Majlis Profesor Negara (MPN) hari ini menyatakan pendirian  bahawa Tanah Melayu tidak pernah menjadi tanah jajahan British.
Sebaliknya  British hanya berperanan sebagai penaung dengan mengiktiraf Institusi  dan Majlis Raja-Raja Melayu (DURBAR) sebagai pemerintah yang sah menurut  Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya, Profesor Datuk Dr Zainal  Kling.
"Kita ingin menyatakan dengan tegas bahawa fakta sejarah  menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah. Itu fakta sejarah yang  mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak.
"(Istilah)  dilindungi dan dikoloni tidak sama. Hanya tiga negeri di Tanah Melayu  yang merupakan tanah jajahan iaitu Singapura Melaka dan Pulau Pinang,"  ujar beliau.
Justeru anggota polis dan pegawai Melayu yang  berkhidmat pada ketika itu dibayar gaji daripada hasil Persekutuan Tanah  Melayu dan bukan British, jelasnya lagi.
Beliau bagaimanapun  mengakui pada peringkat awal ada pejuang haluan kiri Melayu yang  memperjuangkan kemerdekaan daripada British, namun Parti Komunis Malaya  (PKM)  dikatakan bercita-cita mahu menubuhkan Republik Komunis di Tanah  Melayu.
"Nasionalis Melayu yang pada awalnya ingin memerintah di  Tanah Melayu bersubahat dengan pejuang komunis untuk menjadikan negeri  ini sebagai republik komunis," ujar Zainal.
MPN mengambil  inisiatif memberi penjelasan ekoran isu yang dibangkitkan Timbalan  Presiden Pas, Mohamad Sabu yang didakwa mengangkat Ketua Rejimen ke-10  PKM, Ahmad Indera sebagai pejuang kemerdekaan sebenar dalam ceramahnya  di Tasik Gelugor 21 Ogos lalu.
Mohamad yang  lebih dikenali sebagai Mat Sabu diserang bertalu-talu oleh media dan  institusi pro Umno-Barisan Nasional (BN) termasuk bekas anggota polis  dan tentera sehingga ada yang mencadangkan agar kerakyatan beliau  dilucutkan kerana didakwa sebagai pengkhianat negara.
Malah  keluarga beliau turut diancam keselamatan apabila ada pihak yang  mengugut untuk menyimbah asid kepada isteri dan anak perempuannya.
Turut  memberi kenyataan semalam Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman  yang menyifatkan Mat Indera secara sengaja dan sedar menjadi anggota  gerakan pertubuhan PKM bertujuan menghasut orang awam untuk bersama  parti itu menentang British melalui bentuk keganasan.
Walhal  Abdul Ghani sebelum ini mengiktiraf penerbitan buku 'Pengukir Nama  Johor' yang dikatakan sebagai "bahan kajian di atas prinsip-prinsip  kebenaran akademik" pada tahun 2004.
Mat Sabu tetap  mempertahankan diri dengan mendakwa beliau difitnah oleh akhbar Utusan  Malaysia 27 Ogos lalu dalam laporan muka hadapan bertajuk "Mat Sabu hina  pejuang, anggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong".
Beliau  bertegas menyatakan dirinya tidak pernah mengaitkan Mat Indera dengan  komunis seperti yang dilaporkan akhbar itu dan kemudian akan menyaman  Utusan Malaysia.
Zainal seterusnya mempertahankan kedudukan parti  Umno Perikatan (BN) yang bertindak sebagai kerajaan sah pada ketika itu  yang secara kebetulan memenangi Pilihan Raya Umum 1955.
"Kebetulan  parti Umno (perikatan) dan kemudian menjadi parti Barisan Nasional  telah menang sejak 1955 sehingga sekarang. Itu kebetulan sejarah. Maka  kerana itu mereka telah membentuk kerajaan yang sah," tambahnya.
No comments:
Post a Comment