SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Thursday, May 27, 2010

DOAKAN KEJAYAAN KONVOI KEMANUSIAAN KE GAZA

KUALA LUMPUR, 27 Mei: “Sama-sama kita doakan kejayaan konvoi ini membantu saudara-saudara kita di Palestin.”

Demikian antara catatan di laman web Lifeline4Gaza semalam mengenai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza.

“Insya Allah kami tetap bertekad untuk memastikan barangan ini sampai ke Gaza, walaupun Israel tetap bertegas untuk menghalang. Apakah kami yang membawa bekalan pensil dan pemainan kanak-kanak ini layak digelar pengganas? Ataukah mereka yang menghalang bantuan ini sebenarnya pengganas dan lanun?

“Justeru, sama-sama kita doakan kejayaan konvoi ini membantu saudara-saudara kita di Palestin.”

Lifeline4Gaza melaporkan, dua buah kapal kargo Turki yang menyertai sembilan buah kapal konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza akan membawa antara lain, kelengkapan hospital, ubat-ubatan, peralatan sekolah dan juga bahan-bahan binaan.

Laman web melaporkan media-media di Israel terus membuat pelbagai tuduhan bagi menggagalkan misi konvoi ini.

Namun senarai rasmi barangan yang telah dikeluarkan oleh penganjur utama konvoi petang Selasa, 25 Mei, iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) jelas menunjukkan bahawa kapal-kapal yang menyertai konvoi ini sebenarnya akan membawa keperluan-keperluan asas dan mendesak bagi membantu rakyat Gaza yang saban hari berhadapan dengan maut akibat kekejaman berterusan Zionis Israel.

Keadaan kemanusiaan di Gaza adalah sangat menyedihkan akibat sekatan yang dikenakan oleh Israel sejak lebih lima tahun lalu. Kehidupan di Gaza menjadi semakin mengerikan akibat serangan Operation Cast Lead Israel, di mana hampir semua prasarana dan keperluan asas dimusnahkan. Mereka yang tercedera atau sakit secara umumnya hanya mampu menunggu saat kematian kerana tidak ada kemudahan rawatan dan dihalang daripada mendapat rawatan di pusat-pusat rawatan di luar Gaza.

Di samping sekatan terhadap pergerakan rakyat Gaza ke luar daerah, sebarang bantuan daripada negara luar juga dihalang. Justeru, rakyat Gaza terus cekal dan bersabar hidup di bawah runtuhan-runtuhan tanpa sebarang perhatian daripada dunia luar mahupun negara jiran. Konvoi bantuan kemanusiaan ini diharapkan akan dapat membina semula kehidupan di Gaza.

Ketika menyampaikan taklimat kepada media-media antarabangsa yang akan turut menyertai konvoi tersebut di Stadium Kepez Arena, Antalya, pegawai kanan IHH, Nalan Dal bersama ketua bagi kelengkapan teknikal media IHH, Umit Sonmiz telah menyenaraikan barangan yang akan dibawa oleh kedua-dua buah kapal tersebut, yang masing-masing diberi nama Kapal “Defne Y” dan Kapal “Gaza”.

Kapal “Gaza” akan membawa 2,104 tan simen, 600 tan besi binaan dan 50 tan jubin seramik. Manakala Kapal “Defne Y” akan membawa lebih banyak muatan. Antaranya, kapal ini akan membawa 150 tan besi untuk binaan rakit dan kemudahan dermaga, rumah-rumah mudah-bina (precast homes), 18 penjana kuasa elektrik berkuasa lebih 35KW dan 80 penjana kuasa elektrik di bawah 5KW. Turut disenaraikan adalah kelengkapan untuk taman permainan kanak-kanak seperti gelungsur dan jongkang-jongkit.

Dalam kategori peralatan hospital dan ubat-ubatan, turut disenaraikan alat seperti Ultrasound dan X-ray, katil pesakit, kerusi roda, dan kemudahan rawatan pergigian. Pelbagai jenis ubat-ubatan turut disenaraikan.

Kelengkapan sekolah seperti pensil, pemadam, plastisin, buku tulis juga akan dibawa, di samping keperluan pakaian seperti tuala dan kasut dan juga peralatan memasak dan beberapa jenis makanan.

