SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Thursday, September 8, 2011

BURHANUDDIN AL-HELMY 'LEBIH POPULAR'

Mohamad Sabu yang berhadapan dengan siri kritikan sejak dua minggu lalu menimbulkan beberapa persoalan baru mengenai fakta kemerdekaan malam tadi, antara lain menekankan bahawa Burhanuddin al-Helmy sudah pasti menjadi pilihan rakyat sebagai pemimpin mereka jika satu referendum telah diadakan sebelum kemerdekaan.

Timbalan Presiden PAS (gambar) berkata Burhanuddin yang dilahirkan di Kota Baru dan merupakan pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) lebih diterima berbanding Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Datuk Onn Jaafar sendiri.

Onn menubuhkan Umno dan beliau digantikan oleh Tunku Abdul Rahman, yang merupakan Bapa Kemerdekaan dan perdana menteri yang pertama.

“Kalau British telah mengadakan referendum (sebelum memberi kemerdekaan) antara Burhanuddin, Tunku Abdul Rahman dan Burhanuddin, saya fikir rakyat pilih Burhanuddin,” kata beliau pada forum bertajuk Mat Indera — Pejuang atau Pengkhianat Kemerdekaan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor malam tadi.

“. . . beliau telah disumbat (dimasukkan ke dalam penjara . . . Ahmad Boestamam (sekali) . . . kalau diadakan referendum, (rakyat) akan pilih Burhanuddin,” kata beliau sambil menambah, dari awal lagi kesemua pertubuhan dan organisasi telah diharamkan kecuali Umno oleh British semasa mengisytiharkan Darurat.

Darurat diisytiharkan pada 1948 dan berlarutan sehingga 1960.

“Jadi, dia (Umno) sahaja yang tinggal,” katanya yang menimbulkan bahawa tiada persaingan politik ketika itu.

Dua anggota panel forum malam tadi lain ialah Prof Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan penulis blog, Hishammudin Rais.

Adik Mat Indera, Baharom Shah Indera juga hadir sebagai tetamu khas pada forum itu.

Mengikut fakta sejarah, PKMM menuntut kemerdekaan penuh bagi Tanah Melayu dan menentang sebarang bentuk penjajahan Inggeris dan Burhanuddin membawa PKMM ke arah mewujudkan Melayu Raya iaitu satu gagasan “kesatuan politik” Malaya-Indonesia yang merupakan salah satu perjuangan utamanya.

Kepimpinan PAS berpindah tangan kepada Burhanuddin pada 1956.

Beliau digambarkan sebagai seorang “nasionalis radikal dan pemikir Islam” dan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1965.

Beliau juga pernah ditahan oleh British kerana terlibat dengan Rusuhan Natrah di Singapura dan memenangi kerusi Parlimen Besut pada pilihan raya umum 1959.

Dalam ucapannya, Mohamad yang mesra dikenali sebagai Mat Sabu menimbulkan persoalan sama ada ketua Parti Komunis Malaya Chin Peng, yang mengetuai serangan yang membawa kepada kematian Sir Henry Gurney wajar dianggap sebagai pengkhianat negara.

Gurney, pesuruhjaya tinggi British ditembak mati pada 6 Oktober 1951 di Bukit Frazer dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat.

“Chin Peng (yang mengetuai PKM) yang membunuh Henry Gurney . . . jadi antara Chin Peng dan Henry Gurney, siapa pejuang dan pengkhianat? Saya tak mahu cakap, anda fikir sendirilah... kalau saya cakap kan, nanti mereka kata (saya penyokong komunis) . . . ,” kata beliau yang kini berhadapan dengan siasatan polis berhubung kenyataannya tentang tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu.

Semalam, polis Pulau Pinang berkata pihaknya telah menyiapkan kertas siasatan terhadap Mohamad yang didakwa berkata pengganas komunis yang menyerang dan membunuh anggota polis dalam tragedi Bukit Kepong sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Polis turut merekodkan 68 kenyataan daripada pemberita, saksi bebas serta mereka yang membuat laporan polis terhadap beliau bagi melengkapkan siasatan.

Mohamad turut disiasat menurut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang menggemparkan masyarakat. Sehingga kelmarin sebanyak 266 laporan polis terhadap Mohamad telah diterima di seluruh negara.

Mohamad yang lebih dikenali “Mat Sabu” mencetuskan kontroversi apabila memberitahu dalam satu ceramah bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan itu di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis dalam 1950.

Ahli politik itu telah dituduh membela komunis oleh pemimpin Umno dan ia disiarkan dalam Utusan Malaysia walaupun Mohamad menafikan ada menggunakan perkataan komunis dalam ceramahnya.

Mohamad, dalam ceramahnya mengatakan Muhammad Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah pada 21 Ogos lalu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan, sebagaimana disebutkan dalam Berita Harian pada 13 Ogos 2010.

Malah kata beliau ucapannya mengenai Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad Indera itu juga disokong oleh buku dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor dengan judul “Pengukir Nama Johor”.

No comments:

Related Posts with Thumbnails