SAHABAT2 SEPERJUANGAN

SAHABAT2 SEPERJUANGAN

Followers

Thursday, December 30, 2010

JAUHNYA PERBEZAAN PRESTASI KERAJAAN PR DAN BN


Selepas dekat tiga tahun berlakunya perubahan politik pada 8 Mac 2008, satu pengesahan kepada prestasi tadbir urus negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telah disediakan oleh Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Lima negeri dalam dua kategori berasingan, iaitu Johor, Pahang dengan Selangor; dan juga Melaka dengan Pulau Pinang, telah dipilih untuk membuat perbandingan dari tiga sudut: pengurusan kewangan, pentadbiran negeri dan pendemokrasian masing-masing.

PENGURUSAN KEWANGAN

Johor/Pahang dengan Selangor
Secara keseluruhannya, proses membaiki status kewangan negeri telah bermula di Kerajaan Negeri Selangor, namun langkah pemantapan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Johor dan Pahang belum lagi mempamerkan perubahan positif. Tahap kemantapan pengurusan kewangan dapat dilihat daripada Laporan Ketua Audit Negara yang mengesyorkan supaya Selangor meneruskan perbelanjaan berhemat dan terus berusaha mengutip baki pinjaman boleh dituntut di samping usaha berterusan terhadap kutipan tunggakan bayaran pinjaman boleh dituntut, manakala Johor dan Pahang disyorkan perlu mempertingkat dan memperkukuhkan lagi prestasi kewangan (Johor), dan perlu mengamalkan perbelanjaan berhemat (Pahang).

Dari segi Nisbah Semasa, Kerajaan Negeri Selangor memperoleh nisbah lebih daripada 1, manakala Kerajaan Negeri Johor dan Pahang memperoleh nisbah kurang daripada 1. (Analisis Nisbah Semasa adalah untuk mengukur kedudukan kecairan tunai Kerajaan Negeri dalam membiayai jumlah Tanggungan Semasa. Sekiranya nisbah yang dihasilkan melebihi daripada 1, maka ini menunjukkan tanda yang positif dari segi kedudukan kecairan tunai.) Fakta ini menunjukkan bahawa kecairan tunai Kerajaan Negeri Johor dan Pahang adalah rendah untuk menampung jumlah tanggungan semasa.

Dari segi defisit, ketiga-tiga negeri mencatat defisit, iaitu Johor RM70.35 juta, Pahang RM42.27 juta dan Selangor RM65.96 juta. (Defisit dalam maksud ini mengambil kira perbandingan antara hasil dengan perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri bagi tempoh perakaunan semasa dan tahun sebelumnya untuk mengukur lebihan atau defisit bagi Akaun Hasil Disatukan.) Namun begitu, defisit Negeri Pahang dan Johor adalah lebih parah jika berbanding dengan Selangor apabila diambil kira faktor kutipan hasil.

Keadaan di Negeri Pahang menunjukkan bahawa prestasi kewangan Kerajaan Negeri semakin menurun dengan ketara sejak tahun 2007 kerana hasil kutipan tidak dapat menampung perbelanjaan tahunan. (Laporan Ketua Audit Negera, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pahang Tahun 2009, m.s 17) Kerajaan Pahang telah membentangkan belanjawan defisit untuk tahun ke-12 berturut-turut sehingga tahun 2010. (http://paslipis.wordpress.com/2009/11/19/kerajaan-bn-pahang-bentang-bajet-defisit-12-tahun-berturut-turut-2/) Bagi Negeri Johor, tahap defisit tahun 2009 adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakangan. (Laporan Ketua Audit Negera, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Johor Tahun 2009, m.s 19)

Selain itu, gabungan hasil kedua-dua buah negeri adalah sebanyak RM1,243 juta berbanding dengan hasil Negeri Selangor sebanyak RM1,764 juta, tetapi gabungan defisit adalah sebanyak RM120.95 juta, iaitu lebih kurang satu kali ganda lebih tinggi daripada defisit Selangor yang berjumlah RM65.96 juta.