Wednesday, May 26, 2010

GMJ seru seluruh rakyat sertai bantahan judi

KUALA LUMPUR, 26 Mei: Sekretariat Gerakan Membantah Judi (GMJ) mendesak Kerajaan Malaysia segera menarik balik pemberian lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan bermula Jun ini.

GMJ yang berpusat di Kedah disertai oleh sayap pemuda ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP), Pemuda Gerakan serta 20 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Mereka membuat gesaan tersebut dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat wakil mereka malam tadi.

GMJ menegaskan, mereka akan menggunakan apa sahaja cara dan ruang yang ada untuk membantah keputusan yang disifatkan sebagai 'tidak masuk akal' itu.

"Kami juga menyeru seluruh rakyat negeri Kedah, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik untuk bangkit membantah keputusan ini," kata kenyataan itu.

GMJ kesal dan kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein bahawa lesen judi itu diluluskan bagi mengawal aktiviti perjudian haram dan dengan pengawalan kerajaan, aktiviti itu akan dapat dilakukan dengan lebih teratur.

Sebaliknya mereka menegaskan bahawa kewujudan judi sukan ini akan menambahkan lagi kemusnahan institusi keluarga dan masyarakat serta meruntuhkan tamadun manusia walaupun mendatangkan perolehan lumayan kepada negara dalam bentuk kewangan.

Dalam kenyataan itu GMJ juga memberitahu mereka bukan mahu menghalang kemajuan sukan negara bahkan akan terus menyokongnya namun industri sukan negara akan hancur apabila ia terlibat dengan pertaruhan.

Selain itu, mereka berpandangan kerajaan wajib mendapatkan pandangan awam yang menentang kelulusan lesen baru di samping kewujudan lesen-lesen yang ada yang sudah terlalu banyak serta mahu kerajaan bertindak untuk mendapatkan sumber yang baik untuk membangunkan negara ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Nasir Zakaria ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengulangi seruan kepada seluruh rakyat untuk menyertai Himpunan Membantah Judi yang akan diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani, selepas solat Jumaat, 28 Mei ini.

Beliau juga memberitahu, Pemuda Gerakan yang menyokong penuh bantahan itu sedang menunggu kelulusan daripada Gerakan Pusat untuk sama-sama menyertai himpunan itu.

"Pemuda Gerakan memang menyatakan kenyataan bersama tapi untuk himpunan mereka tidak boleh sertai sehingga mendapat kelulusan daripada Gerakan Pusat.

"Mereka bersama membantah tapi polisi parti itu kalau dapat permit baru boleh turut serta," katanya yang juga ahli parlimen Padang Terap.

Tuesday, May 25, 2010

Pemuda Gerakan sertai himpunan bantah judi

ALOR SETAR, 25 Mei: Pemuda Gerakan Kedah dan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyatakan kesediaan untuk menyertai Himpunan Membantah Judi yang akan diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani, selepas solat Jumaat, 28 Mei ini.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria (gambar) mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk bersama-sama dalam himpunan besar-besaran itu.

Katanya, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda DAP (DAPSY) negeri juga telah menyatakan kesediaan untuk menyertai himpunan tersebut.

Menurutnya, himpunan itu adalah bertujuan menyatakan bantahan rakyat terhadap kelulusan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang dianugerahkan oleh Kerajaan Umno BN kepada Kumpulan Berjaya.

"Himpunan ini adalah rentetan daripada beberapa himpunan yang diadakan di negeri-negeri lain Jumaat lalu dan kemuncaknya rakyat akan berhimpun di Kuala Lumpur untuk menyerahkan tuntutan rakyat terhadap aktiviti perjudian kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Julai nanti," jelasnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap.

Menurut Nasir lagi, penganjur juga turut menjemput semua pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik termasuk Umno dan MCA untuk bersama-sama menyertai himpunan itu.

"Perhimpunan ini terbuka kepada semua pihak dan ianya bukan untuk rakyat beragama Islam sahaja, semua agama tidak membenarkan judi kerana judi mengundang banyak keburukan.

