoran pengurangan subsidi masih mampu diserap oleh peniaga.

"Apa-apa tindakan yang diambil kerajaan untuk melaraskan subsidi juga dilihat tidak membebankan rakyat secara keterlaluan kerana sebahagian besar barangan yang dijual masih dikawal oleh kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Setiu, Terengganu.

Namun 'cakap kosong' dan 'janji politik' pemimpin No;2 Umno itu kini jelas.

Setelah dua bulan berlakunya penyelarasan subsidi, ternyata kerajaan BN benar-benar mendahulukan rakyat, dengan harga hampir semua barang dan perkhidmatan yang diperluan oleh rakyat, meningkat.

Beberapa penumpang perkhidmatan bas ekspres yang ingin menuju ke beberapa destinasi tanah air sempena Aidilfitri baru-baru ini terkejut dengan kenaikan harga tiket antara lima hingga sepuluh peratus bagi setiap perjalanan.

Pengguna, Mohd Danish Fauzi,21 berkata, syarikat pengangkutan awam tersebut telah menaikkan harga tiket sebanyak RM3 berbanding harga biasa.

“Untuk perjalanan ke Kuala Lumpur, harga biasa adalah antara RM33, tetapi sekarang apabila saya beli tiket untuk balik raya, ia naik kepada RM36.

“Kenaikan harga tiket dikatakan untuk menampung kos perkhidmatan, perkara ini tidak sepatutnya dibebankan kepada pengguna,” kata penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun itu.

Noreezah Asyikin Mohd Yehasan, 18, berkata, sebagai anak orang miskin yang terpaksa menampung kos perbelanjaan tinggi ketika belajar di pusat pengajian tinggi, kenaikan sebanyak RM3 itu amat besar bagi mereka.

“RM3 kami sudah boleh makan sepinggan nasi goreng. Jadi, bagi kami yang masih lagi belajar dan segala perbelanjaan ditanggung keluarga, jumlah itu agak besar,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian

Thursday, September 9, 2010

SALAM AIDILFITRI DARI DMP TAPAH


Sempena Aidilfitri yang akan datang esok,saya dan semua AJK DMP Tapah ,Perak ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua sahabat-sahabat seperjuangan dan kepada semua kenalan-kenalan dimana sahaja anda berada.

Kemaafan di pohon jika ada terkasar bahasa,tercuit rasa dan terkilan dihati.Sesungguhnya tiada jua terniat di hati untuk menyakiti atau mencari kesalahan .Apa jua yg terkandung di blog ini hanyalah sebagai tatapan dan info untuk semua lapisan masyarakat.

Sekali lagi salam Aidilfitri dan maaf dihulurkan,moga disambut dengan penuh keikhlasan.

Friday, September 3, 2010

NAMPAK BENO JAHILNYA UMNO......


BESUT, 3 Sept: Meski pun Barisan Nasional (BN), khususnya Umno begitu beriya-iya menjatuhkan imej dan kredibiliti PAS menerusi manipulasi isu-isu berkaitan agama dan sentimen Melayu kebelakangan ini, kegelojohannya berbuat demikian sebaliknya lebih mendedahkan kejahilan parti itu terhadap ilmu Islam sebenarnya.

Di masa sama, kebijaksanaan dan keikhlasan PAS menerangkan kedudukan sesuatu isu berlandaskan ilmu Islam yang sebenar akhirnya berjaya menambat hati rakyat negara ini menjadikan parti itu sebagai alternatif kepada Umno/BN.

“Rakyat seluruh negara menunggu dengan penuh harapan agar PAS menerajui dan mendidik mereka dengan ilmu Islam, yang sentiasa membawa sinar kebenaran yang tak boleh dipertikaikan,” tegas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Beliau menyatakan demikian di dalam ceramahnya di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah, dekat sini malam tadi.

Turut berucap di majlis ceramah itu ialah Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar.

Menurutnya, para pemimpin PAS telah menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan yang amat mengagumkan masyarakat, terutama kalangan bukan Islam, dalam menangani beberapa isu berkaitan Islam dan Melayu kebelakangan ini.

“Kita tidak mudah melatah, bukan macam para pemimpin Umno yang bagaikan hilang akal, dibantu surat-suratkhabar yang dikuasai mereka memainkan isu-isu agama secara ekstrem dan mengapikan isu perkauman yang sempit secara tidak bertanggungjawab,” katanya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian merujuk manipulasi yang terlampau oleh para pemimpin Umno dan media kroninya dalam isu-isu terkini berkaitan agama.

Paling baru ialah isu seorang khatib mendoakan kesejahteraan untuk Ketua Menteri Pulau Pinang dan isu dua wakil rakyat bukan Islam memasuki surau dan masjid di Selangor.

Beliau mempersoalkan apa rasionalnya Umno terlalu memainkan isu berkenaan, sedangkan ia bukan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Beliau membawakan contoh dan bukti bahawa perkara sama telah dilakukan oleh para pemimpin bukan Islam dari komponen BN sendiri.

“Sebaik saja berita ini tersiar, pagi-pagi esoknya seorang bekas wakil rakyat BN di Johor telefon saya. Dia kata, ‘YB, this is too much (ini sudah melampau). Saya dulu pun masuk masjid, buat ucapan dalam masjid di kawasan saya. Umno tak kisah pun,” Salahuddin menceritakan luahan kecewa bekas wakil rakyat BN itu.

Beliau merujuk isu Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang memasuki Surau al-Huda di Kajang, yang dijadikan bahan utama media arus perdana baru-baru ini. Isu itu dimanipulasi sepenuhnya oleh para pemimpin BN dan media kroninya, bukan sahaja di atas dakwaan penghinaan terhadap Islam, malah turut dijadikan bahan menyerang pendirian PAS berhubung isu agama.

Salehuddin turut menyebut pendedahan media siber mengenai tindakan seorang wakil rakyat bukan Islam di Parlimen Pontian yang juga memasuki masjid beberapa hari selepas itu.

“Adun Pulai Sebatang, seorang pemimpin MCA, masuk ke masjid rasmikan program tadarus dan khatam al-Quran. Kenapa Umno tak kecoh?” soalnya.

Beliau turut menarik perhatian hadirin kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mac lalu yang menetapkan bahawa orang bukan Islam dibolehkan memasuki masjid dan surau, termasuk ruang solat.

“Sebab itu rakyat yang rasional jadi keliru (dengan reaksi terlampau para pemimpin Umno). Rakyat tertanya-tanya kenapa Umno seolah-olah orang hilang akal dalam isu ini, kenapa tak rujuk Majlis Fatwa?” soalnya lagi.

Baginya, tabiat buruk Umno itu menyebabkan parti itu semakin ditolak rakyat. PAS pula beliau yakin sedang bergerak dengan serius untuk mengambil tempat Umno dalam memperjuangkan nasib rakyat, terutama bangsa Melayu dan agama Islam.

Hadir sama Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Datuk Husain Awang dan Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Related Posts with Thumbnails