SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Monday, March 7, 2011

DEMOKRASI YANG DIBELAKANGI OLEH BN SENDIRI

KOTA BARU, 7 Mac – Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin-pemimpin Umno dan BN bahawa tindakan mereka membelakangkan demokrasi akan menjadi “bom jangka” yang boleh meletup bila-bila masa.

“Ia bakal menjadi bom jangka yang dilemparkan oleh golongan ini kemudian hari nanti, jadi beringat-ingatlah... jangan berbuat sesuka hati,” kata Nik Aziz (gambar) mengulas keputusan dua pilihan raya kecil serentak DUN Kerdau dan Merlimau di sini hari ini.

Dipetik Harakahdaily hari ini, kata Menteri Besar Kelantan, pemimpin tertinggi Umno tidak perlu bermegah dengan kemenangan calon mereka di dua pilihanraya kecil, Merlimau dan Kerdau, kerana perlawanan itu tidak berlandaskan demokrasi.

Menurutnya, PAS bukan menentang calon Umno sebaliknya parti kerajaan yang disokong oleh segala jentera kerajaan negeri dan persekutuan.

Sehubungan itu kata beliau, jika bekas presiden Mesir Hosni Mubarak, pemimpin yang berkuasa besar, akhirnya digulingkan oleh rakyat sendiri, apa lagi di Malaysia yang turut boleh menyaksikan nasib yang sama.

Dalam reaksi segera malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau adalah sangat signifikan.

Najib yang juga Pengerusi BN dalam mengucapkan terima kasih kepada para pengundi kerana menyokong BN, berkata kerajaan BN yang melakukan yang terbaik untuk mereka.

BN mengekalkan kerusi DUN Merlimau apabila calonnya Roslan Ahmad menewaskan calon PAS Yuhaizat Abdullah dengan majoriti 3,643 undi. Roslan memperoleh 5,962 undi berbanding Yuhaizad, 2,319 undi.

Di Kerdau, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad menewaskan calon PAS Hasanuddin Salim dengan majoriti 2,724 undi. Syed Ibrahim memperoleh 5,060 undi sementara Hasanuddin 2,336 undi.

Termasuk kerusi DUN Merlimau dan Kerdau, PAS sudah tewas dalam empat pilihan raya kecil sejak November lalu.

Nik Aziz berkata, di Malaysia walaupun mengamalkan demokrasi, namun hakikatnya “dia mahu kerasi” sehingga pilihan raya sebenar sudah tidak wujud di negara ini.

Menurutnya, PAS sebagai sebuah parti telah menentang calon kerajaan pemerintah dan bukannya menentang calon parti Umno atau BN.

“Ini amat tidak adil, ia berdosa dunia akhirat. Kerana itu golongan muda sekarang semakin memahami masalah demokrasi semakin tiada di negara ini sehingga mereka menjadi pendendam akibat membelangkan demokrasi yang mereka pelajari,” katanya.

Nik Aziz menambah, beliau sebagai anggota PAS sekali-kali tidak meredhai dunia akhirat pada mana-mana pemimpin negara terhadap pengkhianatan demokrasi dalam apa juga perkara terutama dalam pilihan raya.

Walaupun akur dengan keputusan pilihan raya terbabit, namun hakikatnya keputusan sebenar tidak sedemikian.

“Tengok semalam sebagai contohnya, bagaimana seorang penyokong Umno yang telah menyertai PAS tiba-tiba mengisytiharkan semula menyertai Umno.

“Kenapa perkara ini berlaku sekiranya tiada tekanan demi tekanan, ini bukan demokrasi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pengundi Melayu turut menolak PAS pada pilihan raya kecil baru-baru ini di peti undi tertentu apabila didapati kurang sokongan, beliau berkata, apa yang dipertikaikannya sekarang ialah soal demokrasi.

Beliau turut mendakwa rakyat masih disogok dengan pembangunan walaupun ia dibuat apabila tiba waktu pilihanraya sahaja.

“Pembangunan akan muncul hanya bila ada pilihan raya, khususnya pilihan raya kecil,” ujar Nik Aziz.

PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI...........

Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 21 bermaksud:"Dan Allah jua yang berkuasa terhadap urusannya tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahuinya".