Analisis Perbandingan Antara Hasil dengan Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat Bagi Tempoh 2005 hingga 2009

Melaka dengan Pulau Pinang

Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat baru sahaja mengambil alih negeri Pulau Pinang, namun jika dibandingkan dengan Kerajaan Barisan Nasional di negeri Melaka, wujud perbezaan yang cukup meyakinkan mengikut gaya dan pendekatan seperti mana yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Umpamanya, KPRU mendapati bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara keseluruhannya adalah baik dengan melakukan beberapa pengubahsuaian dalam aktiviti perolehan, bentuk perbelanjaan yang benar-benar berhemat tanpa menjejaskan kebajikan rakyat Pulau Pinang. Hasilnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengakhiri tahun kewangan 2009 dengan lebihan sejumlah RM77.34 juta menjadikan lebihan dana terkumpul berjumlah RM538.95 juta. Berbanding dengan pesaingnya, prestasi kewangan yang dicatatkan oleh Kerajaan Negeri Melaka bertambah baik daripada defisit RM4.56 juta pada tahun 2008 kepada lebihan dana RM0.30 juta.

Selain itu, analisis Nisbah Semasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2009 mendapati Nisbah Semasa Kerajaan Negeri adalah 5.25:1 melebihi satu, manakala Nisbah Semasa Melaka adalah kurang daripada 1. Fakta ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang berkemampuan untuk menampung jumlah tanggungan semasa manakala Melaka gagal menampung tanggungan tersebut.

Dari segi pelaburan kerajaan negeri, kebijakan pelaburan Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus menjadi teladan bukan sahaja kepada Kerajaan Negeri Melaka, malah semua Kerajaan Negeri dalam Persekutuan di mana jumlah dividen dan keuntungan mencatatkan angka tertinggi sejak tahun 2005. Sila rujuk jadual yang dipetik daripada Laporan Ketua Audit Negara 2009 (m.s 28).

Pelaburan Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Kerajaan Negeri Melaka pula mencatatkan pencapaian yang sebaliknya. Semakin besar pelaburan yang dibuat olehnya, belum tentu lagi pulangan faedahnya lumayan. Fakta ini terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009 (m.s 32)

Pelaburan Kerajaan Negeri Melaka


PENTADBIRAN NEGERI

Johor/Pahang dengan Selangor

Secara keseluruhannya, adalah didapati bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat bersikap lebih responsif dan cekap dalam urusan pentadbiran negeri. Kerajaan Pakatan Rakyat bukan sahaja tidak segan mendedahkan isu-isu kontroversi supaya orang awam termaklum dengan perkembangan, malah ianya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah. Misalannya, dalam isu jamuan makan yang menelan RM300 ribu anjuran Yayasan Selangor baru-baru ini, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor diarah mengambil cuti selama sebulan berkuat-kuasa serta merta. (http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29467:timbalan-pengurus-yayasan-selangor-diarah-cuti&catid=1:utama&Itemid=50)

Corak pentadbiran sebegini tidak kelihatan dalam negeri pemerintahan Barisan Nasional.

Kajian Kes: Isu Curi Pasir

Dari segi pentadbiran negeri, sebenarnya Negeri Pahang dan Johor juga dibelenggui isu curi pasir, malah mungkin lebih serius daripada apa yang berlaku di Selangor. Akan tetapi isu curi pasir di kedua-dua negeri tersebut jarang diberi perhatian akibat liputan media yang tercondong.

Misalnya, pada tahun 2009, Kerajaan Negeri Selangor mengalami kerugian RM1.82 juta daripada royalti tidak berkutip, tetapi kerugian yang dialami oeh Kerajaan Negeri Pahang adalah sebanyak RM3.23 juta, iaitu lebih kurang satu kali ganda lebih daripada kerugian yang dialami oleh Kerajaan Selangor. (Laporan Ketua Audit Negara, Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2009, m.s 50)

Di Johor pula, adalah didapati juga kegiatan perlombongan pasir yang mula beroperasi sejak tahun 2003 tetapi tidak menyediakan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), aliran air sungai berubah, berlakunya tanah runtuh, pencerobohan, pihak penguatkuasa tidak memantau secara berkala, dan banyak lagi.

Tambahan lagi, kegiatan perlombongan pasir di Pahang dan Johor telah menyukarkan nelayan yang menggunakan Kuala Sungai Miang tersebut sebagai laluan keluar masuk bot mereka untuk ke laut menangkap ikan. Menurut mereka, kuala sungai telah menjadi semakin cetek dan dipenuhi pasir yang menghalang pergerakan bot.

