SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Thursday, December 2, 2010

ISU TPM: NYAWA UMNO BN DIHUJUNG TANDUK.....

KUALA LUMPUR: Isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri yang dimainkan oleh media massa merupakan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Umno dan Barisan Nasional sudah sakit teruk dan tidak mempunyai harapan untuk pulih lagi.

Demikian penegasan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu berkenaan."Alhamdulillah, media massa milik Umno sendiri pun nampaknya mulai sedar saat-saat akhir hayat mereka di pentas politik Malaysia.

"Insya-allah, saya optimis akan tiba juga ketikanya Barisan Nasional akan digantikan oleh Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya," tegasnya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Berikut adalah kenyataan beliau berhubung perkara tersebut.

Isu pembahagian harta pusaka biasanya hanya didebatkan apabila seseorang sakit teruk atau sudah meninggal dunia. Sekalipun tidak salah, namun jarang sekali isu pembahagian harta pusaka timbul dalam keadaan seseorang dalam keadaan sihat sejahtera. Demikianlah juga apabila isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui negara dibangkitkan oleh media massa milik Umno.

Bagi saya, ia tidak lebih melainkan hanyalah merupakan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa Umno dan Barisan Nasional sudah sakit teruk dan tidak mempunyai harapan untuk pulih lagi.

Alhamdulillah, media massa milik Umno sendiri pun nampaknya mulai sedar saat-saat akhir hayat mereka di pentas politik Malaysia. Insya-allah, saya optimis akan tiba juga ketikanya Barisan Nasional akan digantikan oleh Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya.

Berhubung isu perlantikan YB Lim Kit Siang selaku Timbalan Perdana Menteri yang kononnya dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini. Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik Umno?

‘Islam plastik’ yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai ‘Islam Palestin”. Salah dengar dan salah lapor ialah satu budaya biasa dalam amalan media milik Umno.

Hari ini, isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik Umno dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin Umno segenap lapisan untuk memberikan ulasan. Seolah-olah Umnolah satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul Umno dan seolah-olah rebah Umno bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebarluaskan ke dalam minda masyarakat pada hari ini.

Ingin saya nyatakan, pendirian saya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam.

Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai.

Lupakah kita bahawa Umno pernah menyerahkan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun Umno yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi Umno?

Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini? Peliknya apabila Tun Dr Mahathir sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?

Apa yang penting ialah dasar, jika dasar Islam. Sesiapapun boleh menjadi pemimpin. Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh. YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang muslim yang soleh.

Seorang muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!.H/Daily

SLOGAN BARU UMNO.........

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, sebenarnya slogan Umno ‘Hidup Melayu’ perlu ditukar kepada slogan sebaliknya iaitu ‘Di mana Umno Kuat, Di situ Melayu Merempat’.

Ini, katanya kerana banyak kawasan tanah milik orang Melayu disebabkan Umno.

Katanya, pengkhianatan Umno kepada orang Melayu telah berjaya menghilangkan tanah rezab Melayu dari 3 juta hektar pada tahun 1957 kepada 1.7 juta hektar (1995).

Ini, katanya bermakna 44% tanah rezab Melayu yang ditinggal oleh penjajah dengan susut kadar 1.2% setahun.

“Nampaknya penjajah lebih berhati perut daripada pemimpin Umno dalam menjaga orang Melayu.

“Kalau tidak disekat, maka tahun 2020 tanah rezab Melayu hanya tinggal 30% sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, pada 13 Jun 2008 akhbar Utusan Malaysia) melaporkan penduduk sekitar daerah Kota Tinggi, kecewa dengan tindakan pejabat tanah menolak permohonan mereka mendapatkan tanah seluas 182.11 hektar di Batu 15 Jalan Kulai, Mukim Ulu Sungai Johor.

Tanah yang sudah dipohon sejak 20 tahun dahulu telah diberi kepada syarikat bukan bumiputera.