Apa jua yang kita lakukan mestilah seikhlas mungkin,kekalahan tidak harus menjadikan kita lemah dan patah semangat,Allah yang mengetahui segalanya,bersamalah kita bermuhasabah pada diri kita sendiri.Kenapakah kemenangan belum berpihak kepada kita,banyak faktor untuk kita rungkaikan,adakah ia kesalahan kita,adakah kita ini terlalu lemah,terlalu mengikut prosedur dan undang-undang yang mengundang masalah buat kita.

Kita bekerja untuk menegakkan Islam,menentang kezaliman iaitu kemungkaran yang begitu beleluasa,namun kita belum dapat kemenangan itu..ayuh para pejuang jangan kita lalai lagi,jangan kita duduk bersimpuh rapi,jangan kita tidur lena hingga musuh mencari jalan membinasakan kita.

Musuh Islam sebenarnya adalah orang Islam sendiri,yang menentang agama sendiri,yang menghina kaumnya sendiri,yang menghina Rasullullah yang membawa Islam,mereka tidak gentar dengan seksaan kubur dan perhimpunan di mahsyar.Mereka tetap melakukan penganiayaan,menipu,memeras ugut,fitnah dan sebagai macam kezaliman dan kemungkaran untuk memperbodohkan rakyat.

Masih ramai rakyat yang belum sedar atas semua itu,sampai bila rakyat boleh dibodohkan dan di tarik bagai lembu dicucuk hidung,sedih melihat insan seagama diperlakukan umpama itu.Tapi itulah hakikat yang perlu dilalui oleh kita sebagai pejuang Islam yang masih menanti sinar kemenangan menjelma,masih lama lagikah ?

Perjuangan ini mesti kita teruskan walau beribu kali kita tewas di medan ini,namun kita mesti cekalkan hati dan terus berusaha untuk memberi yang terbaik,melakukan sesuatu untuk kemenangan Islam adalah saat yang terindah dan tidak dapat dilupakan walau ia penuh ranjau berduri dan berliku namun ia tetap aku lalui.

Kemenangan Islam mesti dicari,ia pasti datang membawa kebahagian yang begitu indah,yang tidak dapat digambarkan kecuali ia berlaku nanti di hadapan kita.Saat itu mungkin kita merasainya dengan penuh keinsafan,dengan penuh kesyukuran...wahai pejuang-pejuang yang ikhlas ,bersama kita teruskan kerja-kerja indah kita,walau bukan mudah tapi pembalasannyanya nanti tentu tidak dapat kita bayangkan.

Firman Allah:" Sesungguhnya pimpinan kamu ialah Allah dan Rasulnya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedangkan mereka ruku'(tunduk menjunjung titah perintah Allah dan Rsulnya).Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasulnya dan orang-orang yang beriman sebagai pimpinannya maka sesungguhnya Parti Allah itu akan mendapat kemenangan". (surah Al Maidah ayat 55-56)

Sunday, March 6, 2011

DUN MERLIMAU:TIDAK RASA KECEWA PUN....

Calon PAS Yuhaizat Abdullah ketika mengunjungi pusat pengundian di Merlimau pagi tadi. — Foto oleh Jack Ooi

JASIN, 6 Mac — Walaupun tewas pada pilihan raya kecil DUN Merlimau, namun calon PAS Yuhaizat Abdullah tidak sedih mahupun kecewa, sebaliknya berjanji akan terus bekerja lebih kuat bagi memastikan segala janji ditaburkan Barisan Nasional (BN) ditunai.

Yuhaizat tewas kepada calon BN Roslan dengan majoriti 3,643 undi.

Beliau mendapat 2,319 manakala Roslan memperoleh 5,962 seterusnya memastikan Merlimau kekal kubu kuat BN.

“Keputusan kita dah tahu dan saya ucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya.

“Saya juga ucapkan tahniah kepada calon BN Roslan Ahmad atas keputusan ini, saya juga akan terus berusaha dan pastikan segala janji yang dikatakan BN sebelum ini ditunaikan,” kata Yuhaizat pada sidang media di Markas PAS di sini.

Jelas Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka itu, beliau akan menjadi pemantau prestasi Roslan dan berharap wakil rakyat baru itu dapat menjalankan tugas dengan baik seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dibuat sebelum ini.

“Saya akan jadi pemantau kepada Roslan, walaupun tewas saya tidak sedih atau kecewa kerana saya masih ada pengundi yang bersama dengan saya.

