SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Thursday, May 12, 2011

BAGI TEGURAN JE...MEMANG DASAR PENAKUT

Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Aziz Ishak dipanggil menghadap Kementerian Dalam Negeri petang tadi dan diberi teguran berhubung laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu bertajuk “Kristian agama rasmi?”.

The Malaysian Insider difahamkan Aziz bersama seorang editor kanan dipanggil bertemu dengan kementerian itu sekitar 4 petang tadi.

“Datuk Aziz dipanggil datang ke KDN kira-kira 3.45 petang tadi. Saya dimaklumkan seorang editor juga ikut sama. Utusan diberikan teguran, berhubung laporan isu penganut Kristian,” kata sumber kepada The Malaysian Insider petang ini.

Sabtu lalu, ekoran pendedahan dua blog, Utusan Malaysia yang telah memetik laporan tersebut dan disiarkan dengan tajuk “Kristian Agama Rasmi?”, mendapat bantahan dan dikritik banyak pihak termasuk daripada pemimpin Pakatan Rakyat, Barisan Nasional (BN) dan kumpulan Kristian.

Selain itu, nama Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dari DAP juga diheret dalam tulisan blog berkenaan kerana beliau dilaporkan hadir bersama.

Laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu turut disiarkan dalam beberapa blog pro-Umno.

Petang tadi, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa Perdana Mwnteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Utusan Malaysia menarik balik dan memohon maaf secara terbuka ekoran laporan berunsur fitnah yang mengaitkan parti itu dengan konspirasi menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dan melantik perdana menteri daripada kalangan penganut agama itu.

Selain itu, Lim berkata pihaknya juga mahu Utusan Malaysia menggantikan editor dan wartawan akbar itu yang terlibat dengan penyiaran laporan bersifat fitnah dan boleh merosakkan gagasan 1 Malaysia yang diperjuangkan Najib.

Kata beliau, hanya dengan cara itu Najib boleh membuktikan bahawa Utusan Malaysia tidak mendapat imuniti apabila mengeluarkan laporan salah dan fitnah.

Dalam pada itu, kenyataan media Kementerian Dalam Negeri berkata pihaknya telah memanggil Ketua Pengarang Kumpulan Utusan bagi menyerahkan surat teguran kerana menyiarkan berita bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, yang didapati menggemparkan fikiran orang ramai.

“Adalah menjadi amalan KDN untuk memanggil dan mendapatkan penjelasan pihak akhbar atas tindakan menyiarkan perkara yang didapati bertentangan dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP 1984), serta menyerahkan surat teguran ke atas kesalahan tersebut,” katanya.

Kenyataan itu menambah, kementerian itu akan terus memantau setiap akhbar yang dikeluarkan supaya tidak menyebarkan berita-berita yang boleh menggemparkan fikiran orang ramai atau kandungan-kandungan yang bertentangan dengan AMCP 1984.


No comments:

Related Posts with Thumbnails