“Ini siapa punya angkara? Pakatan Rakyat atau Umno?” soalnya.

Di samping itu, menurutnya, Umno sebagai tonggak BN akan membuat apa sahaja untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya.

“Semua diktator di dunia, perkara yang paling mereka gerun ialah seksa di dunia, iaitu hilang kuasa.

“Pemimpin Umno semakin gelisah untuk menghadapi hari-hari tua yang berada di hujung senja,” ujarnya.

Katanya, puas mereka memutar isu untuk meyakinkan rakyat walaupun terkena di batang hidung mereka melalui pendekatan matlamat menghalalkan cara.

Tambahnya, isu yang rancak dimainkan di dalam media ialah isu Melayu semakin terhakis kerana Pakatan Rakyat semakin kuat, dan Umno pula tidak larat.

Mereka, katanya menggunakan media televisyen terutamanya untuk menggambarkan bahawa yang boleh menjaga kepentingan Melayu dan Islam ialah Umno.

“Pemimpin Umno silap, dunia sudah berubah dan rakyat sudah celik sejarah terutama mereka yang terpelajar.

“Mereka yang buta maklumat semakin pupus di atas dunia ini, insya Allah generasi yang celik maklumat akan membuat perhitungan dengan pemimpin Umno,” katanya.

Tegasnya, generasi itu tidak akan membiarkan setengah abad kedua negara ini diperintah oleh perakus harta negara yang merompak secara terhormat.

Wednesday, December 1, 2010

PUTRAJAYA?????BERSEDIAKAH KITA?????


Bersediakah kita untuk melangkah ke Putrajaya?

Itulah persoalan yang dilontarkan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada semua ahli parti komponen Pakatan Rakyat (PR), khususnya ahli-ahli PAS.

Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim juga menyeru semua ahli parti komponen Pakatan Rakyat untuk memfokuskan tugas untuk memperkasakan seluruh jentera parti terlebih dahulu sebelum membincangkan jalan ke Putrajaya.

Ini kerana berdasarkan pengamatan beliau, persiapan semua parti belum di tahap optimum, bahkan di sesetengah kawasan ianya masih tidak menampakkan persiapan ke arah menghadapi pilihan raya umum.

“Masalah daftar pemilih, kedudukan kewangan, persiapan jentera dan petugas masih berada pada tahap rehat,” kata Tuan Ibrahim, yang melahirkan rasa bimbang kepada persiapan Pakatan Rakyat ditambah dengan waktu yang semakin singkat.

“Jentera parti adalah mekanisme yang penting dalam menghadapi segala penyelewengan Barisan Nasional (BN) dari setiap sudut.

"Kepincangan dan kelemahan jentera akan membuka ruang kepada BN menembusi kubu-kubu yang dibina bagi menggagalkan cita-cita kita ke Putrajaya,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menekankan bahawa betapa pentingnya untuk semua parti untuk memperkemaskan jentera parti untuk digerakkan pada bila-bila masa kerana berdasarkan beberapa petunjuk terkini, kemungkinan besar pilihanraya umum akan diisytiharkan lebih awal daripada dijangkakan.

Tuan Ibrahim juga berkata media massa kini cuba melaga-laga PR dengan membawa isu yang tidak perlu dibincangkan seperti siapa yang akan menerajui kepimpinan negara, barisan kabinet PR dan juga soal kekuasaan parti yang akan menerajui negara.

“Semua persoalan ini hanyalah perangkap bagi menimbulkan suasana tidak senang antara parti-parti komponan PR.

"Sedangkan realiti sejauh mana kita boleh memenangi PRU akan menentukan apa yang akan berlaku seterusnya.

"Ibarat rakan kongsi untuk menternak kambing, sibuk bertengkar bagaimana untuk membahagikan keuntungan; sedangkan kambing seekorpun belum ada,” ujar beliau.