“Dalam pilihan raya kecil bukan mudah untuk mendapat 2,319 undi dan saya akan pastikan segala janji akan dikotakan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Adly Zahari berkata banyak faktor yang menyebabkan kekalahan PAS di Merlimau dan satu “bedah siasat” akan diadakan bagi mencari punca-punca pihaknya kalah.

“Kita akan buat analisis, setakat ini kita masih belum tahu apa punca tapi banyak faktor yang menyebabkan kita kalah.

“Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada PAS,” katanya.

Keputusan pilihan raya kecil DUN Merlimau menunjukkan bahawa BN masih lagi relevan di kawasan tersebut dan agak sukar untuk PAS menembusi kubu kuat BN itu.

Kemenangan di Merlimau menyaksikan BN mengekalkan kemenangan tanpa kalah susulan kejayaan merampas balik kerusi DUN Galas, Kelantan dan mempertahankan kawasan Tenang, Johor Januari lalu.

PENYOKONG BN YG BAIK2 BELAKA??

TEMERLOH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kesal dengan sikap penyokong parti politik yang mencetuskan provokasi hingga menyebabkan ketegangan di luar kawasan pusat mengundi.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata tindakan berkenaan dikhuatiri akan menyebabkan pengundi berasa takut untuk keluar mengundi apabila melihat ketegangan yang dicetuskan penyokong parti yang kebanyakannya adalah orang luar.

"Sudah menjadi perangai penyokong parti yang masih lagi degil dan tidak mahu mengikut arahan pihak SPR dan polis agar tidak berkumpul beramai-ramai di luar pusat mengundi.

"Tindakan provokasi dan perang mulut ini sebenarnya boleh menakut-nakutkan pengundi untuk keluar mengundi," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Ahad.

Beliau mengulas mengenai insiden pergaduhan kecil diluar pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau yang berlaku kira-kira pukul 8.55 pagi tadi.

Pergaduhan berkenaan dipercayai berlaku akibat provokasi penyokong PAS yang memasuki kawasan penyokong Barisan Nasional (BN) yang hanya dipisahkan dengan sebatang jalan.

Bagaimanapun insiden berkenaan berjaya dileraiakan oleh anggota keselamatan yang bertugas.

RAMAINYE KELUAR MENGUNDI.....

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Peratusan keluar mengundi di Kerdau sudah menjangkau lebih 50 peratus dalam tiga jam pertama — perkembangan yang dilihat sebagai luar biasa berbanding persekitaran masa-masa lalu.

Maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan seramai 4,890 atau 54.34 peratus sudah mengundi setakat 11 pagi.

Sementara itu, peratusan pengundi yang keluar mengundi di Merlimau adalah 43 peratus setakat pukul 11 pagi ini.

Jurucakap SPR berkata SPR menyasarkan peratus pengundi yang keluar mengundi bagi pilihan raya kecil ini adalah lebih 80 peratus.

DUN Merlimau mempunyai 10,679 pengundi berdaftar.

Wednesday, March 2, 2011

TINGGINYA UNDI POS DI PERAK....ADA LE YANG TAK KENA TU

Undi pos naik mendadak di Perak

Sejumlah 8,470 nama pengundi baru pos telah dimasukkan dalam senarai pengundi di enam kerusi DUN di Perak tahun lalu - langkah yang didakwa oleh PKR negeri, bertujuan untuk menguntungkan Umno.

Timbalan pengarah pilihan raya PKR negeri, Chan Ming Kai (gambar) berkata, jumlah teramai adalah dalam senarai pemilih di DUN Pangkor, yang diwakili oleh Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Menurut Chan, data dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dikemaskini Disember lalu, menunjukkan kebanjiran 5,669 pengundi pos di DUN tersebut.

"Jumlah pengundi pos sekarang hampir setengah daripada 26,000 pengundi di situ," kata Chan, yang tidak memberikan data lengkap dalam pernyataannya.

Pada tahun 2008, Zambry memenangi kerusi dengan majoriti selesa 5,785 undi, menewaskan calon PKR, Pkhrazi @ Pakhrazi Muda, yang memperolehi 5,121 undi.

Kerusi Pangkor terletak dalam parlimen Lumut yang dimenangi calon BN, Datuk Seri Kong Cho Ha dari MCA - dengan majoriti tipis 298 pada 2008.

Menurut Chan, kebanjiran pengundi pos di Pangkor boleh menjejaskan peluang Pakatan Rakyat untuk merampas kerusi Lumut.