"Kita menjemput kesemua NGO-NGO dan parti-parti politik yang ada di negeri ini tapi sehingga kini Umno dan MCA tak memberikan jawapan balas," katanya.

Monday, May 24, 2010

Tarik balik inokulasi HPV kepada pelajar perempuan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkongsi keprihatinan Parent Action Group for Education (PAGE) berhubung usaha kerajaan untuk melaksanakan inokulasi 17,000 pelajar perempuan tingkatan 1 di Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi menentang Human Papilloma Virus (HPV).

CAP sejak awal lagi membantah cadangan kerajaan untuk memperkenalkan program vaksinasi untuk kanak-kanak apabila HPV penyebab kanser servik disebarkan hanya melalui hubungan seksual. Pada September 2009, apabila kerajaan mengumumkan niatnya untuk mevaksinasikan kira-kira 300,000 pelajar perempuan yang berusia 13 tahun, kami menyuarakan keprihatinan dan bantahan terhadap cadangan yang tidak munasabah untuk mevaksinkan mereka terhadap Penyakit Jangkitan Seksual (STD) yang biasanya dialami oleh orang dewasa yang melakukan persetubuhan secara rambang.

Kami sekali lagi mengulangi melaksanakan inokulasi terhadap pelajar perempuan dengan vaksin adalah penyelesaian gejala dan terlalu mudah kepada masalah kanser servik dalam kalangan kanak-kanak yang mungkin mendapat kanser servik akibat aktiviti seksual lebih awal dan persetubuhan secara rambang apabila sebenarnya punca utama dan faktor penyumbang bagi penghidap HPV ialah hubungan seksual dengan ramai pasangan; seharusnya diatasi melalui pendidikan dan agama serta nilai-nilai moral. Kenapa nilai dan penyelesaian ini tidak digunakan oleh pihak Kementerian kepada generasi muda kita sebagai langkah pencegahan sebagai ganti melaksanakan vaksinasi yang menjadi kontroversi itu?

CAP bersetuju dengan PAGE bahawa tidak perlu sama sekali bagi kanak-kanak diberikan vaksin HPV. Kami juga menggesa Kerajaan menggunakan peruntukan RM150 juta untuk menerbitkan bahan bacaan dan mendidik orang ramai berhubung bahaya HPV disebabkan oleh hubungan seksual untuk memastikan bahawa anak-anak kita selamat daripada virus dan juga meningkatkan kempen awam bagi PAP Smears dan ujian HPV untuk mengesan tanda-tanda awal kanser servik atau HPV. Ujian HPV untuk mengesan HPV, virus yang boleh menyebabkan perubahan sel ini, satu keadaan yang boleh dirawat manakala ujian PAP Smears untuk melihat perubahan sel awal pada servik yang boleh berkembang menjadi kanser servik.

Kami juga amat prihatin berhubung keselamatan vaksin ini. Seperti yang dipetik oleh PAGE, Bernama baru-baru ini melaporkan bahawa ujian klinikal vaksin ini telah dihentikan oleh pihak berkuasa berikutan kematian enam kanak-kanak. Sehubungan itu, kami juga mengemukakan fakta bahawa New York Post mendedahkan pada 2008 Gardasil (vaksin HPV yang dikeluarkan oleh Merck) di bawah siasatan terhadap kemungkinan dikaitkan dengan lumpuh, serangan jantung dan 18 kematian.

Pentadbiran Ubatan dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) mengetahui mengenai hubungan antara vaksin dan Autisme pada 2000. Gardasil juga bertanggungjawab terhadap kadar yang tinggi bagi pitam (syncope) dan pembekuan darah (venous thromboebolic events) dalam kalangan penerima. Di Amerika Syarikat, pembekuan darah dinyatakan dalam 56 laporan dan termasuk 19 kes saluran arteri utama paru-paru tersumbat (pulmonary embolism), empat daripadanya membawa kematian.