Beliau juga menyeru supaya semua masalah dalam parti ketiga-tiga komponen parti PR mesti diselesaikan awal sekiranya mereka serius dalam menyatakan bahawa PRU 13 penting bagi membuat perubahan awal ke Putrajaya.

Beliau turut menambah bahawa kekuatan parti di semua peringkat mesti menjadi agenda utama dan menyeru seluruh ahli parti untuk bertindak secara pro aktif dalam merancang kerja bagi memenangi PRU dan bukannya sahaja menunggu arahan kerja.

“Setiap ahli parti mesti memikirkan apakah yang saya boleh sumbangkan bagi menjana kemenangan ini.

"Benar di sana ada ahli yang perlu diberi arahan kerja, namun kalau di peringkat kepimpinan masih sibuk membincangkan titik bengit dalaman sehingga menjejaskan gerak kerja parti; maka sebenarnya kita telah masuk perangkap musuh tanpa disedari,” Tuan Ibrahim memberikan amaran.

Dalam isu keyakinan pengundi, beliau mengingatkan para pekerja dan pimpinan parti bahawa pengundi hanya akan memberikan undi kepada sesuatu parti seandainya mereka yakin dengan kekuatan dan keutuhan parti yang menerajui negara.

“Lantaran itu, bukan sahaja segala fitnah jahat BN perlu disanggah, bahkan keyakinan rakyat perlu dibina,” ujarnya sambil menambah bahawa pencapaian yang dikecapi oleh semua negeri PR selama tiga tahun ini akan menjadi aset penting untuk membina keyakinan pengundi.

“Cuma isu utama sejauh manakah pencapaian itu diketahui dan dirasai oleh rakyat?

"Berhadapan dengan rakyat yang tidak bermaklumat yang ditemui dalam tinjauan menuntut satu mekanisme diwujudkan agar sasaran pengundi utama di kawasan luar bandar dan kawasan Felda khususnya dapat ditembusi,” katanya.

Seruan yang sama turut bergema di dalam sidang Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat baru-baru ini, di mana keempat-empat negeri Pakatan Rakyat dengan sebulat suara bersetuju untuk menubuh satu badan yang dilengkapi infrastruktur media yang boleh berkongsi berita antara Negeri Pakatan Rakyat untuk menangkis serangan media BN yang semakin mengecam kebelakangan ini.

Wednesday, November 24, 2010

UMNO PERAK MENGHASUT...??????

IPOH, 23 Nov: PAS Perak melihat Umno BN kini sedang berada dalam ketakutan sehingga menghimpunkan para penghulu supaya membenci Pakatan Rakyat.

Buktinya, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abu Bakar Hussain, Umno BN cuba meracuni pemikiran rakyat dengan doktrin hanya Umno BN sahaja yang mampu dan boleh memerintah Perak dan negara sebaliknya negara akan hancur sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara.

Bagi PAS Perak, tegasnya Umno BN sememangnya sudah terdesak dengan situasi politik Perak dan seluruh negara, mereka tidak yakin mampu mempertahankan kerajaan Perak yang dirampas mereka.

“Buktinya ialah para penghulu dihimpunkan oleh Umno BN untuk ditanam bibit-bibit kebencian kepada Pakatan Rakyat,” ujarnya pada sidang media, hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Menurut sumber yang diperolehi oleh PAS Perak, baru-baru ini seluruh penghulu-penghulu negeri Perak telah dikumpulkan di Cameron Highlands dalam satu program anjuran Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Program tersebut diisi oleh Majlis Keselamatan Negara.

Program yang asalnya berupa taklimat isu-isu keselamatan negara menjadi medan politik kepada para penceramah untuk memastikan Umno BN terus kekal memerintah negeri Perak.

Menurut sumber para penceramah telah menyentuh isu-isu yang boleh dianggap menghasut para penghulu dengan membangkitkan perasaan perkauman.