Dari segi mengatasi isu kekurangan koordinasi antara jabatan dan pencurian pasir, tindakan Kerajaan Negeri Selangor juga jauh lebih responsif jika berbanding dengan Kerajaan Negeri Pahang. Satu Jawatankuasa Khas diketuai Ketua Setiausaha Negeri, dan melibatkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) yang sering mengadakan pemantauan bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) telah ditubuhkan serta merta. Sebaliknya, sehingga hari ini Kerajaan Negeri Pahang belum lagi mengambil apa-apa langkah untuk mengatasi masalah tersebut.

Melaka dengan Pulau Pinang

Struktur pentadbiran yang cekap dan beramanah juga banyak membantu mengangkat status sosioekonomi negeri Pulau Pinang. Agenda Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menekankan kepada prinsip akauntabiliti, ketelusan dan kebertanggungjawaban (CAT) telah terbukti meyakinkan rakyat dan para pelaburnya walaupun memiliki sumber-sumber negeri yang begitu terhad sekali. Apatah lagi bantuan Kerajaan Persekutuan yang dihulurkan adalah tidak ikhlas dan bertujuan memporak-perandakan politik Pakatan Rakyat. Buktinya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempersoalkan kewajaran Kerajaan Persekutuan yang memperuntukan RM200 juta kepada Khazanah Nasional untuk membangunkan dan memulihara lokasi warisan negeri sedangkan peruntukan RM30 juta yang turut dinikmati oleh Kerajaan Negeri Melaka diuruskan sendiri tanpa pihak ketiga. Adakah tindakan tersebut dianggap hukuman Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional kepada rakyat Pulau Pinang? Walaupun begitu, hal ini langsung tidak menghalang Kerajaan Negeri untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Berlainan pula dengan Kerajaan Negeri Melaka yang mempunyai daya kebergantungan yang tinggi terhadap Kerajaan Persekutuan untuk menjana pendapatan negerinya. Misalannya, Kerajaan Negeri Melaka memperoleh hasil jualan aset pengurusan air kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM39.73 juta. Mungkinkah tanpa pengambilan aset pengurusan air tersebut, Kerajaan Negeri Melaka akan terus terperangkap dalam hutang serta defisit yang tidak tertanggung? Beberapa kelemahan yang ketara perlu diatasi oleh Kerajaan Negeri Melaka seperti kegagalan monorel menyeberangi Sungai Melaka dan projek Eye on Malaysia yang tergendala sekian lama sekiranya negeri Melaka masih berhasrat menjadi pesaing terdekat kepada negeri Pulau Pinang dalam sektor pelancongan. (Eye on Malaysia jadi 'gajah putih' )

PENDEMOKRASIAN

Johor/Pahang dengan Selangor

Dari segi pendemokrasian, adalah jelas bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat, terutamanya Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang masih berada di barisan depan dalam proses pendemokrasian berbanding dengan Negeri-negeri Barisan Nasional. Kerajaan Negeri Selangor telah menerajui dasar dan langkah-langkah berikut yang langsung tidak dihirau oleh Kerajaan Negeri Pahang dan Johor:

1. Menggubal Akta Kebebasan Maklumat;
2. Memberikan satu pertiga kuota kerusi Ahli Majlis PBT kepada badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO);
3. Enakmen Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor yang memberikan kuasa lebih besar kepada Speaker;
4. Menghidupkan semula SELCAT;
5. Menubuhkan jawatankuasa pilihan khas (Select Committee) dalam sidang DUN Selangor;
6. Mengumumkan aset Exco Selangor;
7. Menggunakan kuasa MB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk mendedahkan pelbagai penyelewengan yang tertutup sebelum itu, antaranya Yayasan Basmi Kemiskinan, Rancangan Revolusi Hijau di Bukit Cherakah, Projek Perhutanan Semula dan lain-lain.

Di samping itu, antara kelebihan lain Kerajaan Negeri Pulau Pinang jika berbanding dengan Melaka adalah idea demokrasi itu dipraktikan secara terbuka. Walaupun terlalu awal untuk diperkatakan, sekurang-kurangnya sudah ada keazaman politik yang jelas untuk melakukan perubahan pada pihak Pakatan Rakyat. Berikut adalah usaha-usaha Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam agenda pendemokrasian negeri:
1. Membentangkan Enakmen Hubungan Kaum pada tahun hadapan;
2. Pilihanraya Ahli Majlis Tempatan untuk perwakilan masyarakat sivil;
3. Membentangkan Enakmen Kebebasan Maklumat pada tahun 2010.