"Pertambahan (mendadak itu) benar-benar mengejutkan," katanya sambil bertanya bolehkah pangkalan tentera laut di Pangkor menampung jumlah yang begitu ramai.

Sedangkan data, katanya, menunjukkan hanya 368 telah dipindah keluar.

Chan berkata, ada kemungkinan isteri/suami anggota tentera dikategorikan sebagai pengundi pos.

Sebagai contoh, katanya, 248 pengundi baru pos dimasukkan dalam senarai pemilih DUN Sungai Rapat.

Kerusi tersebut dimenangi calon BN, Hamidah Osman yang juga exco kerajaan negeri, dengan majoriti 636 undi.

"Jelas bahawa usaha-usaha tersebut adalah untuk manfaat Umno. Kerusi majoriti Cina, seperti Canning Garden, yang mempunyai sebuah kem tentera, tidak ada penambahan pengundi pos," kata Chan. -mk


5,669 undi pos bertambah di Dun diwakili Zambry

PETALING JAYA, 1 Mac: Timbalan Pengarah Pilihanraya PKR Perak, Chan Ming Kai telah mendedahkan kemasukan pengundi pos besar-besaran di kawasan-kawasan Dun diwakili Umno BN di Perak pada tahun 2010.

Bercakap dalam sidang media mingguan parti di sini, hari ini, beliau memberi contoh, di Dun Pangkor yang diwakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah menerima kemasukan 5,669 pengundi pos berbanding hanya 368 yang keluar pada 2010.

Katanya, bilangan pengundi pos kini mencapai hampir separuh daripada jumlah 26,000 pengundi di Dun Pangkor yang merupakan sebahagian daripada Parlimen Lumut.

Katanya, calon PKR tewas hanya 298 undi di Parlimen Lumut kepada calon MCA BN pada Pilihan Raya Umum 2008.

Ming Kai juga menjangkakan Umno akan memberikan tumpuan untuk menambah pengundi pos di Dun Sungai Rapat yang diwakili oleh Exco Kanan, Hamidah Osman yang hanya menang tipis 636 undi dengan calon PAS.

Katanya, pada 2010 sebanyak 248 pengundi pos masuk ke Dun itu.

“Usaha ini jelas untuk memberi manfaat kepada Umno. Kawasan-kawasan majoriti Cina seperti Canning Garden yang juga mempunyai kem tentera tidak pula melihat pertambahan undi pos,” katanya.

Beliau yang juga Adun Simpang Pulai khuatir wujud penyalahgunaan undi pos dan meminta SPR serta Kementerian Pertahanan menjelaskan perkembangan itu.

Selain Pangkor, pertambahan ketara pengundi pos ialah di Dun Kamunting yang menerima 1,102 berbanding keluar 146, Temenggor (masuk 690, keluar 38), Pengkalan Hulu (masuk 506, keluar 117), Chenderiang (masuk 255, keluar 31) dan Sungai Rapat (masuk 248, keluar 31).

Tuesday, March 1, 2011

PR TAK ADA ISU DI PAHANG?

http://buletinonline.net/images/stories/berita42/Adnan.jpgMenteri Besar Pahang DS Adnan Yaakub, samada sememang dalam penafian atau memang tidak tahu. Tetapi penulis lebih cenderung untuk mempercayai bahawa apabila beliau dengan sombong menyatakan bahawa pembangkang tak ada isu, beliau sememangnya mahu berbohong kepada pengundi Kerdau khususnya dan seluruh rakyat Pahang amnya. Penulisan besiri ini bertujuan untuk menyanggah dakwaan Menteri Besar Pahang ini.

Kalau benar bagai dek kata, beliau wajar menggunakan ruang kempen di PRK N28 Kerdau ini untuk memperagakan atau ‘showcase’ segala kejayaan kerajaan Pahang. Kalau kerja sudah disempurnakan dan rakyat sudah diberi khidmat yang cemerlang, apa perlu sibuk untuk mengumumkan projek-projek ‘mee-segera’ termasuk yang diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri yang terpaksa turun pada hari pertama lagi sehingga terpaksa mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada warga Felda di Kerdau. Ini kali pertama dalam sejarah politik mutakhir negara ini, seorang PM turun pada hari pertama dalam satu PRK.