Kerajaan Pakatan Rakyat yang telah memerintah Perak hampir setahun telah diburukkan imejnya oleh mereka di hadapan penghulu-penghulu, antara dakwaan yang berbentuk perkauman dan fitnah mereka ialah mereka menimbulkan kebencian peserta kepada Pakatan Rakyat Perak dengan mendakwa kononnya DAP lah yang menguasai Perak, PAS dan Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin selaku Menteri Besar Perak hanya boneka semata-mata.

Selain itu PAS Perak juga mendapat maklumat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadi sasaran mereka. Para penceramah tidak segan silu memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PAS Perak melihat Umno BN Perak kini sedang berada dalam ketakutan. Buktinya Umno BN cuba meracuni pemikiran rakyat dengan doktrin hanya Umno BN sahaja yang mampu dan boleh memerintah Perak dan negara sebaliknya negara akan hancur sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara.

Bagi PAS Perak, Umno BN sememangnya sudah terdesak dengan situasi politik Perak dan seluruh negara, mereka tidak yakin mampu mempertahankan kerajaan Perak yang dirampas mereka. Buktinya ialah, para penghulu dihimpunkan oleh Umno BN untuk ditanam bibit-bibit kebencian kepada Pakatan Rakyat.

Program yang dilakukan itu menggambarkan Umno BN meletakan harapan agar para penghulu boleh mamainkan peranan bagi memastikan Umno BN kekal mengekalkan kuasa mereka, inilah bukti salahguna kuasa yang dilakukan oleh Umno BN dam menguruskan kakitangan awam di negara ini.

PAS Perak melihat bahawa Adun-Adun Umno BN Perak sudah tidak dapat menarik sokongan rakyat untuk menyokong mereka. Adun-Adun Umno BN kini sudah tidak yakin dengan kapasiti Umno BN samada mereka masih boleh terima oleh rakyat Perak atau tidak, kerana itulah para penghulu diperdaya kononnya menghadiri taklimat isu-isu keselamatan negara, pada hal mereka dihasut oleh para penceramah untuk membenci Pakatan Rakyat.

Bagi PAS Perak, perkara yang berlaku ini amat dikesalkan sama sekali, duit rakyat yang besar bagi membiayai program tersebut digunakan untuk program politik Umno BN atas nama Majlis Keselamatan Negara.

Menurut sumber yang didapati oleh PAS Perak juga, selepas ini ketua-ketua kampung seluruh Perak juga akan dikumpulkan bagi tujuan program yang sama, begitu juga para pengetua dan guru-guru besar sekolah-sekolah seluruh Perak juga akan dikumpulkan bagi menabur fitnah kepda Pakatan Rakyat khususnya di Perak bagi memastikan Umno BN terus kekal memerintah Perak.

Wednesday, November 17, 2010

KELEBIHAN ZULHIJJAH

BULAN Zulhijjah, khususnya 10 hari awalnya, adalah peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan serta keampunan Allah SWT selain daripada pahala amalan.

Rasulullah SAW menyebut: “Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu.” (Riwayat al-Bazzar: Albani) Ini juga dinyatakan dalam firman Allah SWT bahawasanya: “Demi Fajar dan hari-hari yang 10.” (Al-Fajr, 1)

Majoriti ulama menyatakan 10 hari itu merujuk kepada hari pertama hingga 10 Zulhijjah dan bukan 10 terakhir Ramadan. (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim)
Ia juga disebut oleh baginda Rasulullah SAW bahawasanya: “Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada 10 hari ini.” (Riwayat Al-Bukhari)

Sebagaimana kita sedia maklum, beberapa amalan digalakkan untuk sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya, seperti:

1. Berzikir.

Iaitu dengan memperbanyakkan zikir seperti ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha Illa Allah’ dan ‘Allahu Akbar’. Ia bersumber daripada hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sahih oleh Imam Al-Munziri di mana Allah SWT menyebut ertinya: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Al-Hajj, 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah 10 hari Zulhijjah ini dan ini juga adalah pendapat majoriti ulama.