Kesimpulannya, fakta-fakta di atas menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang diperintah secara lebih berhemat, telus dan cekap berbanding dengan Kerajaan Negeri Johor, Pahang dan Melaka. Laporan Ketua Audit Negara juga memberikan pengiktirafan kepada pengurusan kewangan Negeri Selangor dan Pulau Pinang yang lebih professional. Dari segi pendemokrasian, negeri-negeri tersebut juga mendahului dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif yang dapat menjamin hak rakyat.

Perkembangan-perkembangan tersebut dapat dilihat sebagai pengambil-alihan kerajaan baru yang bergiat merealisasikan janjian kepada rakyat dan masih segar untuk melalukan reformasi tanpa ikatan beban tradisi. Dalam konteks negeri, perkembangan positif pasca 8 Mac 2008 juga dapat dinilai dari sudut kebangkitan sistem dua parti, di mana kewujudan sekatan dan imbangan (check and balance) kuasa menjadikan pihak pemerintah lebih berhat-hati dan segan melakukan kesilapan. Secara keseluruhannya, perbandingan dari segi prestasi kewangan, pentadbiran dan pendemokrasian ini wajar menjadi satu asas rujukan kepada rakyat yang sudah berubah dan belum berubah agar mereka menjadi lebih bijaksana dan termaklum dalam membuat keputusan dalam pilihanraya akan datang.

Rujukan am:
1. Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Johor Tahun 2009
2. Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Johor Tahun 2009
3. Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pahang Tahun 2009
4. Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Pahang Tahun 2009
5. Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Selangor Tahun 2009
6. Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Selangor Tahun 2009
7. Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Melaka Tahun 2009
8. Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2009
9. Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pulau Pinang Tahun 2009
10. Laporan Ketua Audit Negara – Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2009

Disediakan oleh,
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU)

*Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) merupakan sebuah pusat kajian yang bebas dan kritikal. KPRU ditubuhkan pada era pasca 8 Mac dengan tujuan membawa idea perubahan kepada rakyat Malaysia melalui kajian dan sesi dialog.

KPRU memberikan fokus kepada kajian terhadap bidang ekonomi politik dan sektor strategik yang dapat membawa impak jangka masa panjang kepada masyarakat. Dengan penerapan idea baru dan interaksi dengan pelbagai pihak berkepentingan, kajian KPRU diyakini akan membawa pemikiran dan wacana segar untuk menghadapi cabaran negara dalam dekad yang akan datang.

KPRU merupakan institusi pertama yang melibatkan diri dalam kajian parlimen dan menyokong reformasi parlimen. KPRU mengutamakan isu belanjawan tahunan negara, rancangan jangka panjang, demokrasi parlimen dan lain-lain. Untuk mencapai matlamat tersebut, KPRU bekerjasama secara rapat dengan agensi kerajaan, parti politik, pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan khidmat nasihat strategik, program pengunjungan spesifik dan menghasilkan dasar yang berasaskan fakta. - Merdeka Review

Wednesday, December 29, 2010

ALCATEL BAYAR RASUAH KEPADA PEGAWAI KERAJAAN MALAYSIA

http://buletinonline.net/images/stories/berita37/alcatellucent.gifWASHINGTON: Sebuah syarikat peralatan telekom berpusat di Perancis Alcatel-Lucent bersetuju untuk membayar denda sebanyak US $137 juta sebagai bagi menyelesaikan tuduhan rasuah oleh Amerika Syarikat.

Jabatan Kehakiman dan Suruhanjaya Sekuriti & Pasaran Saham (SEC) Amerika Syarikat mendakwa anak syarikat Al-catel menggunakan khidmat perundingan menyalurkan rasuah sebanyak US $8 juta kepada pegawai-pegawai beberapa kerajaan bagi mendapatkan kontrak telekomunikasi dan lain-lain kontrak.

Menurut pegawai SEC, Alcatel-Lutent mengakui syarikat itu telah mendapat laba sebanyak US$48.1 juta dalam keuntungannya hasil dari perbuatan rasuah berkenaan.

Dengan itu, kata pegawai tersebut Alcatel-Lutent bersetuju untuk membayar lebih dari US $45 juta untuk menyelesaikan tuduhan SEC, dan membayar tambahan US $92 juta menyelesaikan tuntutan jenayah dengan Jabatan Kehakiman.