Pada keseluruhannya, 772 keadaan dijelaskan sebagai serius dan termasuk 32 kematian akibat daripada keadaan itu. Sejumlah kecil kes Guillain-Barre Syndrome (GBS) dilaporkan berikutan vaksinasi dengan Gardasil. Masalah lain yang dikaitkan dengan Gardasil adalah sakit kepala, tindak balas hipersensitiviti, dan ruam (urticaria). Pada Februari 2008, Kementerian Kesihatan Sepanyol menggantung penggunaan satu kelompok Gardasil selepas pihak berkuasa kesihatan di wilayah Valencia melaporkan dua perempuan jatuh sakit selepas menerima suntikan.

Cervarix, vaksin HPV oleh GlaxoSmithKline dikaitkan dengan kematian. Pada 28 September 2009, seorang gadis berusia 14 tahun di Coventry, England mati sebaik sahaja menerima vaksin Cervarix di sekolahnya sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan. Amat mengejutkan, malah sebelum vaksin ini diluluskan oleh FDA, pihak berkuasa terkenal di peringkat antarabangsa berhubung penilaian keselamatan ubatan, Cervarix diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia (PBKD) pada 2007.

Begitupun vaksin ini tertakluk kepada ujian klinikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menentukan keselamatan atau keberkesanannya sebelum digunakan terhadap anak-anak kita. Kerajaan kita tidak terhalang oleh ketidakpatuhan terhadap prosedur keselamatan dan keadaan yang tragik ini dan terus untuk mempromosikan vaksin yang tidak perlu dan amat berbahaya untuk anak-anak kita yang tidak menyangkanya.

Dengan anggaran 300,000 pelajar perempuan di negara ini dijadikan sasaran untuk vaksinasi oleh kerajaan, kini tiba masanya ibu bapa menyedari risiko yang dikaitkan dengan vaksin ini oleh kerajaan. Sepertimana yang dinyatakan oleh PAGE, pelaksanaan vaksin ini berisiko tinggi kepada anak-anak kita dan tiada manfaat ekonomi kepada negara kita, melainkan kepada pembekal farmaseutikal.

Bahaya kesihatan daripada vaksin telah menghasilkan lebih banyak kemusnahan dan tidak boleh kembali seperti sediakala berbanding bilangan diagnosis kanser servik sebenar. Memandangkan kepada bahaya yang jelas pada masa kini yang dikaitkan dengan vaksin HPV, CAP menggesa ibu bapa pelajar perempuan yang bersekolah melaksanakan hak untuk membuat keputusan mereka sebagai ibu bapa dalam menolak vaksinasi untuk anak-anak mereka dan sebagai ganti menerapkan nilai agama dan moral serta mendidik mereka berhubung bahaya aktiviti seksual pada peringkat awal sebagai hanya satu-satunya cara untuk mengelakkan daripada dijangkiti dengan virus seperti HPV.

Kami juga menggesa Kementerian Kesihatan menarik balik dengan segera pelaksanaan seterusnya program yang begitu kejam ini dan kerajaan membatalkan sokongan terhadap skim yang tidak wajar dan berpotensi mengancam nyawa ini dengan segera.

Kami tidak bersedia untuk melihat anak-anak kita mati dengan sia-sia akibat ketamakan korporat dan sikap berat sebelah kerajaan.

SM Mohamed Idris,

Presiden

Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Judi bola: PAS minta Majlis Raja-Raja ambil tindakan

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyuarakan rasa yakin bahawa Majlis Mesyuarat Raja-Raja Malaysia mampu mempengaruhi kerajaan supaya membatalkan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.

"Kami (Ahli Parlimen PAS) berkeyakinan bahawa Majlis Raja-Raja Melayu mengambil tindakan yang wajar mempengaruhi kerajaan supaya isu pemberian lesen judi ini dibatalkan segera," jelas beliau tengah hari tadi, mewakili Ahli Parlimen PAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Majlis Raja-Raja Melayu pada era 1960-an dahulu pernah menunjukkan teladan kepada rakyat dengan mendesak kerajaan Umno BN membatalkan Loteri Kebajikan.

Tambahnya lagi, almarhum Tuanku Sultan Perlis merupakan Raja yang paling menonjol menegur pemimpin Umno pada ketika itu.