2. Berpuasa.

Sangat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula hari terbaik untuk berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan Hari Arafah, bahawasanya: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada Hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Baginda juga menyatakan puasa itu menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Melakukan amalan bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain.

Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ia sangat disukai oleh Allah SWT.

4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih teragak-agak dan menangguhnya.

Sungguh biadap jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang sangat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5. Bertakbir.

Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali menyatakan, permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tasyrik.

6. Melakukan sembelihan korban.

Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 32)

Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim bahawasanya: “Barang siapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan sudah masuk 10 awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan.” (Muslim, 3/39)

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah RA pernah meriwayatkan beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.

Aisyah RA menyebut bahawa tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa- apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) hinggalah sampai waktu sembelihan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan kewajipan lain.

Tidak dibenarkan berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang disembelih dari pasar, lalu disedekahkan atas niat korban.

Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.

Pahala korban jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya saja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Firman Allah SWT: “Daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj, 37)

Untuk melakukan korban, binatang yang sebaik-baiknya ialah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri dan kambing.

Dalam menentukan pembahagian daging ini, daging korban yang dilapah perlu dibahagikan satu pertiga kepada individu yang berkorban, satu pertiga kepada fakir miskin, jiran serta saudara mara dan selebihnya satu pertiga kepada sesiapa yang memintanya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT bahawasanya: “Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir,” (Al-Haj, 28) dan ayat ke-36 surah Al-Haj: “Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya.”

Bagaimanapun, dilarang memberi upah kepada tukang lapah dan penyembelih atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal).

Namun, ia ‘harus’ jika termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

Malah, daging korban juga tidak dibenarkan dijual sebagaimana dipersetujui majoriti ulama.

Selain daripada itu, dalam menentukan syarat sah korban, sesebuah organisasi atau syarikat tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan dan menyembelih korban atas nama syarikat.

Ini adalah kerana korban mesti dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu, dan semestinya bukan untuk organisasi yang bukan manusia.

Dalam melaksanakan korban ini, Rasulullah SAW menamakan hari sembelihan, iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih: Ibn Qayyim dan Albani). Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya apa itu Haji Akbar, beliau menjawab: “Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama).” (Riwayat At-Tirmidzi)

Menurut Ulama, itulah yang dimaksudkan dalam ayat surat At-Taubah tetapi sesetengah ulama lain membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah.

Sesetengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA yang menyatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.

Ia juga disebut oleh Imam Al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan.

Namun, ada sahabat mengatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat, manakala Saidina Ali pula mengatakan ia hari korban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wukuf di Mina (hari Tasyrik).

Akhirnya, perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya Aidiladha menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah negara itu mengikut rukyah).

Monday, November 15, 2010

BERSEDIA UNTUK PRU KE 13........

KUALA LUMPUR, 15 Nov: Naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru seluruh petugas parti bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) yang dijangka diadakan antara April hingga Jun tahun hadapan.

Bercakap dalam majlis makan malam jentera pilihan raya PAS Wilayah Persekutuan di Taman Cempaka, Pandan Jaya malam tadi, beliau juga tidak menolak kemungkinan PRU 13 diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

"Pilihan raya sudah hampir dengan kita. Saya menjangkakan pilihan raya berlaku antara bulan April hingga Jun tahun hadapan, itu paling awal. Ini bacaan politik berasaskan situasi politik yang ada di negara ini.

"Saya boleh membuat kesimpulan, kalau pilihan raya Sarawak diadakan pada April tahun hadapan ini menunjukkan kemungkinan pilihan raya itu diadakan sekali dengan pilihan raya umum," kata beliau yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

Turut serta pada majlis itu seorang lagi naib presiden, Salahudin Ayub.

Kata Mahfuz, PAS perlu menyiapkan jentera medianya sendiri di setiap lajnah bagi melawan manipulasi media Umno yang membuat laporan berat sebelah.