"Alcatel dan anak syarikat gagal mengesan atau menyiasat 'arahan' menunjukkan pekerja mereka mengarahkan perunding berpura-pura untuk memberikan hadiah dan bayaran kepada pegawai kerajaan asing untuk memenangi kontrak perniagaan secara haram," kata Robert Khuzami, pengarah bahagian penguatkuasaan SEC.

"Skim sogokan Alcatel adalah hasil dari kawalan lemah korporat di syarikat."tambah Khuzami.

Menurut aduan SEC, bayaran rasuah Alcatel adalah kepada pegawai-pegawai kerajaan di Costa Rica, Honduras, Malaysia, dan Taiwan antara bulan Disember 2001 dan Jun 2006. (Gambar - pejabat Alcatel-Lucent Malaysia beralamat di Menara Kembar Petronas)

Para pegawai Amerika mengatakan bayaran rasuah itu tidak berdokumen atau tidak dicatat dengan betul sebagai bayaran konsultasi dalam buku-buku kewangan anak syarikat Alcatel.

Para pegawai Amerika berkata kes ini asalnya adalah berasaskan penyiasatan oleh badan-badan Amerika bersama-sama dengan pegawai Costa Rica dan Perancis

Tuesday, December 28, 2010

NAJIB SIBUK JAGA KEPENTINGAN SENDIRI..........


KUALA LUMPUR, 28 Dis: Ketika para pelabur diingatkan supaya mengurangkan pelaburan ke negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula sibuk dengan kepentingan sendiri untuk mempertahan kuasa, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Syarikat pengurusan dan penasihat kewangan tersohor, Bank of America Merrill Lynch baru-baru ini mengingatkan supaya dikurangkan pelaburan ke negara ini, suatu tanda yang jelas bahawa Najib tidak diyakini sebagai pengurus ekonomi yang boleh diharapkan yang sekaligus menjadi ancaman kepada ekonomi negara.

"Tetapi, tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan kerajaan Najib berusaha menangani perkara itu sebaliknya beliau hanya sibuk untuk mempropagandakan konsep 1Malaysia yang dilihat sebagai peniruan konsep One Israel termasuk membawa pemain import ke ke Jabatan Perdana Menteri, antaranya (ketua stesen televisyen Media Prima Berhad milik Umno, Datuk Seri Ahmad) Farid Ridzuan," kata beliau.

Najib, kata Mahfuz, ternyata lebih berminat mempertahankan kuasanya dengan memberi tumpuan kepada mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu setelah konsep itu gagal menarik perhatian rakyat.

"Sama seperti pelbagai hingar-bingar dan kebisingan Najib dalam bidang ekonomi seperti Model Ekonomi Baru (MEB) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang gagal menarik minat pakar-pakar ekonomi dan para pelabur dan menyebabkan mereka diingatkan supaya mengurangkan pelaburan, apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu juga gagal menarik perhatian rakyat.

"Tindakan mengambil pemain import seperti Farid ke JPM amat jelas membuktikan Najib menggelabah dan Apco Worldwide pula gagal menjalankan kerjanya untuk mempromosikan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu walaupun lebih dari RM70 juta wang rakyat dibazirkan kepada firma milik Yahudi Zionis itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz bagaimanapun yakin Ahmad Farid tidak akan mampu mencapai keinginan Najib untuk mempropagandakan apa yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu.

Konsep tersebut diharapkan oleh Najib dapat membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang akan datang.

"1Malaysia yang dilihat sebagai One Israel tiruan itu bukan TV hiburan yang penuh dengan pelbagai cerita menarik dan persembahan nyanyian yang mudah mengasyikkan orang ramai.

"Berapa banyak program yang sudah basi seperti Jom Heboh yang mahu dibuat oleh Ahmad Farid? Adakah setiap malam menjelang pilihan raya akan diisi dengan program Jom 1Malaysia pula?

"Benda-benda mengasyikkan seperti itu mungkin menarik minat muda mudi Melayu seperti yang berlaku dalam program-program Jom Heboh. Tetapi kaum lain yang semakin kecewa dengan api perkauman Umno tidak berminat pun dengan hiburan-hiburan seperti itu," katanya.

Ketika ditanya tentang desas-desus bahawa pihaknya sedang mempersiapkan pelbagai program untuk menghadapi "kempen cara Ahmad Farid" termasuk menggunakan kepakaran mereka yang pernah berkerja dengan orang kuat TV3 itu, Mahfuz enggan mengulas.