Adnan sepatutnya perlu sedar dan insaf bahawa di bawah kepimpinannya Pahang telah mengalami defisit belanjawan untuk 13 tahun berturut-turut. Rakyat Pahang juga mengingatkan Menteri Besarnya bahawa kerajaan negeri sedang menanggung bebanan hutang sebanyak RM2.17 bilion mengikut Laporan Ketua Audit Negara yang mutakhir. Jumlahnya terus meningkat setiap tahun.

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini banyak menyentuh tentang kelemahan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Adnan Yaakub. Ianya merangkumi pelbagai skop dan aspek pembangunan dan pengurusan.

Ayat yang kerap diulangi dalam Laporan Ketua Audit Negara ialah..”Pada pendapat Audit…..adalah tidak memuaskan kerana…..” Ini menyangkut pelbagai skop dan aspek, samada yang berkaitan projek sakit dan lewat di bawah Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRD), prestasi agensi-agensi kerajaan, aktiviti pengambilan pasir sungai dan kesannya kepada alam sekitar di Sungai Benus, Bentong, pengurusan air tidak berhasil (NRW), pengurusan premis perniagaa sehinggalah kepada urusan pengendalian kes di Mahkamah Syari’ah Negeri Pahang. ”Pada pendapat Audit ..tidak memuaskan ..kerana.. ” diulangi pada setiap laporan audit yang dibuat. Rakyat seharusnya telah lama pecat CEO syarikat ini atau MB kerajaan negeri Pahang ini.

Cukup mengecewakan dan menga’ibkan rakyat Pahang.. Tak ada isu kata Adnan!

Sekadar mengambil contoh antara yang terbesar mengikut Laporan Ketua Audit Negara adalah kelemahan-kelemahan pentadbiran dan pengurusan yang mengakibatkan kerajaan negeri kehilangan sumber pendapatan sebanyak RM227.9 juta apabila empat (4) buah syarikat-syarikat berkaitan negeri (GLCs) gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual. Laporan juga mendedahkan bahawa tidak wujud peruntukan dalam perjanjian yang membolehkan kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap GLCs (contoh ASPA dan PKNP dll) apabila GLCs gagal membuat bayaran balik.

Dalam suasana anak-anak syarikat kerajaan ini mengalami kerugian, Menteri Besarnya masih boleh mengarahkan serta mengharapkan 50% dari keuntungan GLCs ini disumbangkan kepada kerajaan negeri. Jelas dan nyata bahawa Adnan sudah tidak peka dan hilang ‘touch’nya dengan realiti. inilah antara sebabnya mengapa pihak penganalisi mewawarkan bahawa kerajaan negeri Pahang berpotensi untuk bankrap kerana hutangnya jauh melampaui KDNKnya. Ketirisan dan kebocoran terus tidak dapat ditangani. Siri ini akan mendedahkan sebanyak yang boleh dalam tempoh kempen ini.

Oleh kerana Lapuran Audit Negara adalah maklumat awam (public information), maka sewajarnyalah Kerajaan Negeri bersikap bertanggungjawab dan menerangkan kepada rakyat langkah-langkah yang telah diambil bagi membenteras kepincangan-kepincangan tersebut sebagai satu langkah ‘Pertanggungjawaban Awam”.

PAS menuntut kerajaan negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional mendedahkan prestasi semasa GLCs negeri sebagaimana yang akan dilakukan oleh negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat seperti Selangor.

Berdasarkan secebis pendedahan di atas, maka PAS/Pakatan Rakyat menyeru seluruh pengundi dalam PRK N28 Kerdau supaya membuat pilihan yang wajar dan tepat bagi membongkar segala kepincangan pengurusan kewangan negeri demi memperjuangkan kepentingan penduduk Kerdau khasnya dan kemaslahatan seluruh rakyat negeri Pahang amnya.

Maka calon yang paling wibawa bagi merealisasikan tujuan dan menggalas tanggungjawab ini tentunya adalah mereka yang mempunyai keterlibatan dan pendedahan dalam bidang-bidang tersebut. Apakah seorang calon yang berlatar-belakang di bidang bahasa ’Arabkah atau yang berlatarbelakang di bidang ‘profesional’ dengan kemampuan serta pengalaman kerjayanya di luar negara dan dalam negeri?

Rakyat wajar menilai siapakah yang lebih wajar mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Pahang bagi suara ‘semak-imbang’ pelbagai kepincangan pengurusan kerajaan negeri Pahang ini yang di bawah kepimpinan Umno/BN.

Related Posts with Thumbnails