Sempena mesyuarat Majlis Raja-Raja Malaysia pada 26 Jun depan yang kebetulan dipengerusikan oleh Tuanku Raja Perlis sekarang, beliau berharap majlis berkenaan mampu mempengaruhi kerajaan supaya membatalkan lesen judi tersebut.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menempelak Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mencabar PAS menutup premis judi di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Beliau menyifatkan cabaran Mohd Khir dan Ibrahim itu sebagai mencipta alasan untuk menutup pekung Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan lesen judi itu.

Sebelum pada itu, suatu memorandum bantahan diserahkan kepada Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia sambil disaksikan oleh Penolong Setiausahanya, Datuk Sabtu Awwab.

Manakala Ahli Parlimen PAS yang menyertai Mahfuz pula adalah Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Yusoff (Rantau Panjang) dan Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa) dan Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Adun Batu Burok).

Monday, May 17, 2010

KENYATAAN SEKRETARIAT BLOGGERS PAS PERAK

Kenyataan Media (16Mei 2010)
JANGAN BERMAIN DENGAN API

Sekretariat Bloggers PAS Perak telah menerima aduan tentang gangguan politik terhadap kakitangan awam khususnya di negeri Perak. Pihak Sekretariat beranggapan bahawa gangguan dan campurtangan politik terhadap kakitangan awam adalah sesuatu yang melanggar etika profesionalisma. Bacul dan hina. Sehubungan dengan itu, pihak Sekretariat mengingatkan agar pihak-pihak yang terlibat khususnya majikan mestilah mengamalkan profesionalisma kerja dan telus.

Aduan yang diterima kini menyatakan bahawa ada kakitangan kerajaan Kementerian Pelajaran khususnya di Perak telah diganggu dengan ugutan dan tekanan. Laporan yang diterima juga menyatakan bahawa seorang guru Kementerian Pelajaran telah ditukar ke luar negeri dengan tempoh arahan pertukaran 24 jam.

Tiada tuduhan disiplin selain dikaitkan dengan tuduhan terlibat dengan politik pembangkang. Beberapa orang guru juga dilaporkan sedang diugut dan ditekan untuk mengaku keterlibatan aktif mereka dengan politik pembangkang.

Sayugia dimaklumi bahawan sebarang gangguan politik akan menjejaskan prestasi kerja kakitangan awam. Kami sangat yakin pendokong PAS dan Pakatan Rakyat yang menjawat jawatan sebagai kakitangan awam bersifat professional dan tidak mencampuradukkan antara politik dan tugas rasmi mereka.

Adalah diharapkan agar pihak Kementerian tidak terikut-ikut dengan rentak politik sempit beberapa individu yang terdesak untuk mempopularkan diri mereka. Beberapa individu yang disyaki terlibat di Perak yang menganggu kakitangan Kementerian Pelajaran telah dikenalpasti. Maklumat dan perincian agenda individu-individu itu juga telah lengkap diperolehi. Pihak Seketeriat amat kesal dengan campurtangan tersebut.

Adalah diingatkan kepada mana mana individu yang terdesak, agar tidak memangsakan kakitangan awam untuk mempopularkan politik mereka. Jika agenda ini berterusan digunapakai oleh individu itu dengan menggunakan kuasa politik menganggu kakitangan awam, demi keadilan dan pembelaan, Sekretariat akan mengarahkan seluruh gabungan Bloggers PAS dan Pakatan Rakyat Perak menggunakan kuasa media baru sepenuhnya untuk menghalang cita cita jahat tersebut. Jangan bermain api.

Sehingga kini pihak Sekretariat Bloggers PAS Perak telah dan berterusan mengumpul maklumat-maklumat kepincangan serta salahguna yang dilakukan oleh individu-individu yang terbabit. Ia juga termasuk masalah moral dan akhlak. Segala maklumat sedang diteliti dan terus diperkemaskan untuk tindakan jika gangguan jahat kepada kakitangan awam masih berterusan.

Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang pendedahan dari maklumat awam untuk kami teliti. (sila emailkan aduan terus kepada Albanjari Online di alamat email, albanjari_online@yahoo.com)

Adalah menjadi disiplin dan akhlak Bloggers PAS untuk tidak menyerang individu dalam mencapai matlamat politik. Namun sekiranya gangguan politik terus digunakan untuk menganggu kakitangan awam yang boleh menjejaskan prestasi kerja dan khidmat mereka terhadap rakyat, disiplin dan akhlak tersebut dikecualikan, biar wajah politik jahat yang terlindung selama ini terdedah dan diburaikan ke pengetahuan rakyat.

Sekali lagi Sekretariat Bloggers PAS Perak mengingatkan ahli politik UMNO agar jangan menggunakan kuasa politik untuk menganggu tugas kakitangan awam. Kuasa media adalah jauh lebih kuat dari kuasa politik. Kami akan menggunakan sepenuhnya kekuatan kuasa media bagi memperbetulkan kepincangan dan sebarang salah gunakuasa dan campurtangan di luar batasan.

Pihak kami akan terus memantau perkembangan ini dan akan bertindak jika sebarang gangguan dan campurtangan tidak dihentikan segera. Kami telah bersedia untuk melaksanakannya khususnya kepada seorang exco Perak yang cukup aktif melakukan kerja-kerja kotor lagi jahat ini. Kita memiliki banyak akses dari sumber dalaman UMNO sendiri yang benci dengan janji kosong serta sikap sombong beliau.

Albanjari
Presiden Sekretariat Bloggers PAS Perak.
2 Jamadilakhir/16 Mei 2010
_______
(*) Mohon semua bloggers PAS dan Pakatan Rakyat dibawah gabungan Sekretariat memasukkan Kenyataan Media ini di blog masing-masing. Terima kasih.

Saturday, May 15, 2010

JUDI DAN UMNO SUDAH SEBATI.......

http://buletinonline.net/images/stories/berita26/loteriumno.jpg



- Umno pernah jual ‘Loteri Kebajikan Umno’ pada tahun 1951

Tepoh, KUALA NERUS – Tindakan Kerajaan Umno/ Barisan Nasional meluluskan judi bolasepak piala dunia baru-baru ini, merupakan satu tindakan yang sudah sebati dengan parti itu.

Umno menganggap judi menjadi satu kebajikan, sebab itulah wujudnya ‘Loteri Kebajikan Masyarakat’ satu masa dahulu.
(Gambar - keratan surat rasmi penyerahan wang loteri dari Setiausaha Agung Umno kepada Bendahari Umno Tahun 1953, Sheikh Ahmad Sheikh Hashim, bapa kepada Dato' Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad - Untuk Lihat sepenuhnya Klik sini)

Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Ustaz Abu Bakar Abdullah berkata Umno pernah mengeluarkan ‘Loteri Umno’ pada tahun 1951.
|
”Umno mula jual loteri Umno, judi pada tahun 1951, untuk mendapat kewangan membiayai parti itu,”katanya ketika ditemui selepas berucap dalam satu ceramah penerangan yang diadakan di Kampung Padang Air, dekat sini, semalam.

Sebelum itu, dalam ucapannya beliau berkata, para ulamak telah keluar dari Umno kerana mereka mendapati Umno tidak mampu untuk mempertahankan aqidah umat Islam.

”Ia terjadi setelah peristiwa Natrah yang terkenal, kerajaan yang dipimpin Umno tidak mampu menyelamatkan aqidah Natrah yang telah memluk Islam,”jelasnya.

Selain itu, menurutnya, para alim ulamak meninggalkan Umno kerana parti itu mengamalkan kegiatan judi.

Maka, kata beliau, tidak hairanlah kalau Perdana menteri Dato’ Seri Najib Razak meluluskan lessen judi bolasepak baru-baru ini.

”Saya telah membuat kajian di Arkib Negara, rupa-rupanya kegiatan judi merupakan kegiatan yang (sudah) sebati dengan Umno, (ia) biasa saja bagi Umno,


”saya melihat fail-fail sulit Umno, (saya) berjumpa diantara kegiatan ekonomi dia (Umno) adalah ‘loteri umno’,”tegasnya.

Beliau berkata, apabila Umno menjadi kerajaan persekutuan, Umno telah mengujudkan loteri kebajikan masyarakat yang asalnya adalah loteri kebajikan Umno.





Related Posts with Thumbnails