Tuesday, December 21, 2010

TUJUH KEJAYAAN KONVENSYEN PAKATAN RAKYAT

Setinggi-tinggi tahniah kepada pimpinan dan seluruh warga Pakatan Rakyat kerana berjaya sepenuhnya mengadakan Konvensyen Kedua Pakatan di Pulau Pinang Ahad lalu.

Tahniah khusus kepada Dr. Mujahid Yusof Rawa, Pengarah Sekretariat Konvensyen dan seluruh panitia besar dan kecilnya kerana menyelenggarakan Konvensen tersebut dengan teratur, lancer dan mencapai matlamat serta menarik perhatian umum.

Ada tujuh kejayaan besar konvensyen itu ialah:

Pertama: Mampu mencapai matlamat mengumpul dan memperlihatkan kesepakatan dan kekuatan Pakatan Rakyat walaupun selama dua tahun ini ia ‘diserang’ tidak henti-henti oleh musuh politiknya dari segenap sudut.

Kira-kira 2,000 yang hadir tidak berganjak dari awal hingga akhir menghadiri Konvensyen tersebut - menjadi manifestasi keazaman dan kesungguhan warga Pakatan Rakyat untuk mempertahankan Pakatan.

Kedua, telah berjaya menjawab semua fitnah dan tuduhan musuh politknya dengan jelas dan meyakinkan. Puluhan pengamal media – dalam dan luar negara – menyaksi dan melaporkan jawapan ini.

Ketiga, kejayaan Pameran Kejayaan Pakatan Rakyat yang memerintah beberapa buah negeri. Pameran tersebut member erti dan memeriahkan konvensyen tersebut.

Keempat, keputusan padu – dengan sebulat suara - mengekalkan terus Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang, walaupun beliau digantung selama enam bulan sebagai ahli parlimen. Ini tentu sekali mengecewakan harapan musuh politik Pakatan Rakyat untuk menyisihkan sama sekali Anwar dari arena politik nasional dan antarabangsa.

Keputusan terus mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang diumumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika membuat ucapan penggulungan di konvensyen tersebut.
"Kita tetap mahu berketuakan beliau," kata Datuk Seri Abdul Hadi yang diiringi tepukan gemuruh para perwakilan dan pemimpin Pakatan yang menyertai konvensyen itu.

Anwar bersama dengan Azmin Ali (Gombak), Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (Subang) telah digantung dari Dewan Rakyat Khamis lalu, tanpa diberi peluang membela diri bersabit isu Apco.

Kelima, pengumuman Karpal Singh yang menegaskan bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan akan mempertahankan perlembagaan dengan segala peruntukan yang terkandung di dalamnya.
“Isunya ialah negara Islam dan ia harus diselesaikan secepat mungkin. DAP menerima Islam sebagai agama rasmi negara. Soal bersabit negara Islam adalah sesuatu yang kami boleh berunding dan saya yakin kita boleh mencapai konsensus,” kata Karpal. Ini kali pertama Karpal membuat pengumuman sedemikian.

Walaupun pengumumkan pemimpin DAP ini kemungkinan tidak akan meredakan tuduhan musuh politik Pakatan, namun pengumuman ini sangat membantu menjelaskan kedudukan isu Islam ini kepada semua pihak.

Kejayaan keenam Konvensyen Pakatan Rakyat itu ialah mengumumkan program 100 hari untuk rakyat melalui reformasi tulen yang boleh dilaksanakan di bawah pentadbiran Pakatan apabila berkuasa.

Program itu adalah resolusi sepuluh perkara yang menggariskan secara terperinci bagaimana Pakatan akan mentadbir negara untuk kebaikan semua rakyat Malaysia jika berkuasa. Pemimpin Pakatan akan menandatangani dokumen tersebut, yang dijangka akan dijadikan manifesto gabungan itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Kejayaan ketujuh konvensyen itu ialah mengesahkan dokumen bertajuk 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia' yang menggaris banyak isu yang dibangkitkan, seperti krisis, resolusi, program 100 hari, kenyataan bersama, deklarasi dan dasar-dasar Pakatan ketika gabungan mempersiapkan diri untuk menawan Putrajaya.

Dokumen 20 halaman itu yang akan diedarkan secara meluas, akan menerangkan kepada pengundi iaitu rancangan bagaimana gabungan itu akan memerintah negara jika mengambil alih Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka diadakan awal tahun depan.
Keseluruhannya ialah mesej konvensyen ini sangat jelas bahawa masa, kekuatan tenaga dan segala yang ada pada Pakatan Rakyat tidak boleh lagi dibazirkan walau seketikapun melainkan berusaha keras dengan bijaksana, menyusun langkah dengan strategi berkesan untuk mendapat mandat dari rakyat bagi ke Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini bukan sebuah ilusi atau khayalan pengembara, tetapi sebuah kenyataan – lebuh raya perjuangan yang panjang dan terbentang luas - yang sangat menjanjikan kemenangan jika Pakatan Rakyat dapat mengekalkan terus kesepaduan dan gerak kerja serta strategi yang bijaksana.

Selepas konvensyen ini, gerak kerja terawal bagi pendukung Pakatan Rakyat sedang menanti di Dun Tenang, Labis, Johor untuk berdepan dengan sebuah pilihan raya kecil di sana.

Tentu saja kesepaduan warga Pakatan Rakyat dan rakyat umum yang menyokongnya akan menumpukan perhatian ke sana, sebuah pilihan raya kecil berskala besar justru Umno BN dijangka akan berhempas pulas untuk mempertahankan Dun tersebut, sementara Pakatan Rakyat pula – yang diwakili PAS - juga akan berusaha keras untuk menawan Tenang.

Kita yakin dengan suntikan semangat baru di konvensyen di Pulau Pinang itu, warga Pakatan Rakyat akan berusaha keras dengan penuh keazaman, mengatur strategi kempen dengan bijaksana.

Warga Pakatan Rakyat tentu saja mampu berdiri gagah di Dun Tenang ini justeru ia telah menunjukkan kemampuan menangkis segala serangan politik musuh politik Pakatan.

Saturday, December 18, 2010

AL QURAN SEBAGAI PEDOMAN DALAM MENJAGA KESEPAKATAN PR.

KOTA BHARU, 18 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru anggota konvensyen Pakatan Rakyat mengambil pedoman dari falsafah yang ditonjolkan Islam menerusi al-Quran bagi menjaga kesepakatan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

Tuan Guru juga seterusnya berkata, bersesuaian dengan Islam agama perpaduan, anggota Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan Pakatan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan harapan kepada perwakilan Konvensyen Ke-2 Pakatan Rakyat yang bakal berlangsung pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

2000 perwakilan dan pemerhati dari PAS, PKR dan DAP akan menyertai konvensyen yang akan diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas bermula jam 8.30 pagi hingga malam itu.

Konvensyen ini dijangka mempersembahkan cerita kejayaan Pakatan Rakyat dalam mentadbir beberapa negeri di samping merancang bersama persiapan menghadapi pilihan raya.

“Anggota konvensyen perlu mengambil pedoman daripada falsafah al-Quran itu sendiri sebagai penghubung penyelesaian ummah di samping meletakkan asas keagamaan teratas dalam menguruskan Pakatan Rakyat,”ujarnya lagi.

Beliau seterusnya berkata, Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza.

Sebagai contoh katanya, 10 manusia yang diciptakan Allah, didapati 10 kepala (pemikiran) yang bebeza.

“Bagaimanapun, rupa yang berbeza dan pendapat yang berbeza itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan al-Quran, kerana Islam itu untuk semua,” ujarnya lagi.

Katanya, manusia akan selamat kehidupan mereka dunia dan akhirat sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

BERIKUT KENYATAAN PENUH NIK ABDUL AZIZ

KENYATAAN RASMI TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Harapan Konvensyen PR ke-2: Islam sebagai asas

Bersempena dengan Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang ini, semua pimpinan dan perwakilan hendaklah mengambil pedoman dari falsafah kesepakatan menurut Islam, iaitu mengutamakan peri pentingnya menjaga hubungan sesama anggota di dalam Pakatan Rakyat.

Ia juga bersesuaian dengan keutamaan ajaran Islam sebagai agama perpaduan, maka Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan kesepakatan politik.

Pimpinan dan perwakilan parti-parti Pakatan Rakyat––PAS, KEADILan dan DAP––yang menghadiri konvensyen itu nanti perlulah mengambil pedoman daripada maksud al-Quran yang sewajarnya dijadikan rujukan dan penghubung di dalam penyelesaian permasalahan ummah. Justeru ajaran Islam dan asas-asas keagamaan dapat dijadikan rujukan utama dalam menguruskan kesepakatan hubungan antara parti-parti Pakatan Rakyat.

Bagi PAS, amat meyakini bahawa Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza-beza. Misalnya, sepuluh manusia yang diciptakan Allah, didapati sepuluh kepala (pemikiran) yang bebeza. Bagaimanapun, perbezaan itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai panduan, kerana Islam itu untuk semua kaum. Firman Allah SWT (surah Ali-Imran ayat 103):

Bermaksud: “...dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara...”

Sewajarnya juga kita mengambil pengajaran dari sabda Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: “Janganlah saling benci membenci, saling iri hati dan saling membuat keracunan. Jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, dan tidak boleh seorang Muslim menghindari saudaranya lebih dari tiga hari.”

Demikian lagi, firman Allah SWT (surah al-Maidah ayat 48):

Maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya”

Oleh itu, atas nama kesepakatan politik yang berpandukan hubungan antara parti di dalam Pakatan Rakyat yang mengutamakan asas-asas keagamaan hendaklah bersetuju dan bekerjasama di dalam setiap perkara yang memberi manfaat bersama untuk ummah di Malaysia hari ini. Sehubungan itu, saya yakin manusia akan selamat sepanjang hidup mereka di dunia dan sejahtera di akhirat kelak sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

Selamat berkonvensyen, semoga berjalanlah ia dengan keberkatan Allah SWT.

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,

Al-Mursyidul Am PAS.

Kota Baharu, Kelantan.

12 Muharam 1432H/18 Disember 2010M.

Friday, December 17, 2010

NISA' ,UNIT AMAL PAS TAPAH BANTU MANGSA BANJIR........


YDP Tapah Saudara Rahim Cheng memberi sumbangan kepada mangsa banjir.

Nisa Tapah sedang membantu membersihkan rumah salah seorang mangsa banjir kilat.

YDP dan rombongan sedang mendengar rintihan mangsa banjir ini......

Mesin digunakan untuk menyedut air dari sungai berdekatan bagi memudahkan membantu pembersihan dirumah mangsa-mangsa banjir.

Ketua Muslimat tidak ketinggalan membantu dan menyerahkan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir.

Cuci jangan tak cuci......ringan tulang nisa' dan unit amal Tapah.


Pada 9.12.2010 yang lalu penduduk sekitar batu 3,Jalan Pahang,Tapah Perak telah dilanda banjir kilat yang menyebabkan rumah-rumah dipesisir sungai telah ditenggelami air yang naik secara mendadak setelah mengalami hujan yang lebat.

Pas Tapah bersama Nisa dan Unit Amal telah bergegas ke lokasi tersebut setelah mendapat maklumat dari penduduk sekitar.Aktiviti pembersihan membantu penduduk yang terjejas banjir dilakukan oleh unit amal dan Nisa .Penduduk-penduduk yang terjejas banjir amat terharu dengan kesanggupan Nisa' dan Unit Amal membantu mereka membersihkan rumah dan Pas Tapah dalam memberi sumbangan barangan dapur kepada mereka.

DMP Tapah mengucapkan tahniah atas usaha baik Nisa' dan Unit Amal Tapah ,segala penat lelah mereka hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Thursday, December 16, 2010

PELUANG BLOGGER TEMUI MB KELANTAN

KOTA BHARU, 16 Dis: Adakah anda seorang penulis blog. Peluang terbaik untuk mereka yang bergelar blogger menghadiri majlis makan malam dan dialog bersama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Program anjuran kerajaan negeri itu turut melibatkan kesemua anggota Exco kerajaan negeri dijangka diadakan pada awal tahun depan. Program berkenaan dijangka diadakan di Kuala Lumpur.


Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus berkata, pertemuan tersebut terbuka kepada semua blogger tanpa mengira ideologi politik mereka.


“Diharap melalui pertemuan terbabit blogger akan mendapat gambaran sebenar perkembangan semasa di Kelantan sepanjang di bawah pentadbiran PAS,” katanya di sini.


Oleh itu blogger yang berminat boleh menghubungi pejabat Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di talian 09 7433529 (Puan Hazami) atau email: mnyahya65@gmail.com.

Related Posts with Thumbnails