SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Thursday, April 15, 2010

UMNO AKAN 'JAJA' NAMA ZAID


KOTA BARU, 15 April — Umno-Barisan Nasional (BN) tidak mustahil akan jadikan soal Datuk Zaid Ibrahim, calon Pakatan Rakyat (PR), “bukan anak tempatan” sebagai bahan kempen mereka dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim tidak menolak kemungkinan itu setelah mendapati komen pemimpin Umno yang membangkitkan isu atau persoalan “Zaid tidak anak tempatan” sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai calon membawa cabaran PR-PKR.

“Ya... tidak mustahil. Ada kemungkinan itu satu kaedah yang akan ditekankan dalam kempen mereka nanti untuk meraih sokongan pengundi.

“Sebab itu, kalau kita tengok pada pilihan raya kecil Manek Urai dulu (Ogos lalu), dia (BN) pernah cetuskan isu... di mana mereka membandingkan taraf pendidikan calon semasa berkempen.

“Bayangkanlah itu pun dia orang jadikan bahan kempen, banding taraf pendidikan, kononnya calon Pakatan Rakyat dari PAS, Abe Uji adalah rendah berbanding dengan calon mereka berpendidikan tinggi,” katanya.

Zaki berkata, PR tidak pelik dengan apa jua pendekatan yang akan digunakan dalam kempen BN ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor.

“Kita sudah masak dengan perangai mereka.

“Dan, saya yakin Pakatan sudah cukup dengan strategi dan persediaan tersendiri untuk menangkis peluru lawan dalam kempen itu nanti,” kata beliau semasa dihubungi.

Zaki mengulas reaksi bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo yang beranggapan bahawa pencalonan Zaid akan memberi kelebihan kepada BN.

Zaki yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berpendapat ‘tidak anak tempatan’ bukan isu dalam setiap pilihan raya, sebaliknya kemampuan dan keberanian seseorang itu dalam memperjuangkan nasib rakyat perlu dititikberatkan.

“Rasulullah sendiri dulu pernah menjadi pemimpin di mana-mana, contohnya, dia lahir di Mekah, tapi pernah bentuk kerajaan di Madinah, jadi apa peliknya dengan perkara itu?” soalnya.

Zaid menyertai PKR selepas beberapa bulan melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri ekoran tidak dapat menerima penggunaan ISA.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR bulan lalu.

Allahyarham yang juga bekas timbalan menteri besar Selangor menewaskan Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Penamaan calon PRK Hulu Selangor akan diadakan 17 April ini manakala hari pengundian pada 25 April.

BN akan mengumumkan calonnya hari ini.



No comments:

Related Posts with Thumbnails