"Amat perlu untuk media kita membuat serangan balas kepada serangan media mereka. Sebab itu dalam situasi sekarang, tidak cukup Harakah dan akhbar alternatif yang lain tetapi dalam lajnah penerangan sendiri perlu ada pasukan media sendiri menggunakan segala teknologi maklumat yang ada," katanya.

Beliau turut memuji langkah PAS Wilayah mengadakan program mengutip dana sedemikian bagi membuat persiapan awal.

Kemenangan Di Galas dan Batu Sapi bukan petanda baik bagi BN

Sementara itu, Salahuddin berkata, kemenangan BN di pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi baru-baru ini bukanlah petanda baik bagi BN untuk mengekalkan kemenangan mereka dalam PRU akan datang.

"Berdasarkan dua pilihan raya kecil yang berlangsung, penganalisis politik berpandangan keputusan itu tidak mencerminkan pandangan umum di peringkat nasional.

"Walaupun BN menang selesa kita melihat cara media melaporkan kemenangan itu juga tidak begitu memberangsangkan mereka, laporan cuma satu hari sahaja,
kata beliau.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga berkata, pemimpin Umno BN sendiri tiak begitu ghairah meraikan kemenangan itu, seolah-olah masih berada dalam kebimbangan dengan kemaraan Pakatan Rakyat.

"Kemenangan itu tidak menjadi topik penting bagi Umno untuk dibanggakan dan suhu perbahasan di Parlimen dan bila melihat riak wajah pemimpin Umno mereka tak begitu ghairah untuk meraikan kemenangan yang mungkin berlaku atas beberapa faktor itu," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib juga ujarnya, tidak mengeluarakan satu kenyataan yang tegas bagi mengakui kemenangan mereka dan bersedia menghadapi PRU awal.

Justeru ujarnya, PAS dan Pakatan Rakyat masih mempunyai peluang yang luas untuk menguasai PRU 13.

"PAS sebagai parti yang berpengalaman luas, harus bijak mengambil peluang ini dengan mengadakan persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi BN," katanya.

Friday, November 12, 2010

TIDAK LAKSANA AMANAH ALLAH ADALAH KHIANAT PALING BESAR.

Marang : Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata amanah yang paling besar adalah melaksanakan perintah Allah SWT di atas muka bumi ini terutamanya kepada pemimpin negara.

Menurutnya, mana-mana pemimpin negara yang tidak melaksanakan perintah Allah SWT itu menjadi pengkhianat yang sangat besar.

“Orang yang jadi pemimpin negara adalah amanah yang paling besar. Sekiranya dia tidak melaksanakan perintah Allah. Maka, dia menjadi pengkhianat yang sangat besar,” ujarnya ketika menyampaikan kuliah Jumaat, di Masjid Rusila, Marang, baru-baru ini.

Malah, katanya orang yang diberi hak serta peluang melantik pemimpin negara tetapi tidak mengikut kehendak Islam juga mendapat kemurkaan Allah.

Menurutnya, tanggungjawab melantik pemimpin negara juga bukan perkara permainan bagi mendapatkan imbuhan wang ringgit.

“Khianat yang paling besar adalah memimpin negara tidak mengikut syariat Allah SWT.
Begitu juga dengan orang yang melantik pemimpin negara dan tidak mengikut cara-cara Islam, murka yang sangat besar.

“Kerana itu, adalah amanah yang sangat besar, bukan main lantik pemimpin boleh RM50, boleh RM100. Ini amanah yang sangat besar di hari kiamat,” tegasnya.

Ustaz Abdul Hadi turut mengingatkan dengan sepotong hadis yang bermaksud,“Barang siapa yang melantik kepimpinan bukan kerana kelayakkannya, tetapi kerana dunianya. Maka, dia telah khianat terhadap dan Rasul-Nya SAW”.

Justeru itu, katanya pelaksanaan hukum hudud yang terkandung dalam perundangan Islam wajib ditunaikan oleh pemerintah Islam yang diamanahkan.

Related Posts with Thumbnails