SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Friday, October 28, 2011

HUDUD BOLEH DILAKSANAKAN



Hudud boleh dilaksanakan di negara ini dengan melakukan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohd Isa Abd Ralip berkata, pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) Pindaan 1988 perlu dilakukan supaya masyarakat boleh merasai apa yang dikatakan hukuman hudud.

Katanya, tujuan pindaan itu adalah untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah dan jabatan agama Islam di negara ini supaya lebih dipandang berkredibiliti bagi melaksanakan hukum hudud.

Menurutnya, sebelum ini Mahkamah Syariah tertekan dengan Akta Mahkamah Syariah 1988 yang mengehadkan hukuman syariah kepada ‘formula 356’, iaitu penjara maksimum tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan, dilihat tidak menggerunkan masyarakat.

“Sama ada akta boleh pinda atau tidak, itu soal lain. Tepuk dada tanya selera, sama ada hendak buat atau tidak mahu. Tidak ada masalah kalau hendak laksanakan hudud. Sebelum ini kita dengar, apa yang dibuat oleh Kelantan bertentangan dengan Perlembagaan sebab setiap Kerajaan Negeri tidak boleh membuat sesuatu undang-undang yang bertentangan Perlembagaan (akta).

“Dikatakan bahawa undang-undang (enakmen) yang dibuat itu, apabila berlawanan dengan akta, maka ia terbatal.

“Bila kita lihat dari segi perkembangan hudud, kita tengok balik Perlembagaan, saya setuju dengan Aziz (Pakar Perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari) yang mengatakan bahawa dalam pelaksanaan hudud ini, dengan apa yang ada (enakmen) di Kelantan dan Terenganu, tidak berlawanan dengan Perlembagaan.

“Apa yang perlu diubah ialah akta bidang kuasa yang mengehadkan bidang kuasa mahkamah syariah itu. Jadi, kalau kita hendak buat (pindaan) maka itu kekangannya,” tegasnya.

Mohd Isa berkata, bagaimanapun, semua kekangan dari sudut perundangan mahupun enakmen perlu dikaji dan diteliti, bukan hanya akta yang perlu dipinda.

“Bukan senang hendak laksanakan hudud dari segi undang-undang kerana ada kaitan enakmen-enakmen lain.

“Prosedur jenayah dan cara pelaksanaan siasatan itu bagaimana; bagaimana kita hendak sebat, hendak potong tangan atau contohnya, bagaimana kita hendak laksanakan hukuman buang daerah. Semua prosedur kena mantap,” katanya.

Beliau berkata, memang diakui mahkamah syariah dan jabatan agama dilihat lesu hingga timbul pandangan tidak yakin dengan kredibilitinya untuk menjalankan hudud.

“Kita kena berpegang kepada Islam dan yakin Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan. Jadi berilah peluang (kepada mahkamah syariah).

“Kita nampak ada kelemahan tertentu tetapi dengan adanya kebaikan hudud ini untuk dilaksanakan, maka kita nampak bahawa mahkamah syariah akan dinaikkan taraf dari segi bidang kuasa di mana sebelum ini kita hanya tertekan dengan ‘356’.

“Dengan adanya akta pindaan bidang kuasa, maka bidang kuasa mahkamah syariah akan menjadi luas,” katanya.

Menurutnya, hukuman kesalahan jenayah syariah seperti zina yang hanya mengenakan denda RM3,000 atau hukuman denda ke atas kes khalwat juga dilihat ringan kerana setiap pesalah jenayah syariah mampu mengikut perintah hukuman itu.

“Dengan adanya pindaan, akan beri ruang kepada akta tersebut bukan sahaja kepada Kelantan tetapi negeri-negeri lain yang belum hendak laksanakan hudud, boleh meminda enakmen atau kes jenayah syariah bagi meningkatkan hukuman tadi.

“Kita nampak ada kelemahan tetapi pindaan terhadap Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah dan Jenayah Syariah atau apa jua perkara yang perlu dibuat, maka ia akan memperkasakan mahkamah syariah,” katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails